Taming Sari merupakan salah satu keris yang dikatakan mempunyai kekuatannya yang tersendiri. Keris ini masyhur dalam catatan manuskrip Melayu seperti Hikayat Hang Tuah dan Sulalatus Salatin yang menceritakan akan kelebihan keris ini apabila digunakan dalam pertarungan.
Jadi, dalam trivia ini kita akan menelusuri bagaimana Keris Taming Sari ini boleh beralih tangan dari Laksamana Hang Tuah kepada Kerajaan Negeri Perak kini.
Sebenarnya, Taming Sari ini sebenarnya bukan nama keris, tetapi ia adalah nama orang!
Iya, nama orang. Saya petik dari Hikayat Hang Tuah berkait dengan hal ini,
“Maka bunyi gemparlah di luar pintu peseban (balai menghadap) itu mengatakan orang mengamuk. Maka katanya, “Akulah yang bernama Taming Sari, penjurit tua!”
Kisah awalnya, pada waktu ini Puteri Majapahit yang bernama Raden Galuh Emas Ayu yang akan dinikahkan dengan Sultan Melaka bagi mempererat hubungan Melaja dan Majapahit. Perancangan awal hubungan ini berjalan baik, sehinggalah tibanya kekacauan ini. Taming Sari telah membunuh sekian ramai orang di luar istana.
Melihat kekacauan ini, Hang Tuah terpaksa turun tangan bagi menghadapi kegilaan Taming Sari ini dihadapan Duli Sultan, Adipati dan perwakilan Jawa sekaliannya.
Berlakulah pertengkaran dialog awal antara keduanya,
“Siapakah engkau yang terlintang dihadapanku ini?” tanya Taming Sari. Hang Tuah menjawab, “Akulah hulubalang pada tanah Melayu dan akulah hulubalangnya Sultan.”
Pada awal pertarungan, Laksamana Hang Tuah mencuba untuk bernegosiasi dengan Taming Sari bagi menggulingkan Adipati dan perwakilan Majapahit. Namun, pelawaan ini ditolak. Taming Sari menghunuskan kerisnya dan perlawanan bermula. Akhirnya, Taming Sari ini berjaya dibunuh oleh Laksamana Hang Tuah.
Melihat kejayaan ini, betara Majapahit menghadiahi keris kemenangannya membunuh Taming Sari. Maka, Laksamana Hang Tuah telah memanfaatkan sebaiknya keris pemberian ini. Perwarisan Keris Hang Tuah pula berhenti sekadar Laksamana Hang Tuah. Terdapat beberapa versi tentang perwarisan keris Hang Tuah ini.
Sebahagiannya menyatakan keris ini telah dibuang oleh Laksamana Hang Tuah dalam Sungai Perak. Sebahagiannya pula menyatakan keris ini masih tersimpan kemas di Istana Melaka. Sehingga kejatuhannya, Sultan Muzaffar I, pewaris Melaka ke Perak telah membawa kelengkapan keris dari Melaka ini bagi menubuhkan daulatnya di Perak.
Rujukan:
[1] Kassim Ahmad (2017), Hikayat Hang Tuah, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Hlmn 153 – 156.
—
Metologi Melayu merupakan buku pilihan terbaik anda jikalau anda ingin mengetahui lebih lanjut tentang konsep Tulah ini. Kalau anda nak tahu lebih lanjut tentang konsep Tulah dan pelbagai lagi kisah dan hikayat Melayu, dapatkan buku Metologi Melayu di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur yang akan berlangsung pada 23 Mei – 1 Jun 2025 ini.
Serbu reruai kami, dan dapatkan potongan harga buku pilihan hati anda. Jumpa anda di sana!




No comments yet