Ramai orang melihat senjata di angkasa lepas sebagai sesuatu yang bersifat sains fiksyen. Kalau tak, takkan wujud filem atau permainan video seperti Call of Duty: Ghosts dan G.I Joe: Retaliation. Tetapi pada tahun 60-an, kegilaan mencetuskan letupan nuklear di angkasa lepas kononnya untuk tujuan saintifik hampir-hampir menjerumuskan Amerika Syarikat dan Rusia ke kancah perang nuklear!
Tidak seperti hari ini, pengetahuan tentang radiasi di angkasa lepas masih lagi baru ketika itu. Jadi, tak terkejutlah saintis-saintis pada ketika itu mengeluarkan pelbagai teori – kadang-kadang melampaui dunia sains fiksyen. Salah satu teori yang wujud ketika itu ialah bumi dikelilingi oleh gelang sinaran-X yang boleh membawa kepada kematian dan menjejaskan satelit-satelit yang dilancarkan ke angkasa.
Teori ini dikemukakan oleh seorang ahli fizik dari Universiti Iowa, James A. Van Allen sekitar 1958. Tetapi teori ini mengundang panik dalam kalangan saintis terutama yang berangan melihat manusia menjelajah angkasa lepas. Ini kerana mereka beranggapan dengan kewujudan gelang sebegitu, apa peluang nak jelajah angkasa lepas kalau berakhir dengan kematian? Itu menjadikan semua usaha untuk sampai ke sana sebagai sia-sia.
Teori ini juga pasti diketahui para saintis Kesatuan Soviet terutama bila melancarkan misi Sputnik II pada November 1957. Sputnik II dianggap berbeza kerana ia membawa makhluk hidup pertama ke angkasa lepas iaitu seekor anjing bernama Laika. Mengikut versi rasmi mereka ketika itu, Laika hidup selama seminggu sebelum mati akibat termakan makanan beracun. Tetapi Laika sebenarnya mati kepanasan selepas Sputnik II beberapa jam dilancarkan ke angkasa lepas berikutan kerosakan pada kapsul yang menempatkan anjing berkenaan.
Teori Van Allen mendedahkan kewujudan jalur tenaga tinggi yang kekal di bahagian atas atmosfera bumi yang dikenali sebagai Jalur Radiasi Van Allen (Van Allen Belt). Ini turut membawa kepada kewujudan satu lagi kajian sains terbaru yang dikenali sebagai fizik magnetosfera. Dan sebagai permulaan, Van Allen mencadangkan idea paling gila kepada Tentera Amerika Syarikat: boleh tak kita letupkan jalur radiasi ini dengan bom nuklear? Idea ini menjadi pencetus projek rahsia tentera AS yang dipanggil Operation Fishbowl.
Kononnya, dengan buat kerja gila ini, ia dapat hapuskan Jalur Radiasi Van Allen. Tetapi cadangan ini timbul pada tempoh yang paling panas semasa Perang Dingin. Sekitar tahun 50-an dan 60-an, kedua-dua AS dan Rusia sibuk menguji keupayaan nuklear mereka. Perlumbaan sebegini menggentarkan banyak negara kerana silap haribulan, ia boleh saja menjadi penamat tamadun kemanusiaan yang diketahui hari ini.
Jadi, apabila AS mengumumkan rancangan untuk meletupkan bom nuklear di angkasa lepas, siapa yang tak terkejut beruk. Bukan sedikit negara yang membuat bantahan kepada Washington dengan protes turut dibuat dari Tokyo hingga Moscow. Ini ditambah dengan insiden letupan kepala peledak Fishbowl pertama pada 20 Jun 1962.
Selepas ia dilancarkan dari Pulau Johnston, pelancar yang digunakan tiba-tiba tidak berfungsi. Ini memaksa pihak tentera meletupkan kepala peledak sekaligus menghasilkan hujan radioaktif yang menghujani pulau berkenaan. Kalau itu sudah buat semua orang kecut perut, apatah lagi kalau nak mencuba buat kali kedua?
Kebimbangan ini digandakan dengan ujian bom nuklear Soviet yang diberi nama Tsar Bomba yang berlaku lapan bulan sebelumnya. Ujian tersebut menyaksikan ledakan sekuat 58 megatan TNT dengan api letupan dapat dilihat sejauh Alaska, Greenland dan Norway. Cat anti-radiasi pada pesawat pengintip AS yang memantau secara rahsia ujian tersebut pun boleh hangus. Di sebalik semua ini, kegilaan AS ini tetap diteruskan pada 9 Julai tahun sama kononnya untuk tujuan penyelidikan saintifik.
Ujian nuklear Fishbowl kedua diletupkan selepas 13 minit ia dilancarkan ke angkasa lepas. Ia menghasilkan denyutan elektromagnet (EMP) yang mengakibatkan seluruh pulau Hawaii bergelap, 1,000 km dari lokasi asal pelancaran. Perkhidmatan telefon dan lampu-lampu jalan sekitar Johsnton turut terkesan akibat ujian sama.
Tetapi sangkaan Van Allen bahawa ia boleh menghapuskan Jalur Radiasi Van Allen ternyata meleset. Sebaliknya, ia jauh lebih kuat dan menghasilkan pertunjukan cahaya pelbagai warna yang disaksikan sejauh Fiji. Sebut pasal EMP, EMP akibat ujian sama turut menjejaskan lebih 20 buah satelit. Beberapa bulan selepas itu, giliran pihak Soviet pula menguji bom nuklear mereka di angkasa lepas.
Namun begitu, kegilaan dua kuasa besar menguji kelengkapan nuklear mereka di situ akhirnya terhenti pada November 1962. Ini selepas beberapa minggu sebelumnya, Krisis Peluru Berpandu Cuba tercetus selepas Kesatuan Soviet cuba menempatkan peluru berpandu mereka di Cuba, rakan sekutu mereka. Bagaimanapun, langkah tersebut tidak disenangi AS yang dipimpin John F. Kennedy sehingga mendorongnya mengenakan sekatan bagi menghalang kapal-kapal Soviet menghantar komponen peluru berpandu ke sana.
Selepas berunding selama beberapa hari membabitkan kepimpinan tinggi kedua-dua negara, akhirnya pihak Soviet bersetuju untuk tidak meletakkan peluru berpandu di Cuba sebgaai tukaran kepada pihak AS melakukan perkara sama di Turki. Dengan krisis tersebut hampir menjerumuskan kedua-dua negara ke kancah perang nuklear, sebarang ujian seperti Fishbowl dihentikan dengan segera.
Ini juga membawa kepada pemeteraian Perjanjian Sekatan Ujian Nuklear Terhad yang dimeterai AS dan Rusia pada 1963. Dengan pemeteraian perjanjian tersebut, semua ujian nuklear di atmosfera dan luar atmosfera bumi diharamkan sama sekali. Walaupun kedua-dua negara kemudiannya menyambung semula kegilaan mereka beberapa tahun selepas itu, ia cukup untuk memperlahankan perlumbaan senjata dua kuasa besar dunia itu.
Ada banyak buku-buku menarik yang menanti anda di https://shopee.com.my/thepatriotsasia
RUJUKAN
King, G. (2012, 15 Ogos). Going Nuclear Over the Pacific. Smithsonian Magazine.
Felton, J. (2022, 12 Julai). 60 Years Ago, The US Exploded A Nuclear Bomb In Outer Space. IFLScience.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih