Korang dah khatam series Diriliş: Ertuğrul? Best kan. Ada orang yang sebulan lebih je dah habis 5 season. Drama ini siap masuk Guinness World Record tau.

Apa kaitan Ertugrul dengan Rumi?

Kalau perasan, episod Ertugrul ada pengaruh sufi yang kuat. Mereka buat hadra zikir sambil berdiri dan banyak pesanan sufi yang menginsafkan. Sejauh mana budaya sufi ini berkembang?

Ertugrul, bapa kepada Osman Ghazi yang mengasaskan Kerajaan Turki Uthmaniyah telah menerima pengaruh sufi yang kuat daripada Syeikhul Akbar Muhyiddin Ibnu Arabi (1165-1240M).

Sebenarnya, Ertugrul mungkin tidak pernah berjumpa dengan Ibnu Arabi, tetapi Turki Uthmaniyah yang menjadi pewaris Ertugrul sungguh berbangga kerana mereka merasakan telah memenuhi ramalan Ibnu Arabi.

Menurut Ṣadr al-Dīn al-Qūnawī, Ibnu Arabi pernah meramalkan seorang pemuda yang mengasaskan kerajaan yang bertahan ratusan tahun dan membuka kota Konstantinopel, sama seperti sabda Nabi. Uthmaniyah berbangga bahawa merekalah yang dimaksudkan oleh Ibnu Arabi.

Sebagaimana Ibnu Arabi mempengaruhi Ertugrul dari kabilah Kayı, begitulah Rumi dan ayahandanya memberi pengaruh besar kepada Sultan Alauddin Kaykobad dari Kerajaan Bani Seljuk.

Sultan Alauddin Kaykobad (1190-1237M) dan Ertugrul (wafat 1280M) hidup sezaman.

Sultan Alauddin Kaykobad telah menjemput Ertugrul dan kabilahnya untuk mendiami wilayah Söğüt di Anatolia dan menjadikannya pusat pemerintahan. Jasa mereka menewaskan serangan Mongol amat dihargai.

Nantinya, putera Ertugrul bernama Osman Ghazi diangkat pula sebagai sultan Khilafah Turki Uthmaniah yang pertama.

Mari kita cerita pasal Sultan Alauddin Kaykobad dengan ayahanda Rumi, Bahuddin Walad (wafat 1241M)

Kerajaan Seljuk Anatolia berdepan ancaman musuh dari timur dan barat. Serangan tentera Salib dan Mongol tidak pernah berhenti.

Ayahanda Rumi, Syeikh Bahauddin Walad merupakan guru kesayangan Sultan Alauddin Kaykobad.

Kerana rasa hormat yang tinggi, Bahauddin Walad sampai dijemput untuk tinggal di istana diraja. Tapi disebabkan kerendahan hati, Bahauddin Walad menolak. Malahan, sultanul ulama’ lebih selesa tinggal di madrasah kerana baginya, begitulah resmi guru yang berkhidmat kepada ilmu.

Pernah terjadi suatu peristiwa yang mencengangkan rakyat Anatolia. Dalam sebuah majlis keramaian, sultan memanggil dan bertitah kepada ayahanda Rumi.

“Wahai raja rohani, beta telah membulatkan tekad. Keputusan telah muktamad. Mulai hari ini, beta mahu menanggalkan mahkota dan meninggalkan singgahsana kerajaan yang beta warisi. Mulai hari ini, tuanlah raja manakala beta ialah hamba. Kerajaan dunia dan akhirat sekarang di tangan tuan,” seraya menyerahkan mahkota daulah Bani Seljuk.

Rupa-rupanya takhta kerajaan ingin diwariskan kepada Bahauddin Walad.

Semua yang mendengar terpegun.

Sultanul Ulama lantas berdiri dan memeluk Sultan Alauddin Kaykobad, mengucup matanya dan berkata, “Wahai sultan berjiwa malaikat dan berdarjat tinggi! Tuanku telah dikurniakan kekayaan di dunia dan akhirat. Tiada siapa lagi dapat menyangkal. Silakan tuanku kekal di atas takhta. Kami sudah lama menutup mata daripada memandang dunia. Kami mengabdikan diri kepada Allah dan menurut segala perintah-Nya semata-mata.”

Semua yang melihat peristiwa ini terpegun kagum. Dalam lipatan sejarah, Sultan Alauddin Kaykobad kekal ke akhir hayat menjadi sultan yang soleh manakala Bahauddin Walad menjadi guru mursyidnya. Sungguh beruntung rakyat Konya, jarang sekali kemakmuran dunia dan akhirat berganding bahu.

Menariknya, kalau Bahauddin Walad menerima takhta kerajaan dari Sultan Alauddin Kaykobad, maka Jalaluddin Rumi akan jadi putera mahkota. Kalau Bahauddin Walad mangkat, kita akan panggil Jalaluddin Rumi sebagai seorang Sultan!

Apa yang pasti, tradisi guru mursyid di zaman Ertugrul dan Rumi terus mendarahdaging dalam Kerajaan Turki Uthmaniyah.

Oleh: Zaki Sapuan al-Hafiz

Nantikan RUMI: FILSUF CINTA ANATOLIA tulisan Zaki Sapuan Al-Hafiz yang akan terbit 25 NOVEMBER ini! Boleh baca bab PERCUMA dengan klik: https://thepatriots.store/rumi/


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Seorang Penceramah Bebas dan Guru Al-Quran Tauliah Khas. Aktif memenuhi jemputan kuliah agama di 10 buah masjid dan surau dalam sebulan. Bertugas mengajar kelas tahfiz di Pondok At-Tanzil serta mengajarkan al-Quran kepada orang ramai dalam Kelas Al-Quran Dewasa Kg Kelantan dan Kelas Al-Quran Dewasa TIC Kota Tinggi. Diijazahkan sanad 10 Qiraat Al-Quran termasuklah Riwayat Hafs an Asim dari Mesir. Graduan Diploma Qiraat & Tahfiz Al-Quran, Darul Quran JAKIM. Mahasiswa Sarjana Muda Usuluddin & Falsafah, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Leave A Reply