Pengembaraan bagi orang terdahulu bukan sekadar untuk menuntut ilmu dan berdagang. Tetapi ia juga bertujuan meluaskan pandangan dunia melangkaui wilayah yang dikenali. Dan atas sebab itulah, nama Ibnu Battuta harum dalam kalangan umat Islam sehingga hari ini. Ini kerana menerusi catatan pengembaraannya, umat Islam hari ini mengetahui sejarah sesebuah bangsa dan kerajaan terutama di Alam Melayu.
Apa yang diketahui tentang dirinya datang daripada bukunya yang terkenal, Rihlah Ibnu Battuta. Ibnu Battuta atau nama sebenarnya Abu Abdullah Muhammad ibn Abdullah al-Lawati al-Tanji ibn Battuta dilahirkan pada 24 Februari 1304 di Fez, Maghribi semasa era pemerintahan dinasti Bani Marin. Beliau datang dari keluarga kadi atau hakim – latar belakang yang membantunya bila dilantik sebagai kadi beberapa buah kerajaan semasa pengembaraannya.
Selain daripada itu, tidak diketahui sedikit pun tentang latar belakang penuh dirinya. Ini termasuk bilangan isteri dan anak-anak beliau yang sebenar. Tetapi yang pasti, sejak dari muda lagi, Ibnu Battuta mempunyai keinginan membara untuk mengembara dan mempelajari dunia baru melangkaui Fez dan wilayah sekitarnya.
Justeru, apabila beliau mencecah usia 21 tahun, perkara pertama yang dilakukan ialah menunaikan rukun Islam kelima di Makkah. Tiada siapa menyangka perjalanan pada Jun 1325 itu merupakan kali terakhir Ibnu Battuta melihat kota kelahirannya Fez. Beliau kembali ke ibu kota Bani Marin itu lebih tiga dekad kemudian.
Perjalanan solonya itu menyaksikan beliau melalui beberapa wilayah Afrika Utara sebelum tiba di Tunis. Bohonglah sekiranya anak jati Fez itu tidak merindui tanah airnya semasa perjalanan. Hakikatnya, beliau pernah menumpahkan air mata kerana rasa rindu terhadap keluarga tercinta. Tetapi perasaan tersebut diatasi dengan rasa cintanya yang mendalam terhadap pengembaraan.
Semasa di Tunislah, beliau berkesempatan berguru dengan para ulama di situ. Disebabkan latar belakangnya dari keluarga kadi dan mahir memikirkan hukum sesuai bagi setiap permasalahan, pemerintah Tunis cuba melantiknya sebagai kadi wilayah tersebut. Bagaimanapun, Ibnu Battuta menolak perlantikan berkenaan dan memilih untuk terus berkelana ke Makkah pada November 1325.
Sayang sekali Rihlah tidak merekodkan anekdot perjalanannya merentasi Afrika Utara. Tetapi menerusi penerangan tentang kota-kota dan orang yang ditemuinya sepanjang perjalanan, ia sedikit sebanyak memberi gambaran tentang suasana dan persekitaran wilayah berkenaan pada ketika itu.
Pada musim bunga 1326, Ibnu Battuta tiba di Mesir atau lebih tepat Iskandariyah. Dikatakan sebelum tiba di Kaherah, beliau dikatakan pernah berkahwin dengan seorang wanita tempatan tetapi ia tidak bertahan lama. Semasa di Kaherah, beliau bukan saja meninjau infrastruktur kota berkenaan seperti Universiti al-Azhar dan Masjid Amru bin al-As.
Malah, Ibnu Battuta juga berkesempatan memberi nasihat kepada pemerintah Mamluk ketika itu berkenaan tingkah laku pengguna rumah mandi awam atau hammam yang tidak menutup tubuh badan mereka. Dari situ, beliau mudik sepanjang Sungai Nil untuk sampai ke bandar pelabuhan Aydhab. Begitupun, hasratnya untuk berangkat ke Semenanjung Tanah Arab tidak kesampaian selepas satu pemberontakan tercetus di situ. Ini memaksa beliau berpatah balik ke Kaherah.
Dari Kaherah, Ibnu Battuta memilih untuk pergi ke Makkah melalui laluan para jemaah dari Syam pada Julai 1326. Beliau berkesempatan singgah di Baitulmaqdis dan menziarahi Masjidl Aqsa di mana ia mempunyai populasi seramai 10,000 orang ketika itu. Ia sama sekali berbeza dengan Damsyik yang bertaraf kota metropolis dengan populasi lebih 10 kali ganda daripada Baitulmaqdis.
Dengan statusnya sebagai kota tertua di dunia yang dihuni manusia secara berterusan, ia sentiasa dipuji oleh para pengembara Islam yang singgah di situ. Di Damsyik, Ibnu Battuta menziarahi Masjid Jami’ Umawi dan bergaul dengan ramai figura terkenal seperti bangsawan, pemerintah dan pedagang.
Dari Damsyik, beliau mengikut rombongan kafilah menuju ke Tanah Suci. Apabila mereka melewati bekas kubu ten.te.ra Salib iaitu Karak, beliau mendapati langkah para jemaah dipercepatkan seolah-olah bimbang menjadi mangsa penghuni kubu berkenaan. Karak pernah menjadi saksi peristiwa pembu.nu.han rombongan haji oleh ten.te.ra Salib atas arahan salah seorang panglima mereka, Raynald de Chatillon. Beliau kemudiannya ma.ti di tangan Salahuddin al-Ayyubi selepas kejayaan ten.te.ra Ayubiyyah di Hattin pada 1187.
Selepas tinggal di Madinah selama empat hari, rombongan haji Ibnu Battuta akhirnya tiba di Makkah. Selepas selesai menunaikan rukun Islam kelima itu, timbul keinginan untuk pulang ke kampung halaman. Tetapi Ibnu Battuta memilih untuk menerima jemputan seorang bangsawan Ilkhanate mengikut rombongan mereka pulang ke wilayah yang ditadbir oleh Dinasti Hulagu itu pada November 1326.
Di wilayah berkenaan, beliau melawat beberapa kota seperti Najaf, Shiraz, Tabriz, Basrah dan Baghdad. Semasa di Baghdad, Ibnu Battuta teringat kata-kata ayahandanya tentang kota itu. Kata-kata tersebut berbunyi, “Bagi orang kaya, Baghdad ibarat pintu yang terbuka luas. Tetapi bagi orang miskin, Baghdad langsung tidak memandang kewujudan mereka.” Ibnu Battuta turut berkesempatan meluangkan masa seketika di Universiti Nizamiyyah dan Universiti Mustansiriya, dua institusi pendidikan ulung Baghdad ketika itu.
Selepas beberapa lama di bekas ibu kota kerajaan Abbasiyyah itu, beliau kembali berangkat ke Tanah Suci untuk menunaikan haji buat kali kedua. Mengikut catatan Rihlah, Ibnu Battuta kekal di Makkah selama beberapa tahun sebelum kembali berkelana pada 1329. Pada ketika itu, jarak perjalanan yang ditempuhinya melebihi 4,000 batu.
Pada tahun tersebut, Ibnu Battuta berlayar sepanjang Laut Merah untuk tiba di Yaman sebelum berlabuh di Mogadishu dan Mombasa. Begitupun, ia bukan satu perjalanan mudah lebih-lebih lagi bila berdepan an.ca.man la.n.un dan cubaan bu.n.uh ke atas dirinya. Tetapi pada akhirnya, ia berjalan lancar dengan beliau singgah di Oman dan Bahrain sebelum kembali ke Makkah.
Setahun selepas itu, Ibnu Battuta berkelana pula ke bumi Anatolia dan mempunyai pelbagai anekdot menarik tentang wilayah berkenaan. Salah satunya ialah hamba-hamba perempuan Yunani dibeli untuk tujuan pela.cu.ran dengan setiap bayaran untuk khidmatnya dibayar kepada tuannya. Jika ada pelanggan yang mahu bersama dengan hamba wanita itu di rumah mandi awam, dia boleh berbuat demikian tanpa dihalang sesiapa.
Dari Anatolia, Ibnu Battuta berlayar merentasi Laut Hitam untuk sampai ke Volga sebelum menuju ke rantau Balkan di sebelah selatan. Setibanya di Constantinople pada 1332, beliau diberi peluang menghadap Maharaja Rom Timur/Byzantine, Andronikos III Palaiologos.
Dalam sesi menghadap, baginda bertanya tentang keadaan kota-kota yang dikuasai kerajaan Islam seperti Baitulmaqdis, Kaherah, Damsyik dan Baghdad. Mungkin ada yang merasa aneh dengan pertanyaan Andronikos III. Hakikatnya, ketiga-tiga kota ini pernah berada di bawah pentadbiran Rom sebelum kemudiannya menjadi jajahan takluk kerajaan Khulafa’ al-Rashidin pada abad ketujuh Masihi. Sementara Baghdad pula merupakan kota ilmu yang terus berkembang walaupun selepas dilanggar pihak Mongol pada abad sebelumnya.
Di sebalik layanan baik yang diberi baginda, Ibnu Battuta sedar Constantinople merupakan kota yang sedang mengalami zaman kemerosotan. Dengan keadaan pasar yang kotor dan jambatan-jambatan rosak, lambat-laun ramalan Rasulullah s.a.w tentang kejatuhan kota ini akan menjadi kenyataan. Constantinople kemudiannya tumbang pada abad ke-15 di tangan angkatan Turki Uthmaniyyah pimpinan Mehmed II.
Pada musim luruh 1332, Ibnu Battuta berangkat ke Asia Tengah dan berkesempatan menziarahi makam sepupu Rasulullah s.a.w bernama Qutham bin Abbas r.a di Samarkand. Qutham tiba di situ pada 676 Masihi untuk mengislamkan populasinya yang berfahaman Majusi. Bagaimanapun, usaha beliau tidak berhasil di mana mereka menahan dan membu.n.uh Ahlul Bait itu.
Selepas dua tahun mengembara sekitar Asia Tengah, Ibnu Battuta tiba di Delhi pada 1334. Delhi pada ketika itu diperintah Sultan Muhammad ibnu Tughlug di mana tradisi menetapkan pelawat membawa hadiah berharga untuk baginda. Selepas meminjam beberapa aset berharga daripada seorang saudagar Iraq, Ibnu Battuta berupaya menyediakan hamba-hamba, anak pa.n.ah, 30 ekor kuda dan unta sebagai hadiah kepada baginda.
Hasilnya, Sultan Muhammad melantiknya sebagai ketua kadi untuk Kesultanan Delhi. Tetapi dalam tempoh enam tahun, ia bukan sesuatu yang mudah untuk anak jati Fez itu. Ini kerana beliau boleh saja menjadi pegawai kegemaran baginda atau disyaki sebagai pengkhianat. Justeru, apabila Sultan Muhammad menawarkan peluang untuk menjadi duta baginda ke China pada 1341, ia segera direbut oleh Ibnu Battuta.
Bagaimanapun, perjalanan ke China bukan sesuatu yang mudah. Dalam perjalanan, rombongannya dise.ra.ng oleh 4,000 pemberontak Hindu. Ini memaksa Ibnu Battuta meneruskan perjalanan secara berseorangan sebelum tiba di Maldives. Beliau kekal di situ selama sembilan bulan sebagai ketua kadi sebelum berkelana ke Sri Lanka dan mendaki Puncak Adam. Dari situ, Ibnu Battuta meneruskan perjalanan ke Chittagong yang digambarkan sebagai tempat kotor tapi penuh dengan objek indah.
Sebelum tiba di Quanzhou, China, beliau singgah di Pasai pada 1345 dan menjadi tetamu Sultan al-Malik al-Zahir. Di sini, Ibnu Battuta dibekalkan dengan bekalan mencukupi dan sebuah jong untuk tiba di China dengan selamat. Setibanya di sana, walaupun takjub melihat kota-kotanya dibanjiri manusia, beliau merasa terganggu dengan elemen paganisme yang diamalkan warganya. Ini berkemungkinan merujuk kepada agama Buddha yang menjadi pegangan majoriti warga China ketika itu.
Menjelang 1348, beliau memulakan perjalanan pulang ke Fez. Setibanya di Damsyik, Ibnu Battuta diberitahu bapanya telah tiada 15 tahun lalu dan bertemu dengan putera yang tidak pernah dilihatnya dalam tempoh 10 tahun. Tetapi sebaik pulang, beliau kembali berkelana buat kali terakhir ke Empayar Mali pada 1351 dan kekal di sana selama tiga tahun.
Pada 1354, Ibnu Battuta pulang ke Fez dan memilih untuk tidak lagi mengembara. Atas arahan pemerintah Bani Marin Sultan Abu Inan, beliau mula meriwayatkan kisah pengembaraan Rihlahnya dengan bantuan rakan lamanya dari Granada, Ibnu Juzayy. Ibnu Battuta dikatakan menghembuskan nafas terakhir sekitar 1368/1369 selepas sebelumnya dilantik sebagai kadi di Fez.
RUJUKAN
Marozzi, J. (2021, 30 Ogos). Ibn Battuta: the most famous traveller of the medieval Arab world. History Extra.
Sumber gambar: Burt Silverman/National Geographic.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih