Dalam sejarah, tanah besar China telah melahirkan beratus empayar yang diperintah oleh pelbagai dinasti selama beribu-ribu tahun sehinggalah ia berakhir dengan kejatuhan Dinasti Qing pada tahun 1911.

Dinasti Qin, Han, Tang, Song, Yuan, Ming dan Qing adalah antara dinasti imperialis China yang paling popular sehingga kini. Apa yang ramai orang kurang tahu ialah, Dinasti Han sebenarnya pernah tumbang buat seketika sebelum bangkit kembali sebagai Dinasti Han Timur.

Semasa kejatuhan pertama Dinasti Han di barat, kedudukan mereka diambil alih melalui rampasan kuasa yang melahirkan sebuah “dinasti baharu.”  Ya, itulah nama dinasti tersebut dalam bahasa Melayu. Dalam bahasa Cina ia dikenali dengan nama Dinasti Xin.

Dinasti Xin

Dinasti Xin diasaskan oleh seorang bangsawan Han bernama Wang Mang, yang juga ada pertalian darah dengan anggota kerabat Dinasti Han. Dinasti Xin mungkin kurang popular kerana ia berdiri untuk tempoh yang terlalu singkat, hanya selama 15 tahun sebelum ia runtuh.

Walau bagaimanapun, apa yang akan hendak aku bincangkan hari ini bukanlah tentang sejarah kronologi Dinasti Xin, tetapi tentang impak yang ditinggalkan Wang Mang selepas dia meninggal dunia. Sejarah kebangkitan Wang Mang pula nanti aku ceritakan lain kali.

Wang Mang dilahirkan di daerah Daming, wilayah Hebei pada tahun 45 SM.  Dia merupakan anak saudara Maharani Wang Zhengjun, ratu Maharaja Yuan Han. Di zaman itu, pengaruh anggota kerabat dalam dinasti agak besar, jadi, keluarga Wang Mang juga memiliki status tersendiri di istana pada masa itu.

Walau bagaimanapun, Wang Mang ada cara hidup yang berbeza kerana dia menjalani kehidupan yang sederhana, bergaul dengan orang kebanyakan, dan dia dikatakan tak berbangga dengan status bangsawannya, ini membentuk sisi kontra yang tajam bagi keluarga Wang dalam klannya.

Wang Mang tidak menjalani hidup sebagai orang yang terhormat dan bermewahan dengan kekayaan yang dibawa oleh statusnya sebagai anggota kerabat Han. Kerana selepas kematian bapanya yang terlalu awal, dia hanya menjalani kehidupan sebagai seorang penuntut biasa selama bertahun-tahun.

Sehinggalah apabila Maharaja Ai mangkat barulah dia secara berperingkat menjadi pembantu di istana dengan sokongan Wang Zhengjun. Kemudian dia dilantik menjadi pemangku maharaja memandangkan maharaja ketika itu masih muda.

Pada tahun 9 Masehi, di tengah-tengah kekacauan melanda Dinasti Han akibat korupsi, Wang Mang melakukan rampasan takhta Dinasti Han melalui komplot membuηuh maharaja, kemudian menubuhkan “dinasti baru” (Xin), dia meneruskan karier sebagai satu-satunya maharaja empayarnya selama hampir 14 tahun.

Wang Mang.

Wang Mang memulakan revolusi sistem pengagihan semula tanah, dia memerintahkan supaya setiap tanah-tanah perusahaan di dalam Dinasti Xin sebagai hak milik bersama pemerintah secara sah.

Namun Wang Mang gagal memenuhi keperluan golongan petani, dan tindakannya memaksa rakyat menggunakan matawang baharu dalam bentuk syiling yang sangat pelik mendatangkan kemarahan rakyat. Tambahan pula dia terlalu obses dengan perkara-perkara mistik.

Ini mendorong para loyalis Han menyebarkan hasutan untuk memberontak. Akhirnya pada tahun 23 M, Wang Mang menghadapi pemherontakan dan maut dibuηuh oleh tentera loyalis Han yang bangkit kembali dan menyerang ibu kota Chang’an. Ketika itu dia sudah berusia 68 tahun.

Salah satu bentuk matawang syiling Dinasti Xin.

Wang Mang dikatakan dibuηuh secara tragis, ada sumber yang menyebut anggota badannya dikerat-kerat, bahkan para pemberontak betikam lidah kerana berebut hak menerima kredit atas kejayaan membuηuh Wang Mang, pertikaian ini menyebabkan berpuluh tentera maut dalam pergaduhan.

Walaupun mayat Wang Mang dihancurkan, namun kepalanya dipenggal dan dihantar ke ibu kota sementara Dinasti Han di Wancheng, Luoyang, untuk digantung pada tembok kota.

Pertempuran Kunyang semasa pemberontakan.

Kemudian kepala Wang Mang diambil dan disimpan di dalam peti besi istana untuk lebih 200 tahun seterusnya di sepanjang era Dinasti Han Timur, memasuki era Tiga Kerajaan, era Dinasti Cao-Wei, sehinggalah ia akhirnya musnah dalam kebakaran semasa era Dinasti Jin Barat.

Namun, apa yang pelik ialah, mengapa peninggalan kepala Wang Mang itu masih disimpan semasa Dinasti Jin Barat? Menurut Biografi Zhang Hua dalam kitab Jinshu (Kitab Jin), apabila gudang senjata Dinasti Jin Barat terbakar dalam bulan Oktober pada tahun kelima Yuankang, sejumlah besar khazanah dari masa silam turut musnah. Di antara khazanah istana yang paling berharga ialah kepala Wang Mang.

Semenjak Wang dibuηuh pada tahun 23 M, kepalanya yang dipenggal itu telah disimpan di dalam istana sehingga tahun 295 M. Sepanjang tempoh ini, kepala itu telah melalui era Dinasti Han Timur, era Tiga Kerajaan, era Dinasti Cao-Wei, dan akhirnya Dinasti Jin Barat, yang berlangsung hampir 300 tahun.

Dinasti Han

Selain Dinasti Han Timur dan era Tiga Kerajaan, dua dinasti seterusnya sebenarnya tidak ada sebarang sejarah persengketaan atau apa jua masalah dengan Wang Mang. Mengapa mereka terus memulihara dan menyimpan kepalanya?

Pertama sekali, ia berkaitan dengan sistem meritokrasi ketenteraan China kuno yang turut diamalkan dalam mana-mana kebudayaan lain. Dalam peperαngan, darjat yang dimiliki oleh kepala musuh adalah tanda penting untuk menilai pencapaian merit tentera. Macam biasa dengar di Borneo kan?

Apabila seorang tentera membuηuh musuh yang penting, dia akan memenggal dan membawa kembali kepala musuh itu dari medan per αng untuk diserahkan kepada penguasa politik mereka.

Selepas Wang Mang dibuηuh, kepalanya dihantar ke Wancheng di kota Luoyang oleh tentera loyalis Han, di mana maharaja yang memberontak terhadap rejim Wang Mang jadikan sebagai ibu kota sementara.

Di samping itu, Wang Mang adalah seorang perampas kuasa yang terkenal dan kematiannya dianggap pencapaian penting kerana telah dia ditabal dan memerintah sebagai maharaja Dinasti Xin selama 14 tahun. Tradisi ‘mewariskan kepala’ masih diamalkan semasa Dinasti Cao-Wei dan Dinasti Jin.

Wang Mang

Oleh itu, pewarisan relik kepala Wang Mang di antara kerabat-kerabat diraja dari dinasti-dinasti berbeza itu sebenarnya adalah satu kaedah untuk membuktikan keabsahan kuasa dinasti baru yang telah mewarisi takhta daripada dinasti sebelumnya.

Dinasti Han Timur mewariskannya kepada para perampas kuasa yang mengawal maharaja terakhir Han Timur, Maharaja Xian, antaranya ialah Dong Zhou, Li Jue – Guo Si, dan Cao Cao. Lalu ia diwariskan kepada Dinasti Cao-Wei dan berakhir di Dinasti Jin.

Kedua, kepala Wang Mang disimpan sebagai simbol amaran kepada sesiapa yang ada hasrat mahu memberontak. Menurut biografi Wang Mang di dalam Hanshu (Kitab Han), selepas Wang Mang dibuηuh, maharaja memerintahkan kepalanya digantung di kawasan ibu kota sebagai langkah mendisiplinkan orang ramai.

Bagaimanapun, orang ramai ketika itu yang sangat marah kepada kelemahan Wang Mang semasa akhir pemerintahannya telah bertindak menurunkan kepalanya dari tembok untuk ditendang dalam permainan ‘bola sepak’, bahkan lidah Wang Mang juga tidak dilepaskan, mereka memotong lidah maharaja malang itu.

Nasib yang diterima mayat Wang Mang adalah satu amaran maharaja kepada semua orang supaya jangan cuba menjadi perampas kuasa atau terimalah nasib yang sama seperti Wang Mang. Ini juga menjadi salah satu faktor mengapa dinasti-dinasti selepas itu masih mengekalkan kepala Wang Mang.

Gambaran dari filem tentang Wang Mang semasa ditangkap.

Ketiga, masyarakat China zaman kuno amat obses dengan kepercayaan tahyul, malah kerabat diraja percaya yang kepala Wang Mang ada kuasa mistik yang boleh menghalau semangat jahat.

Biografi Wang Mang di dalam Kitab Han menggambarkan, sesiapa yang menggembirakan Wang Mang dianggap telah melakukan perkara yang maha keji.  Justeru, istilah ‘keji’ berkembang dan kepala Wang Mang dianggap sebagai sekeji-keji perkara yang pernah wujud hingga semangat jahat atau syaitan sekali pun tak mahu mendekatinya.

Masyarakat Cina kuno percaya, semakin jahat atau keji suatu artifak, ia dianggap semakin berkesan digunakan untuk menghalau semangat jahat. Mungkin atas sebab inilah para maharaja Dinasti Cao-Wei dan Jin terus menyimpan kepala Wang Mang di istana untuk mengusir perkara jahat.

Gambar hiasan.

Malangnya, kebakaran besar tiba-tiba berlaku pada tahun kelima Yuankang, akhirnya memusnahkan kepala Maharaja Wang Mang dari Dinasti Xin, yang telah terpelihara selama hampir 300 tahun, jika tidak, mungkin kepalanya akan terus diwarisi lebih lama lagi.

Dan mungkin ia tidak akan menjadi mangsa Revolusi Kebudayaan apabila China diperintah oleh Parti Komunis China di bawah Mao Zedong. Maka boleh lah kita melihatnya di muzium hari ini.

Sisa runtuhan istana Weiyang.

Ini kerana, gaya pemerintahan Wang Mang yang meletakkan hak kelas pekerja dan petani sebagai prioriti serta sistem ekonomi yang diterapkannya dianggap sebagai sistem yang paling mirip dengan sistem ekonomi sosialisme.

Bahkan sesetengah pihak percaya bahawa Dinasti Xin mungkin adalah negara pertama yang melaksanakan dasar-dasar sosialis. Tetapi, seperti yang aku katakan tadi, lain kali kita bincangkan tentang sejarah kebangkitan ‘revolusi’ Wang Mang pula.

Kebangkitan Parti Komunis China

Ironinya, Wang Mang dan Mao Zedong seakan-akan berkongsi sejarah yang sama, kedua-duanya bangkit melalui revolusi yang penuh berwawasan dan matlamat pembebasan rakyat tetapi akhirnya menemui kegagalan demi kegagalan.

Bezanya, hanya Mao Zedong sahaja ada nasib yang baik. Wang Mang, menjadi satu-satunya maharaja yang mengasaskan dan memerintah Dinasti Xin selama 14 tahun dengan permulaan yang gemilang, tetapi ditamatkan dengan amat ganas.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

•MALAY• •MUSLIM• •TERENGGANU• •NATIONALIST• •CONSERVATIVE•

Leave A Reply