Berpuluh-puluh ribu tahun manusia prasejarah mengamalkan gaya hidup berpindah randah. Secara tidak langsung, gaya hidup ini mencetuskan migrasi sangat besar yang memangkinkan sebuah taburan di setiap benua.

Bagi yang tertanya-tanya, manusia prasejarah mengamalkan kehidupan nomad kerana ikut makanan. Apabila binatang bergerak, maka bergeraklah mereka. Ketika itu mereka tidak tahu bertani. Jadi mereka membina rumah mudah alih setakat angkut pasang seperti tulang dan kulit gajah mammoth misalnya.

Ilmu pertanian mula menjadi tunas hidup sekitar 10,000 tahun lalu. Masa ini barulah mereka hidup setempat dengan cara berbakti pada tanah (Price, 2017).

Ini semua kerja puak Natufia, dipercayai budaya pertama yang bertani. Natufia juga berjaya menjinakkan anjing dan babi (Price & Hongo, 2020). Bermakna peralihan daripada nomadisme ke pastoralisme dicetuskan Natufia.

Zon Budaya Natufia

Tetapi ada satu persoalan di sini. Sains mempunyai bukti yang manusia bermigrasi ke ceruk-ceruk pedalaman yang jelas sekali tandus tanpa sebarang makanan. Habis bagaimana manusia prasejarah berhijrah nun jauh ke tempat-tempat begini… kalau betul tiada makanan?

Logiknya, mereka membawa haiwan ternakan. Tetapi kalau tμmbαηg seekor lembu yang setia mengikut, takkan mungkin mereka mampu membawa segala daging. Tambah pula sehari dua, daging akan busuk. Maka berbalik pada persoalan.

Cairan Putih Yang Menghentak Laju

Manusia prasejarah bukan setakat pandai menternak haiwan. Sebaliknya, mereka juga sudah pandai mεmerαh susu (Valente, 2017).

Bukti terdapat pada gigi beberapa rangka manusia. “Kalkulus” dalam bahasa pergigian tidak sama seperti bahasa matematik tambahan.

Karang gigi yang bergumpal pada akar.

Definisi marhaen adalah “karang gigi”, iaitu gumpalan plak (plaque) yang mengeras pada permukaan gigi. Saintis dengan begitu berhati-hati mengikis keluar kalkulus untuk menjalankan analisis protein.

Melalui kaedah ini, saintis mengenal pasti rangka yang pernah minum susu. Dan melalui kaedah pentarikhan radiokarbon pula, saintis boleh tahu rangka apa dari zaman bila. Gabungan dua kaedah ini membuka jendela baru dalam memahami pemakanan prasejarah.

Sebelum Zaman Gangsa, lebih daripada 90 peratus tidak minum susu. Masuk saja Zaman Gangsa, iaitu zaman manusia bermigrasi ke tempat tidak tercapai sebelum ini, 94 peratus minum susu (Wilkin, et al., 2021).

Dapatan ini sahaja tidak mencukupi. Saintis ingin tahu susu haiwan apa mereka minum. Dengan teknologi komputer, mereka mampu menjalankan analisis terperinci untuk membandingkan asid amino (pendahulu protein) susu yang berbeza mengikut haiwan.

Apabila asid amino bergabung, mereka dipanggil peptide. Kalau tengok asid amino manusia moden, memanglah susu diminum adalah daripada kambing, lembu atau sayur-sayuran (badam misalnya). Tetapi kalkulus manusia prasejarah mengandungi asid amino daripada kuda.

Pintu Perbincangan Baru

Penemuan ini amat mengejutkan. Kerana saintis kemudian berdebat pula pasal penjinakkan kuda yang dipercayai berlaku sekitar 6,000 tahun lalu di Western Steppe (Librado, et al., 2021). Tetapi pengamalan susu kuda katanya bermula 3,500 tahun lalu dalam kalangan masyarakat Botai di Kazakhstan.

Rangka-rangka prasejarah ini berasal daripada zaman 5,000+ tahun lalu. Dalam kalangan rangka-rangka Botai pula, sangat susah untuk jumpa karang gigi berpeptide susu kuda. Ini pula ada jurang 1,500 tahun, yang mana manusia prasejarah dikatakan bermigrasi jauh seolah-olah susu kuda adalah perkara biasa.

Di sini mungkin ada satu kesimpulan mudah. Manusia prasejarah bersifat sama seperti manusia moden. Apabila terdesak, sanggup makan apa sahaja. Teringat susu kuda dengan perut berkeroncong lapar, silap-silap ada yang minum terus daripada ambing kuda.

RUJUKAN:

Librado, P., et al. (2021). The origins and spread of domestic horses from the Western Eurasian steppes. Nature. 598, 634-640.

Price, M. (2017, Mac 27). When did humans settle down? The house mouse may have the answer. Science.

Price, M., & Hongo, H. (2020). The Archaeology of Pig Domestication in Eurasia. Journal of Archaeological Research. 28, 557-615.

Valente, L. (2017, April 23). The Origins of Milk: Why Was the First Cow Milked in the First Place?. Medium.

Wilkin, S., et al. (2021). Dairying enabled Early Bronze Age Yamnaya steppe expansions. Nature.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Berbekalkan buku “Perang Salib Pertama: Kelahiran Templar”, Ahmad Faezal mempunyai suatu matlamat bagi Malaysia. Dalam kaca mata beliau, bangsa Melayu perlu bangkit membaham ilmu sepertimana mereka memakan nasi. Seorang pengikut setia bidang astronomi dan isu semasa, beliau mengimpikan bangsa Melayu dalam masa 100 tahun boleh melibatkan diri secara aktif dalam bidang-bidang sains terperinci. Beliau juga seorang penulis dan penterjemah upahan, yang sedia menerima klien.

Comments are closed.