Ahad, 15 November 202615 Nov 2026
Memahami Perubahan Kutub Geomagnetik Bumi
Falsafah Alamiah

Memahami Perubahan Kutub Geomagnetik Bumi

Sekiranya anda merupakan penganut
ajaran Bumi Datar, artikel ini bukan untuk anda.

Gambar di atas merupakan gambar
bumi kita. Pertama sekali, kita mampu lihat di suatu bahagian atas dan bawah
Bumi kita, terletaknya Kutub Utara dan Kutub Selatan. Bahagian ini merupakan
bahagian yang akan berada tetap sewaktu Bumi sedang berputar dari timur ke
barat, dan di bahagian tengah Bumi kita terletaknya garisan Khatulistiwa,
garisan pemisah yang terletak di tengah-tengah, antara Kutub Utara dan Kutub
Selatan.

Gambar 2: Gambar menunjukkan putaran bumi dengan kedua-dua Kutub Utara dan Kutub Selatan terletak pada titik yang sama sepanjang putaran tersebut.

Baik. Kini kita bicarakan serba
sedikit mengenai fenomena magnetisme pula. Magnetisme merupakan kejadian alam
di mana objek yang memiliki sifat magnetik akan menunjukkan ciri-ciri magnet,
seperti mempunyai dua kutub (Kutub Utara dan Kutub Selatan), dan ia mempunyai
sifat menolak dan menarik. Kalau dua kutub yang sama didekatkan, ia akan menolak.
Dan andaikata dua kutub berbeza didekatkan, ia akan menarik. Bumi merupakan
salah satu contoh magnet yang besar, dan akan dijelaskan dengan lebih lanjut.

Sekarang, bayangkan anda ada sebiji
kompas magnet. Kompas magnet, sama seperti Bumi, mempunyai dua kutub, Kutub
Utara dan Kutub Selatan. Bayangkan kompas anda sedang menghadap ke arah Utara.
Hal ini bermakna – Kutub Utara bagi kompas magnet anda sedang menghadap ke arah
Kutub Utara Bumi.

Dan ini sebenarnya adalah sesuatu
yang pelik.

Kenapa? Sebab sekiranya magnet
dalam kompas kita itu hujungnya adalah Kutub Utara, dan ia sedang menunjuk ke
arah Kutub Utara Bumi, hal ini ganjil kerana dua Kutub Utara sepatutnya
saling menolak antara satu sama lain apabila ia dipertemukan!

Kutub Utara Magnet dan Kutub Utara Geografi

Dari situasi ini, saintis sedar
bahawa kita telah meletakkan Kutub kita pada tempat yang salah. Sepatutnya,
seandainya kita memiliki kompas, dan hujung kompas kita menunjukkan arah utara,
arah yang kompas kita tunjukkan adalah arah Kutub Selatan, kerana Kutub Utara
dan Kutub Selatan akan menarik antara satu sama lain.

‘Kesalahan’ ini telah melahirkan
dua istilah yang berbeza dalam sains, iaitu istilah Kutub Utara Geografi yang
merujuk kepada Kutub Utara Bumi kita, dan istilah kedua adalah Kutub Utara
Magnet, yang merujuk kepada arah sebenar Kutub Selatan Magnet yang pada asalnya
‘salah’. Untuk pemahaman lebih lanjut, boleh rujuk gambar di bawah.

Gambar 3: Dua istilah yang berbeza – Kutub Utara Geografi yang merujuk kepada Kutub Utara, dan Kutub Utara Magnet yang merujuk kepada Kutub Utara Magnet.

Bagaimana Kutub Geomagnetik Bumi Terbentuk?

Sebelum kita pergi ke topik lebih
berat, ayuh kita berkenalan terlebih dahulu dengan lapisan-lapisan dalam Bumi.
Lapisan yang pertama bagi Bumi adalah lapisan kerak Bumi. Kerak Bumi ini adalah
tempat tinggal kita, dan ia berterusan sedalam antara 5 km hingga 70 km ke
dalam Bumi. Selepas lapisan kerak Bumi, kita ada lapisan Mantel Bumi yang
terletak antara 35 km hingga 3000 km ke dalam Bumi dan lapisan Teras Bumi yang
terletak antara 3000 km hingga 6000 km. Mantel Bumi terdiri dari Mantel Atas
Bumi dan Mantel Bawah Bumi, manakala Teras Bumi pula boleh dibahagi kepada
Teras Luar Bumi dan Teras Dalam Bumi (Nilai ini merupakan anggaran kasar
penulis, nilai sebenar boleh disemak di rujukan).

Gambar 4: Gambaran bagi lapisan Bumi.

Satu perkara yang kita perlu
fahami adalah, semakin dalam Bumi kita, tekanan yang ada juga semakin tinggi.
Hal ini menyebabkan kita mengalami kesukaran untuk meneroka Bumi kita sendiri,
dengan penggerudian saintifik paling dalam yang pernah dilakukan adalah di Rusia
(Kola Superdeep Borehole), dengan kedalaman sejauh 12 km. Bayangkan, dengan
menggali kedalaman hanya sejauh 12 km, suhu yang dicatatkan di bahagian paling
dalam itu adalah 180oC!

Sekiranya kita tidak pernah
meneroka sehingga ke dalam Bumi, jadi bagaimana kita tahu kedalaman Bumi dan
komposisi Bumi? Kita main teka-teka ke? Tidak! Dalam kajian saintifik, saintis
dilarang untuk meneka, sebaliknya saintis mengumpul data tentang sesuatu
perkara, dan dari kesemua data yang ada, saintis akan membuat pemodelan
matematik (mathematical modeling) yang digunakan bagi kajian penentuan suatu
perkara.

Benda ini samalah macam kajian
lohong hitam. Kita tahu manusia tidak pernah sampai ke mana-mana lohong hitam,
namun dengan pemahaman kita terhadap Relativiti Umum (General Relativity),
Radiasi Jasad Hitam (Blackbody Radiation), Thermodinamik (Thermodynamics) dan
Fizik Kuantum (Quantum Physics), kita mampu meneroka lohong hitam berdasarkan
model yang kita bina.

Hal yang sama juga teraplikasi
bagi kes Bumi. Saintis menggunakan pengetahuan mereka terhadap sifat bahan dan
melakukan pemodelan Bumi. Dalam kes medan Geomagnet Bumi atau Kutub Geomagnet
Bumi, antara teori yang terkini yang digunapakai bagi menjelaskan kejadian
Medan Geomagnet Bumi adalah Teori Dinamo (Dynamo Theory). Dalam Teori
Dinamo, disebabkan lapisan Teras Luar Bumi terdiri daripada cairan besi (ya,
besi di Teras Luar adalah dalam bentuk cairan akibat daripada suhu dalam Teras
Luar Bumi yang amat panas), dan cairan besi ini sentiasa bergerak akibat
putaran bumi, melahirkan medan Geomagnet.

Analogi yang selalu penulis
gunakan untuk menerangkan situasi ini adalah sama seperti dinamo pada basikal.
Pada basikal selalunya kita letakkan magnet, dan apabila kita mengayuh basikal,
pergerakan kita itu akan menyebabkan terhasilnya elektrik bagi lampu pada
basikal kita. Kiranya, sifir mudah di sini adalah pergerakan + magnet =
elektrik. Terbalik pula halnya bagi Bumi, disebabkan lapisan Teras Luar Bumi
terdiri daripada cairan besi, pergerakan cairan besi ini akan menghasilkan arus
elektrik, dan elektrik ini akan menghasilkan induced magnetic field. Sifirnya: pergerakan
+ elektrik = magnet.

Perubahan Kutub Magnetik Bumi dan Kiamat

Disebabkan Kutub Magnetik Bumi
sendiri masih lagi dalam bentuk pemodelan matematik, perlu ditekankan bahawa
masih terdapat beberapa lompong dari segi pengetahuan kita terhadap medan
magnet Bumi. Baru-baru ini kita dikejutkan dengan berita bahawa Kutub Utara
Magnet kita sedang berubah. Kebanyakan orang kelihatan agak khuatir dengan
situasi ini, dan menyatakan bahawa ini berkemungkinan besar merupakan
tanda-tanda kiamat.

Perlu penulis tekankan bahawa
medan magnet kita terjadi akibat cairan besi dalam Bumi. Apabila saintis
menyatakan bahawa perubahan kutub sedang berlaku, perubahan kutub yang dimaksudkan
adalah perubahan Kutub Magnet Bumi, dan bukan perubahan Kutub Geografi Bumi.
Maksudnya, Kutub Utara kita (Kutub Utara Geografi) masih lagi terletak di utara
Bumi, cuma medan magnet kita (Kutub Utara Magnet) kita yang sedang mengalami
perubahan. Mungkin berlaku perubahan pada pergerakan cecair besi dalam Teras
Bumi, siapa tahu?

Perubahan Kutub Magnet ini bukan
sahaja terjadi di Bumi, bahkan Matahari kita sendiri berubah kutub pada setiap
11 tahun. Maka, untuk mengatakan bahawa perubahan kutub ini adalah sesuatu yang
terjadi secara alamiah adalah suatu pernyataan yang tepat. Banyak lagi
objek-objek ala yang menunjukkan perubahan kutub yang terjadi secara
semulajadi. Justeru, tidak ada apa yang perlu kita risaukan. Bukan?

Namun begitu, bagi kebanyakan
umat Islam, kita percaya bahawa kiamat tidak akan terjadi sehinggalah matahari
terbit dari arah barat. Hal ini tercatit dalam kitab Sahih Bukhari dan Sahih
Muslim, terdapat enam tanda besar kiamat dicatatkan.

Dalam satu riwayat Muslim,
daripada Abu Hurairah, Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Bersegeralah dalam
beramal sebelum datang enam perkara: Terbitnya matahari dari barat, asap,
Dajjal, al-Dabah, perkara khusus daripada kalangan kamu (kematian) dan urusan
umum (kiamat).”

Melihat kepada alam dari
pandangan penulis, penulis dapati Allah s.w.t tidak menjadikan tanda-tanda
kiamat dalam keadaan tiba-tiba, sebaliknya ia berlaku dalam keadaan semulajadi.
Antara contoh tanda kiamat kecil yang kini kelihatan seperti wabak semulajadi
adalah berleluasanya zina, yang kini dianggap satu perkara biasa dalam dunia
Barat.

Maka menurut pandangan penulis,
apabila berlakunya Keterbalikan Geomagnet (Geomagnetic Reversal), Utara yang
sering kita kenali dulu kini akan bertukar arah, dan hal ini akan mengubah
kedudukan arah mata angin kita sendiri. 
Sekiranya sebelum ini Utara sering digambarkan di atas, dengan Selatan
di bawah, Timur di kanan dan Barat di kiri, apabila berlakunya perubahan Kutub
Magnet, arah Utara akan berada di bawah, manakala Selatan akan berada di atas,
Barat akan berada di kanan dan Timur akan berada di sebelah kiri.

Maksudnya, meskipun putaran Bumi
tidak berubah, namun sekiranya kita mengubah arah mata angin kita, kita akan
memberi definasi baru bahawa Matahari akan terbit dari arah Barat, dan menuju
ke Timur!

Ini mungkin cuma spekulasi, namun
cukuplah ini sebagai peringatan bahawa tanda-tanda kiamat itu sedang
menghampiri kita.

Gambar 5: Arah mata angin kita sekarang, dan sekiranya arah mata angin kita berubah secara teknikalnya matahari akan terbit dari arah ‘barat’ menuju ke ‘timur’

Video dan link –

National Centers for Environmental Information – https://www.ngdc.noaa.gov/geomag/faqgeom.shtml#What_are_the_magnetic_elements

“What is a geodynamo?” https://www.dw.com/en/what-is-a-geodynamo/av-18606203

“Recreating Earth’s Core in the
Lab” https://www.youtube.com/watch?v=JaNtlZA4724

Rujukan:

Astro Awani (7 Februari 2019). “Medan
magnetik Kutub Utara dikesan semakin beralih – Kajian”.

A. Casselman (28 Februari 2008).
“The Earth Has More Than One North Pole”. Scientific Americana.

B. A. Buffett (16 Jun 2000).
“Earth’s Core and the Geodynamo”. ScienceMag, Vol 288, pp. 2007-2012.

Byrd, Deborah (21 Ogos 2018).
“Researchers find fast flip in Earth’s magnetic field”. EarthSky.
Retrieved 22 August 2018.

M. Williams (7 Disember 2015).
“What are Earth’s layers?” Phys.org

Perhatian sebentar.

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami. Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM5.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM5 / RM10 / RM50

Kongsi

No comments yet