Pernahkah kita terfikir dari mana datang Melayu? Sejak bilakah Melayu menjadi sebuah bangsa? Mengapakah bangsa itu digelar Melayu? Adakah maksud Melayu itu ialah Menjadi layu? Atau ada maksud-maksud lain yang lebih eksklusif dan bermutu tinggi? Seringkali kita diperdengarkan bahawa Melayu itu dipenuhi dengan nilai-nilai yang tidak murni. Pernahkah kita terdengar cakap-cakap orang yang sinonim dengan istilah ‘janji Melayu’ atau ‘Melayu tinggi PHD,’ bukan Doktor Falsafah, tetapi Perasaan Hasad Dengki? Atau Melayu mudah lupa? Atau Melayu Pemalas?
Benarkah bangsa Melayu begitu teruk sekali sikap dan perangai mereka? Adakah pendengar setuju dengan pendapat atau cakap-cakap orang tersebut?
Melayu adalah bangsa yang menjadi dominan di negara ini. Namun begitu, dari mana asalnya Melayu sangat kabur dan sering diperbahaskan. Bagaimana bangsa Melayu mula terbentuk juga sering dipersoalkan. Situasi ini wujud lantaran kusutnya pemikiran sesetengah pihak yang mencemburui kewujudan bangsa Melayu yang sinonim sebagai bangsa yang mesti beragama islam, bangsa yang menjadi majoriti di tanahair kita ini, seterusnya menjadi peribumi induk di bumi bertuah ini. Mulalah wujud pelbagai dogma-dogma negatif berkenaan wujudnya bangsa Melayu, dengan kehadiran pihak yang tidak bertanggungjawab menuduh bangsa Melayu adalah bangsa jadi-jadian, iaitu bangsa yang diciptakan oleh British.
Mengapa persoalan ini boleh timbul? Persoalan ini timbul kerana kepentingan politik sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab dalam menafikan keistimewaan orang Melayu itu sendiri. Natijahnya, wujudlah golongan orang Melayu itu sendiri mengutuk dan mengeji bangsa Melayu hanya kerana berasa sangat inferior atau perasaan terlalu rendah diri kerana dilahirkan dalam bangsa Melayu. Bagi mereka, suatu perkara yang amat memalukan apabila dilahirkan dalam kalangan bangsa Melayu. Tanggapan-tanggapan negatif ini lahir kerana mereka tidak tahu dan tidak mahu ambil tahu berkenaan dengan kemenjadian bangsa Melayu itu sendiri.
Generasi yang tidak celik sejarah ini menyebabkan kebudayaan Melayu menjadi bahan kutukan dan diperlekehkan oleh mereka, seterusnya mereka lebih rela mengambil cara hidup luar seperti barat ataupun gaya hidup arab sebagai gaya hidup mereka. Situasi ini amat menakutkan kerana jika kesedaran sejarah tidak diberikan, lambat laun kebudayaan Melayu akan sirna, jadilah seperti masyarakat Tagalog yang dihispanickan sehingga menjadi bangsa Sepanyol jadi-jadian.
Kita masih lagi terpengaruh dengan mainan perang saraf penjajah yang memang bijak dalam strategi “Divide and rule” atau Pecah dan Perintah dengan mengelaskan Melayu sebagai bangsa yang malas, bodoh, tidak berdaya saing dan pelbagai sentimen negatif yang dipermainkan oleh banyak Orientalis Barat seperti Emily Innes, Issabella Bird, Frank Swettenham, Stamford Raffles, Hugh Clifford dan ramai lagi pengkaji British hanya kerana orang Melayu tidak mahu bekerjasama membangunkan bandar dan kepentingan ekonomi British di tanah Melayu.
Penulis-penulis Melayu yang Pro-British seperti Abdullah Munsyi juga memburukkan lagi keadaan dengan penulisan yang merendah-rendahkan bangsa Melayu itu sendiri. Masalah ini berlarutan sehingga negara kita mencapai kemerdekaan kerana pendapat Orientalis yang banyak merendah-rendahkan bangsa Melayu dijadikan sumber rujukan dalam pelbagai disiplin ilmu termasuklah sejarah. Akhirnya, pandangan sinis penjajah terhadap bangsa Melayu digunapakai dan dijadikan rujukan bagi menggambarkan bangsa Melayu sebagai bangsa yang lemah dan tidak berdaya saing dalam pelbagai bidang.
Sehinggakan, semasa mahu menuntut kemerdekaan juga, bangsa Melayu disindir dengan mengatakan bahawa hendak membuat sebatang jarum pun tidak mampu. Walhal, bangsa Melayu itu sendiri adalah suatu bangsa yang mempunyai peradaban yang tinggi, yang pernah membina monumen-monumen agung seperti Candi Borobudur, Pusat Peleburan Besi terbesar dan termaju zaman purba di Sungai Batu, pelabuhan entreport yang bersistematik di Melaka dan banyak lagi kejayaan-kejayaan bangsa Melayu di zaman dahulukala.
Selain itu, bangsa Melayu juga memiliki nilai ketamadunan dan falsafahnya yang agung, apatah lagi selepas bangsa Melayu memeluk agama islam beramai-ramai tanpa paksaan ataupun peperangan, bangsa Melayu berjaya menghasilkan beribu-ribu manuskrip dengan pelbagai bidang ilmu seperti ilmu berkaitan Al-quran dan hadis, matematik, falak, sains, seni perang dan sebagainya.
Bangsa Melayu juga sebenarnya bangsa yang sangat berdaya saing dan sering menjadi pemain utama perdagangan maritim dunia, dengan wujudnya pelbagai Negarakota dan Empayar Maritim di sepanjang Selat Melaka dan kawasan sekitarnya. Pedagangan bangsa Melayu dapat dikesan sehingga ke Zanzibar, Afrika Timur dan Anatolia di Turki. Koloni-koloni Melayu juga dikesan di Semenanjung Arab dan Parsi sejak zaman dahulu sehingga sekarang, yang mana pedagang yang berasal dari Malaysia dan Indonesia sangat ramai di Negara Arab.
Teori kedatangan bangsa Melayu ke Tanah Melayu juga sering dijadikan isu oleh sesetengah pihak yang mahu Hak Keistimewaan Orang Melayu dimansuhkan kerana anggapan bahawa Bangsa Melayu itu juga pendatang dari luar ke tanah Melayu ini. Mereka beranggapan bahawa Melayu hanya wujud di Tanah Melayu ini selepas penghijrahan Parameswara dari Palembang ke Melaka.
Sebelum penghijrahan Parameswara, Tanah Melayu ini kosong atau hanya dihuni oleh Orang asli semata-mata. Benarkah begitu? Mungkin mereka tidak tahu dengan lengkapnya bahawa ciri-ciri fizikal dan budaya orang asli terutamanya Melayu asli seperti Orang Biduanda yang wujud di Machap Umboo saling tidak tumpah seperti orang Melayu moden kini.
Itu adalah satu contoh bukti penting bahawa Melayu semenangnya sejak zaman-berzaman menghuni negara ini. Selain itu, bangsa Melayu yang memang terkenal sebagai bangsa pelayar terkemuka dunia tidak belayar ke semenanjung yang hanya terletak 30km sahaja dari Palembang? Ini adalah pendapat yang paling dangkal sekali dalam menafikan kewujudan bangsa Melayu. Melayu sememangnya peribumi asal di Tanah Melayu ini dan masih survive dikala banyak bangsa purba lain yang wujud di Asia Tenggara seperti Mon, Khmer dan Pyu ditekan dan dihilangkan identiti mereka, dirompak budaya mereka dan dinafikan hak sebagai peribumi di tanah mereka sendiri.
Sejak di bangku sekolah lagi, kita sering didendangkan dengan teori kedatangan bangsa Melayu dari Yunnan, Selatan China dan hanya tiba menghuni kawasan nusantara ini sekitar 1500 tahun sebelum masihi. Benarkah teori ini? Bagaimana kalau kita mengatakan bahawa terdapat kajian-kajian mutakhir yang lebih jitu berkenaan kewujudan bangsa Melayu sememangnya dari zaman berzaman telah menjadi khalifah di bumi Melayu ini, mungkin kita ini adalah warisan daripada sepasang anak Nabi Adam yang diriwayatkan ada 22 pasang anak, diutuskan untuk mentadbir kawasan Nusantara ini.
Mungkin juga kita ini terdiri daripada pengikut-pengikut Nabi Nuh atau anak Nabi Nuh sendiri yang terselamat daripada bencana banjir besar di zamannya, lalu membina hidup baharu di sini. Pelbagai cerita banjir besar berlegar-legar di seluruh kelompok bangsa Melayu-polinesia terutamanya orang Melayu asli sebagai menyokong pendapat ini.
Jika kita menilai dari segi logik akal, bukankah kawasan khatulistiwayang lebih panas dan merentangi kepulauan Melayu ini lebih sesuai didiami berbanding kawasan Tanah Tinggi Yunnan yang jauh lebih sejuk di zaman ais dahulu, sehingga dalam kajian mengatakan bahawa kepulauan Melayu pada 10,000 tahun dahulu bercantum antara satu sama lain kerana aras laut yang jauh lebih rendah dan ais di Kutub sangat tebal. Kenaikan suhu global menyebabkan banjir besar dan menenggelamkan kawasan pentas benua kita ini yang digelar sebagai Pentas Sunda, yang jauh lebih besar berbanding Negara India mahupun Negara China ini.
Oleh yang demikian, sememangnya sejak tahun 1998 lagi, teori Keluar dari Sundaland atau Pentas Sunda ini telah lama dikaji dan diperbahaskan di peringkat global. Kajian demi kajian yang dipelopori oleh Dr. Stephen Oppenheimer melalui bukunya, Eden of The East dan kajian DNA yang terbaharu iaitu Kajian Single Nucleotid Polymorphism atau SNP yang dijalankan oleh Leeds University mendapati Teori Keluar dari Pentas Sunda lebih tepat berbanding teori datang dari Yunnan. Dapatan kajian mereka juga mendapati bahawa semua manusia di Asia ini berasal dari Pentas Sunda dan bergerak ke Yunnan, Taiwan, China, Jepun dan sebagainya. Kajian DNA Mitokondria manusia juga mendapati bahawa DNA Mitokondria Melayu terutamanya Melayu Kelantan adalah yang tertua di Asia Tenggara malahan tertua di Asia, iaitu setua 60,000 tahun dahulu.
Dalam lipatan sejarah, Melayu telah melalui pelbagai rencah dan telah mewarnai sejarah dunia melalui kegagahan mereka sebagai sebuah bangsa berkerajaan maritim dan terkemuka seantero dunia, yang mana kesan-kesan perdagangan dan campur tangan bangsa Melayu dapat dikesan sejauh benua Afrika dan Amerika. Perdagangan maritimnya dapat dikesan sejauh lebih kurang 3,500 km di antara Kepulauan Melayu dengan Tamadun Lapita yang terletak di tengah-tengah lautan pasifik, lautan terbesar di dunia seawal Tahun 1500 Sebelum Masihi.
Apatah lagi, dalam lipatan sejarah, bangsa Melayu purba telah puas mengembara mengenderai ombak, membelah samudera ganas apabila bangsa Melayu menyebar kira-kira 60% daripada ukur lilit bumi di kawasan khatulistiwa, garisan terpanjang di bumi ini, dengan ciri-ciri fizikal, budaya, etnografi dan linguistik yang ada kemiripan dan dikelaskan sebagai Bangsa Melayu-polinesia. Bangsa ini adalah bangsa yang paling luas tersebar di dunia, terutamanya dalam membina koloni di kepulauan-kepulauan yang jauh di lautan yang ganas dan panas ini.
Kawasan Melayu-polinesia ini sejauh Pulau Rapa Nui (Pulau Easter) di Benua Amerika sehinggalah ke Madagaskar di Afrika. Sejauh Taiwan di Utara sehinggalah ke Aotearoa, atau lebih popular dengan nama pos-kolonialnya New Zealand di Selatan. Bangsa yang mempunyai jumlah bahasa terbanyak di dunia, dengan lebih 1200 bahasa ini melambangkan betapa hebatnya nenek moyang bangsa ini belayar membelah samudera dan membentuk kelompok tersendiri. Pasti kita harus berbangga dengan rekod-rekod dunia purba terhadap keunggulan mereka belayar mengenderai perahu yang sangat besar dan banyak, dengan kemahiran pelayaran yang sangat tinggi.
Melayu juga adalah bangsa yang sinonim dengan kerajaan beraja. Tanpa institusi istana, bangsa Melayu belum tentu dapat mengekalkan budaya dan adat resam mereka. Sifat orang Melayu yang sangat taat kepada raja juga mewujudkan lapisan masyarakat yang tersusun dan sistem pentadbiran beraja yang kemas dan dapat memastikan bangsa Melayu memiliki peradaban tinggi sejak kurun keenam sebelum masihi iaitu Kerajaan Kedah Tua sehinggalah kini, Melayu Malaysia masih ada 9 Raja berdaulat, antara teramai di dunia.
Tidak lapuk dek hujan dan tak lekang dek panas. Kesultanan Kedah pula dinobatkan sebagai Kesultanan tertua di dunia daripada Sultan pertama mereka memeluk islam, Sultan Muzaffar Syah yang diislamkan oleh Syeikh AL-Qumairi pada tahun 531 Hijrah bersamaan dengan 1136 M, dan garis keturunannya tidak putus sehingga ke hari ini, walaupun pernah meminta nobat dari Kesultanan Melayu Melaka, walaupun pernah dijajah oleh Kerajaan Siam Ayuthayya, namun kesultanan Kedah kekal nasabnya sehingga sekarang.
Seperti kata Laksamana Hebat Melaka, Datuk Hang Tuah, “Pantang anak Melayu menderhaka kepada raja,” begitu jugalah hebatnya ketaatan bangsa Melayu terhadap raja. Keadaan ini telah memastikan bangsa Melayu sentiasa harmoni dan tidak bergaduh merebut kuasa, dengan kebanyakan raja-raja Melayu sangat perihatin terhadap rakyat jelata mereka dan mewujudkan hubungan sosial yang aman dan makmur, seterusnya menjamin survival bangsa Melayu sejak zaman Kerajaan Kedah Tua, Srivijaya, Melaka, zaman campurtangan Kolonial dan zaman pasca kemerdekaan. Kerajaan-kerajaan Melayu ini kekal menjadi kerajaan yang ada raja berperlembagaan dengan penggiliran Yang Dipertuan Agung setiap lima tahun sekali. Sesungguhnya kewujudan interaksi antara raja dan rakyat jelata ini melahirkan bangsa Melayu yang lebih beretika, beradab sopan, berlemah-lembut dan berbudi bahasa.
Apa yang lebih menarik berkenaan bangsa Melayu ialah, mereka mempunyai falsafah dalam semua perkara yang dihasilkan oleh mereka. Membina rumah kediaman juga mempunyai falsafah tertentu, pemakaian juga mempunyai nilai sejarah tertentu, cara makan dan berjalan di hadapan orang yang lebih tua juga menjadi norma masyarakat Melayu sangat berbudaya tinggi dan dikagumi oleh masyarakat lain dalam perhubungan diplomatik dengan orang Melayu. Kerajaan-kerajaan Melayu sejak zaman dahulu sehinggalah kini sangat bijak berpolitik dan berdiplomatik sehinggakan Kerajaan Melayu Srivijaya berjaya menguasai politik di Sri Lanka dan India Selatan pada zaman Kerajaan Tambralingga dahulu.
Dalam episod-episod yang akan datang, kita akan huraikan asal-usul bangsa Melayu agar kita kenal siapa diri kita dan tidak merasa terlalu rendah diri dan berfikiran sempit dan negatif, seterusnya dapat menjamin kemajuan bangsa Melayu dalam menempuhi arus globalisasi masa kini. “Takkan Melayu Hilang Di Dunia.”
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih