Selepas Marvel Cinematic Universe (MCU) diperkenalkan pada 2008 menerusi filem Iron Man, ia bertanggungjawab mempopularkan banyak watak termasuk watak mitologi Norse. Siapa tidak kenal Odin (Sir Anthony Hopkins), Loki (Tom Hiddleston), Heimdall (Idris Elba) dan Thor (Chris Hemsworth). Tetapi jika diamati kisah sebenar dewa kilat itu dalam mitologi Norse, ia sama sekali berbeza dengan apa yang digambarkan MCU.

Pertama, dari segi penampilan fizikal. Tidak seperti imej Thor versi Hemsworth atau komik Marvel yang berambut dan berkulit putih, Thor versi Norse mempunyai janggut dan kulit kemerah-merahan. Dengan imej fizikal sedemikian sambil menghayun tukul kesayangannya Mjolnir, siapa tak kecut perut melihat kelibatnya. Ini juga menjelaskan mengapa gergasi atau jotunn dalam mitologi Norse lari tak cukup tanah sekiranya mendapati Thor menghayun Mjolnir dalam keadaan  marah.

Thor memukul jotunn-jotunn dengan Mjolnirnya.

Dan jika dibandingkan dengan dewa-dewi lain yang direkodkan dalam sejarah, Thor dianggap yang terkuat dari segi fizikal. Selain kekuatan fizikal, dewa kilat Norse itu turut mempunyai tali pinggang khas bernama Megingjoro yang mampu menggandakan kekuatan yang dimilikinya. Selain dianggap simbol kekuatan, Thor turut melambangkan pokok oak, ribut dan kesuburan.

Bagi orang Norse, kilat bukan saja melambangkan siapa Thor sebenarnya. Bagi kita hari ini, kilat tanda kebesaran Ilahi. Tetapi bagi orang Norse, ia melambangkan pergerakan pedati kambing yang menjadi kenderaan Thor semasa ia merentas langit.

Selain sebagai simbol, namanya turut dijadikan sebagai nama orang atau inspirasi kepada nama hari. Hari Khamis atau Thursday dalam Bahasa Inggeris sebenarnya berasaskan perkataan Inggeris Lama yang bermaksud hari yang penuh dengan kilat. Semasa era Viking (793–1066 Masihi), orang Norse lebih suka menggunakan nama Thor pada nama mereka. Ini sebagai tanda penolakan mereka terhadap ajaran Kristian yang cuba disebarkan di rantau Scandinavia ketika itu.

Kami juga ada karya-karya fiksyen khas untuk para peminat pelbagai genre. – https://shopee.com.my/thepatriotsasia

Kedua, Loki dan Thor tidak pernah mempunyai hubungan persaudaraan seperti digambarkan dalam versi MCU. Loki lebih kepada sebahagian daripada dewa-dewi orang Norse dengan hubungan mereka bersifat pasang surut. Adakalanya, Loki membantu sambil memasukkan sekali elemen helahnya. Dan pada masa yang lain, sentiasa mencetuskan huru-hara dalam kalangan mereka sehingga mengundang kemarahan Thor.

Baik versi MCU mahupun versi Norse memperlihatkan Thor agak lembab dari segi kebijaksanaan – satu aspek yang banyak kali dimanipulasi oleh Loki. Dan disebabkan ciri ini juga, dewa kilat Norse itu suka bertindak melulu tanpa memikirkan kesannya di kemudian hari. Satu cerita paling sesuai dengan ciri Thor ini ialah kisah seorang jotunn bernama Utgarda-Loki.

Utgarda-Loki semasa menyamar sebagai Skrymir.

Kebiasaannya, bagi setiap perjalanan ke dunia gergasi, dewa kilat Norse itu akan ditemani seorang pembantu manusia bernama Thjalfi atau Loki. Tetapi untuk perjalanan ini, kedua-duanya memilih untuk menemani beliau. Semasa melalui kawasan hutan, mereka bertemu dengan seorang jotunn bernama Skrymir. Skrymir memberitahu dia sedia membawa beg makanan mereka sepanjang perjalanan.

Tetapi apa yang menjengkelkan Thor ialah ialah beg makanan yang dibawa jotunn tersebut diikat ketat pada dirinya. Ini menyukarkan dewa kilat itu daripada mendapatkan makanan dalam beg berkenaan. Geram dengan situasi ini, Thor memukul Skrymir sebanyak tiga kali untuk mendapatkan beg makanan tersebut semasa jotunn itu tidur tetapi gagal. Malah, lagi menyakitkan hati, Skrymir menyangka pukulan Mjolnir itu sebagai daun atau buah akorn yang jatuh pada dirinya.

Skrymir dipukul Thor selepas mengikat beg makanan mereka dengan ketat.

Selepas berjaya melepasi kawasan hutan, Skrymir menyerahkan kembali beg makanan kepada mereka sebelum berlalu pergi. Ketiga-tiganya kemudian meneruskan perjalanan sebelum sampai di istana seorang jotunn bernama Utgarda-Loki. Sebaik melihat kelibat mereka yang kenit itu, gergasi itu mentertawakan mereka dan memberitahu mereka tidak boleh menetap di situ. Tetapi sekiranya Thor, Loki dan Thjalfi berjaya mengalahkannya dalam tiga pertandingan, maka mereka dibenarkan untuk singgah di istana berkenaan.

Untuk pertandingan pertama, cabarannya ialah siapa boleh makan makanan yang paling pantas. Loki menawarkan diri untuk bertanding dan lawannya ialah seorang ahli istana Utgarda Loki bernama Logi. Loki berjaya menghabiskan semua daging dalam palung yang disediakan tetapi lawannya makan semua termasuk tulang dan palung itu sendiri. Akibatnya, Loki diisytiharkan kalah.

Seterusnya, Thjalfi perlu bersaing dalam acara lumba lari dengan lawannya Hugi. Walaupun diberi peluang berlumba sebanyak tiga kali, pembantu Thor itu tewas dalam setiap perlumbaan. Utgarda-Loki kemudiannya mengejek dewa kilat itu dengan mendakwa beliau tidak akan dapat mengangkat kucingnya dari lantai. Hal itu cuba dinafikan dengan mengangkat kucing berkenaan tetapi gagal.

Tidak mahu berhenti di situ saja, Utgarda-Loki mencabar Thor bergusti dengan penjaga istananya, seorang nenek bernama Elli. Kedua-duanya mula bergusti tetapi Elli jauh lebih kuat daripada apa yang disangka Thor. Tetapi dewa kilat itu tetap bertahan dengan nenek itu hanya berjaya memaksa Thor berlutut dengan satu kaki. Puas hati dengan apa yang dilihat, Utgarda-Loki membenarkan mereka tinggal di istana untuk semalaman.

Keesokan paginya, tuan rumah memilih untuk mengiringi mereka keluar dari istana. Setelah tiba di satu tempat, Utgarda-Loki mendedahkan siapa dirinya yang sebenar: Skrymir yang menemani mereka semasa dalam hutan. Dia kemudiannya memberitahu apa yang berlaku beberapa hari sebelumnya bahawa semua ini merupakan tipu helah semata-mata.

Pertama, dengan memukulnya semasa tidur, Thor sebenarnya meruntuhkan gunung-ganang dengan setiap hayunan Mjolnirnya. Kedua, Logi yang menewaskan Loki dalam pertandingan makan sebenarnya mewakili kebakaran hutan yang memakan semua benda tanpa sebarang halangan. Ketiga, Hugi pula mewakili apa yang boleh bergerak lebih pantas daripada kaki iaitu sayap penerbangan.

Kucing yang gagal diangkat Thor pula merujuk kepada ular tedung gergasi Midgard atau Jormungandr, ular yang mengelilingi dunia manusia. Ular ini kemudiannya akan menjadi lawan Thor semasa Ragnarok (peristiwa kiamat mengikut kepercayaan orang Norse). Sementara Elli pula mewakili usia tua yang tidak boleh dikalahkan semua orang termasuk Thor. Berang dengan pendedahan Utgard-Loki, beliau cuba memukulnya tetapi jotunn tersebut hilang bersama istananya.

Thor kemudiannya cuba mendapatkan Jormungandr semasa memancing di laut bersama Hymir (salah satu dewa Norse). Walaupun berjaya mengangkat haiwan tersebut, ia mengakibatkan laut bergelora sekaligus berpotensi menenggelamkan kapal yang dinaiki mereka berdua. Tidak mahu perkara tersebut berlaku, Hymir memotong tali yang digunakan Thor untuk menarik haiwan berkenaan. Walaupun dia memahami tindakan Hymir, ia masih lagi mengundang rasa kurang senang kerana terlepas mendapatkan Jormungandr.

Di sebalik perihal lembabnya itu, adakalanya Thor juga licik mengakali pihak lawan. Pada satu ketika, Mjolnir dicuri oleh seorang jotunn bernama Thyrmyr. Loki ditugaskan Thor untuk mencari siapa pencurinya dan itu mendorongnya terbang ke dunia gergasi (Jotunheimr). Di situlah, dia bertemu dengan Thyrmyr dan jotunn tersebut mengakui dia pencuri tukul Thor itu. Bagaimanapun, Thyrmyr bersedia memulangkan Mjolnir dengan syarat salah seorang dewi Norse, Freyja dikahwinkan dengannya.

Selepas pulang ke Asgard (tempat tinggal dewa-dewi Norse), Loki mendedahkan apa yang diketahuinya. Lantas, para Aesir (nama yang merujuk kepada semua dewa-dewi Norse) bermesyuarat dan pada awalnya, menyarankan agar Thor disamarkan sebagai Freyja. Bagaimanapun, Loki tidak bersetuju dan menggesa mereka menimbang semula idea tersebut. Pada akhirnya, mereka memutuskan Thor akan menyamar sebagai Freyja semasa di Jotunheimr dan sebaik saja Mjolnir kelihatan, rampas dan segera pulang ke Asgard.

Sebaik tiba di Jotunheimr bersama Loki (menyamar sebagai dayang Freyja), siapa tak teruja melihat dewi Norse bakal menjadi isteri seorang jotunn. Lantas, satu pesta diadakan bagi meraikan acara istimewa berkenaan. Walaupun rasa pelik dengan penampilan ‘bakal isterinya’ itu, Thyrymr langsung tidak curiga. Thor hanya menanti masa sesuai untuk memulangkan balik paku buah keras terhadap pencuri Mjolnirnya itu.

Apabila kedua-duanya hendak dikahwinkan di bawah seliaan dewi sumpah Norse, Var, Mjolnir digunakan sebagai cara memberkati perkahwinan Thyrymr dan ‘Freyja’.  Ini kerana salah satu peranan Mjolnir ialah sebagai alat merestui perkahwinan. Sebaik melihat tukul kesayangannya itu, Thor segera merampas semula Mjolnir dan mencetuskan huru-hara dalam kalangan jotunn di situ dengan membunuh Thyrymr.

Thor melawan Jormungandr

Semasa Ragnarok, Thor akan kembali bersemuka dengan Jormungandr. Ular ini akan mencetuskan huru-hara di lautan pada hari itu termasuk menyembur bisanya ke dalam air dan udara. Setelah bertarung untuk beberapa lama, Thor berjaya mengalahkan lawannya itu. Tetapi dia juga akan mati selepas bisa gigitan Jormungandr memberi kesan terhadap dirinya.


Dua buku best-seller The Patriots kini kami gandingkan sekali dalam versi bahasa Inggeris untuk kalian semua:
World Without Walls III: https://bit.ly/3PR2Ep9
The Human’s Complex: https://bit.ly/3J2GoGF

RUJUKAN

McCoy, D. (2016). Thor. The Viking Spirit: An Introduction to Norse Mythology and Religion. CreateSpace Independent Publishing Platform

J. Mark, J. (2018, 17 Disember). Thor. World History Encyclopedia.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Leave A Reply