Kalau jalan di pasar malam tiba-tiba ternampak gumpalan haiwan air tidak berkaki dalam bekas, jangan panik. Itu bukan ular. Itu belut, yang katanya sedap dimasak sup. Daging belut pula katanya sangat kaya dengan zat untuk kebaikan jantung dan tulang (Nadiah, 2020). Cuma peliknya – belut bukan main rapat dalam bekas tiada pula yang terkena renjatan antara satu sama lain. Kenapa agaknya?

Soalan ini mudah. Dua patah perkataan saja. Tetapi prosesnya sangat panjang. Sebelum ulas secara lanjut, kalian kena tahu dua benda dulu:

  1. Bukan semua belut berelektrik.
  2. Belut elektrik sebenarnya bukan belut pun (teruskan baca).

Setakat ini hanya tiga spesis Electrophorus saja yang disahkan berelektrik – E. electricus, E. varii dan E. voltai. Kebanyakannya hidup di Amerika Selatan.

Electrophorus (Steven G. Johnson/CC BY-SA 3.0).

Macam dicakap, “belut elektrik” bukan belut pun sebenarnya. Mereka tiada kena mengena langsung dengan belut biasa. Bau-bau bacang pun tiada. Mereka dikategorikan dalam kelas Actinopterygii. Kelas ini mengumpulkan belut biasa dan belut elektrik dalam jemaah sama dengan ikan tanglung, ikan salmon dan ikan todak antaranya. Kalau ada yang keliru, bayangkan begini: spesis babi adalah Sus domesticus. Spesis lembu adalah Bos taurus. Kedua-dua spesis ini adalah dalam kelas sama. Takkan lembu dan babi sama pula?

Maka sekarang ada satu persoalan jelas: apa yang berlaku pada tangga evolusi Actinopterygii sampai boleh bercambah sampai wujud belut biasa dan belut elektrik?

Rantaian Evolusi Belut Elektrik

Kalau ikut teori, tangki 6,000 ekor belut elektrik boleh menjana tenaga sampai 400 watts selama sejam. Cukup untuk mengecas telefon pintar atau komputer riba. Ini ikut teorilah. Mungkin ada yang memperlekehkan penjanaan kuasa sebegini banyak. Tetapi fikir balik – ini bukan loji nuklear. Ini haiwan tidak berkaki. Manusia lengkap berkaki pun ada yang tidak berguna sampai buat pekak pada hutang kawan. Kebolehan belut elektrik sudah lama menaikkan minat saintis.

Organ-organ elektrik belut yang nampak sama macam otot (Encyclopedia Brittanica).

Dan baru-baru ini, pihak Universiti Texas merungkaikan misteri ini. Mereka mendapati elektrik belut adalah sama seperti kicauan burung. Inilah kaedah komunikasi dalam kalangan belut. Sudah pasti tiada perkataan dalam renjatan elektrik yang dikeluarkan – hanya maklumat setaraf dengan otak belut untuk mengenal pasti belut berhampiran. Melalui elektrik, mereka mengiktiraf individu, jantina dan spesis belut di sesuatu kawasan.

Bermakna cas ini bukan semata-mata untuk mempertahan diri sahaja. Inilah kaedah komunikasi, yang diturunkan daripada generasi spesis sebelum belut elektrik moden. Untuk memahami kaedah warisan ini, saintis menyusuri tangga evolusi belut elektrik. Kata kunci di sini adalah genetik.

Mereka tahu yang semua ikan (belut adalah ikan) mempunyai dua maklumat genetik yang mengawal pergerakan otot. Belut elektrik menemui jalan untuk alihkan salah satu maklumat daripada otot ke sel lain. Perubahan ini berfungsi dengan baik, sampai hubungan antara otot dan sel baru ini menghasilkan organ baru yang boleh renjat elektrik (LaPotin, et al., 2022).

Sebab itulah belut biasa berbeza untuk dibandingkan dengan belut elektrik. Belut biasa mempunyai 800 spesis berlainan, sampai boleh hidup di air masin dan air tawar. Jenis belut yang hidup di Malaysia adalah belut paya atau belut padi (Monopterus albus). Jadi ikutkan, belut elektrik tidak wajar dipanggil “belut”. Kerana mereka bukan belut. Mereka turun daripada ikan pisau (knifefish) dalam proses yang mengambil masa selama 200 juta tahun (O’Callaghan, 2014).

Ikan pisau nampak sama saja macam belut elektrik (Togabi & Vsion/CC BY 2.5).

Menyingkap daripada aspek saintifik, belut elektrik sebenarnya adalah “ikan pisau elektrik”. Namun begitu, sains adalah wadah untuk faham sesuatu kehidupan secara mendalam. Manakala budaya pula menjadi wadah untuk mengenali sesuatu benda. Dalam pertembungan ini, budaya menandingi sains.

RUJUKAN:

LaPotin, S., et al. (2022). Divergent cis-regulatory evolution underlies the convergent loss of sodium channel expression in electric fish. Science Advances. 8 (22).

Nadiah, N. (2020, September 15). The Health Benefits of Japanese Eel. Sorestaurant.

O’Callaghan, J. (2014, Jun 27). That’s shocking! Genes reveal electric eels evolved their supercharged muscles separately 200 million years ago. Daily Mail.

 

 

 


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Berbekalkan buku “Perang Salib Pertama: Kelahiran Templar”, Ahmad Faezal mempunyai suatu matlamat bagi Malaysia. Dalam kaca mata beliau, bangsa Melayu perlu bangkit membaham ilmu sepertimana mereka memakan nasi. Seorang pengikut setia bidang astronomi dan isu semasa, beliau mengimpikan bangsa Melayu dalam masa 100 tahun boleh melibatkan diri secara aktif dalam bidang-bidang sains terperinci. Beliau juga seorang penulis dan penterjemah upahan, yang sedia menerima klien.

Leave A Reply