Normal sekiranya kita mengalami luka, maka ia perlu disapu ubat pembasmi kuman sebelum dibalut. Tetapi di dunia haiwan, chimpanzi menggunakan serangga sebagai cara mengubati luka mereka!

Pemerhatian menakjubkan ini disaksikan oleh para saintis yang memerhati tingkah laku chimpanzi sejak 2019 di Gabon, sebuah negara yang terletak di barat Afrika. Penggunaan serangga bukan saja dilakukan pada luka mereka tetapi pada luka chimpanzi-chimpanzi lain. Kesemua dapatan ini direkodkan dalam kajian yang diterbitkan dalam keluaran terbaru jurnal Current Biology baru-baru ini.

Mereka tertarik melihat kerenah seekor chimpanzi bernama Suzee bersama anaknya bernama Sia. Sebaik mendapati ada luka pada kaki anaknya itu, Suzee menangkap seekor serangga dan melenyekkannya dalam mulut sebelum ia disapu pada luka berkenaan. Selepas mengeluarkan serangga itu pada luka Sia, ia disapu semula sebanyak dua kali.

Walaupun ini kes pertama membabitkan ibu dan anak, hakikatnya terdapat banyak kes di mana chimpanzi melakukan perkara sama. Mengikut data mereka, terdapat 76 kes sama dilaporkan dalam tempoh 15 bulan sepanjang pemerhatian mereka di Taman Negara Loango. Luka sebegini terhasil apabila chimpanzi dari kumpulan berbeza bertelagah – kadang-kadang sedalam beberapa sentimeter.

Ahli biologi dari Universiti Osnabruck dan penulis kajian bersama, Simone Pika berpandangan perkara sebegini sememangnya mengejutkan. Ini kerana dengan meletakkan serangga pada luka, ia kelihatan seperti perkara menjijikkan. Tetapi itu tidak berlaku dalam dunia haiwan di mana chimpanzi yang cedera langsung tidak terganggu dengan rawatan berkenaan.

Tambah Pika, perkara sebegini memerlukan kepercayaan yang kuat antara spesies haiwan berkenaan. Ia menunjukkan mereka tahu menerusi rawatan ini, ia akan membantu mereka pulih – satu perkara yang cukup menakjubkan.

Tetapi, mengapa serangga dipilih sebagai ubat untuk luka haiwan? Pika percaya tabiat tersebut sebenarnya mempunyai pelbagai manfaat dari segi kesihatan dan pemulihan. Malah, manusia juga turut menggunakan serangga sebagai penawar untuk penyakit-penyakit tertentu. Misalnya, berenga (maggot) digunakan untuk menyembuhkan luka kronik dan pasca-pembedahan.

Malah, terdapat banyak kajian menunjukkan serangga mempunyai manfaat dari segi antibiotik, antiviral dan antelmintik. Pasukan pengkaji percaya dengan membubuh serangga pada luka chimpanzi yang tercedera, ia dapat melegakan kesakitan yang dialaminya. Walaupun tidak tahu jenis serangga yang digunakan, mereka percaya serangga terbang digunakan memandangkan pergerakan pantas chimpanzi untuk menangkapnya.

Sebelum ini, burung, gajah dan beruang merupakan contoh haiwan yang menunjukkan keupayaan merawat diri mereka sendiri seperti memakan buah atau tanaman tertentu. Tetapi apa yang unik untuk chimpanzi ialah mereka bukan saja merawat diri sendiri tetapi merawat chimpanzi lain.

Tambah Pika lagi, wujud pandangan dalam komuniti saintifik bahawa spesies haiwan tidak boleh menunjukkan tingkah laku pro-sosial seperti menjaga spesies haiwan sama seperti mereka tanpa mengharapkan balasan. Namun begitu, dapatan kajian ini membuktikan sebaliknya. Dengan menunjukkan tingkah laku pro-sosial, ia menunjukkan haiwan mempunyai empati.

RUJUKAN

AFP. (2022, 8 Februari). Chimpanzees observed treating wounds of others, using crushed insects. The Guardian.

Randall, I. (2022, 7 Februari). How chimpanzees use primitive medicine to treat each other’s wounds: Chimp mother is spotted applying an INSECT to a cut on her son’s foot. Daily Mail.

Sumber gambar: Tobias Deschner/AFP/Getty Images


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Leave A Reply