Fitrah ikan boleh kata pelik juga. Hidup bukan main dalam air masin. Tetapi isinya tidak masin langsung. Hairannya kalau lumur ikan dengan garam, boleh pula isinya masin. Sampai boleh ada pepatah: ikutilah resmi ikan – masin di keliling tetapi isinya kekal manis. Persoalannya, macam mana ikan kekal ‘manis’ walau hidup dalam air masin? Sudah pasti bukan sisik yang main peranan, kerana ikan jerung mana ada sisik macam ikan bertulang (bony fish).
Pertama sekali, kita tidak boleh faham fitrah ikan dengan menggunakan konsep mamalia. Logiknya ada pada kerbau: walaupun suka selut, dagingnya tetap merah macam lembu. Tiada langsung selut pada dagingnya. Sebut kerbau eloklah sikit. Kalau sebut babi, lain macam jadinya. Babi sesuai untuk jadi contoh orang tidak beri isyarat waktu membelok.
Peminat-peminat alam dan kehidupan luar sana boleh dapatkan buku Biologia melalui shopee kami:
https://shopee.com.my/The-Patriots-Biologia-Pengajian-Tentang-Makhluk-Kehidupan-i.238336777.15557534470?sp_atk=73df0297-a93e-4593-8b79-1bcb6cd367d8&xptdk=73df0297-a93e-4593-8b79-1bcb6cd367d8
Balik kepada topik. Garam boleh membunuh. Kalau pada mamalia, garam berlebihan boleh menyebabkan tekanan darah tinggi, penyakit jantung dan strok. Kerana mamalia secara fitrah tidak mampu ‘memproses’ garam seperti ikan laut. Inilah kelebihan yang ada pada ikan laut. Mereka mampu mengimbangi kandungan garam dalam badan. Proses ini membolehkan mereka hidup seperti biasa dan bertindak balas secara normal.
Fitrah mereka senang saja. Pastikan kandungan garam dalam badan tidak banyak macam kandungan garam di laut. Air masin masuk dalam badan mereka. Tetapi mereka boleh mengeluarkan ‘lebihan’ iaitu garam yang masuk bersama air. Biasanya lebihan ini keluar melalui ginjal dan insang dalam bentuk air kencing (Pauly, 2018).
Macam mana proses ini terjadi…
Atas sebab itulah, isi mereka kekal ‘manis’.
Bukan Semua Ikan Boleh Buat Benda Ini
Sekarang kita faham kenapa ikan menjadi masin selepas dilumur garam. Kerana jawapan mudahnya, ikan sudah mati. Secara saintifik, proses ikan laut ‘kumuh’ air masin dipanggil osmosis. Pengetahuan tentang asas sains ini penting untuk kita faham kenapa ikan air tawar tidak boleh hidup dalam air masin. Mereka tidak boleh menapis keluar kandungan garam yang masuk dalam badan. Kandungan ini terkumpul begitu banyak, akhirnya membunuh ikan terbabit.
Begitu juga dengan ikan air masin. Mereka tidak boleh hidup dalam air tawar. Kerana air akan masuk dalam badan mereka dan terkumpul terlalu banyak sampai mereka kembang dan akhirnya mati. Ikan air tawar terkumpul garam. Ikan air masin terkumpul air.
Walau bagaimanapun, ada beberapa jenis ikan yang mampu hidup dalam air tawar dan masin. Dalam bahasa saintifik, mereka adalah “euryhaline fish” yang serba mampu mengimbangi kandungan air dan garam sesuka hati kerana habitat mereka adalah di muara misalnya. Ambil contoh ikan salmon. Mereka menetas di kawasan air tawar. Selepas beberapa bulan, baru mereka berhijrah pergi ke perairan masin. Apabila tiba masanya untuk bertelur, ikan salmon dewasa akan kembali ke air tawar (Sternberg, 2003).
Pokok pangkalnya, fitrah ikan ditentukan melalui proses evolusi yang memakan masa selama 530 juta tahun. Tentu sekali banyak benda yang sains masih belum rungkaikan sepenuhnya. Namun ini adalah asas yang sudah diketahui saintis, bahawasanya ikan terdiri daripada tiga jenis – saltwater (air masin), freshwater (air tawar) dan euryhaline fish. Kebolehan mereka bukanlah suatu benda yang mengejutkan – kerana kita sendiri sudah tahu kewujudan haiwan dua alam seperti katak dan penyu misalnya yang serba mampu hidup di mana-mana sahaja.
Malah ikan keli sendiri menunjukkan ketahanan yang agak luar biasa dengan mekanisme “tutup insang” dan “buka ruangan pernafasan”. Pengetahuan ini boleh dijadikan sandaran asas bagi memahami fitrah ikan.
Kami juga ada karya-karya fiksyen khas untuk para peminat pelbagai genre. – https://shopee.com.my/thepatriotsasia
RUJUKAN:
Pauly, D. (2018, November 2). Why are salt water fish not salty to eat? CBC.
Sternberg, D. (2003). The Ultimate Guide to Freshwater Fishing. Publishing Solutions. Halaman 156.




No comments yet