Semalam JDT seri 0-0 dengan Buriram United. Mesti ramai yang tertanya-tanya macam mana asal usul kelab ni.
Kelab ni bukan sahaja mendominasi liga Thailand, malah sering menjadi wakil Thailand dalam AFC Champions League bersaing dengan kelab-kelab besar dari Malaysia, Jepun, Korea Selatan dan China.
Tetapi tahukah anda, sebelum menjadi kelab gergasi bola sepak Thailand, Buriram United asalnya hanyalah sebuah kelab bola pekerja TNB Thailand?
Ya, kelab ini bermula sebagai pasukan pekerja Provincial Electricity Authority (PEA), syarikat pembekal elektrik Thailand.
Dari sekadar bermain untuk pekerja PEA, mereka berkembang menjadi pasukan profesional, sebelum akhirnya diambil alih dan dijadikan sebuah empayar bola sepak oleh Newin Chidchob.
[Asal-Usul: Dari Kelab Pekerja PEA Ke Juara Liga Thailand (1970-2009)]
Buriram United yang kita kenal hari ini bermula pada tahun 1970 dengan nama Provincial Electricity Authority Football Club (PEA FC).
Tujuan asal kelab ini ditubuhkan bukan untuk bersaing dalam liga utama Thailand, tetapi lebih kepada menyediakan aktiviti riadah untuk pekerja syarikat elektrik PEA.
Mereka hanya bermain dalam kejohanan kecil dan liga pekerja sebelum mula menyertai pertandingan yang lebih kompetitif pada tahun 1990-an.
Lonjakan pertama PEA FC berlaku pada tahun 1998 apabila mereka memenangi divisyen ketiga Kor Royal Cup, kejohanan tertua bola sepak Thailand.
Dari situ, mereka layak ke Thai Division 1 League dan terus berusaha menaikkan taraf permainan mereka.
Antara pencapaian terbesar PEA FC sebelum transformasi menjadi Buriram United ialah:
2004 – Naib juara Thai Division 1 League, layak ke Thai Premier League (liga utama Thailand).
2005 – Musim pertama dalam Thai Premier League, terus muncul naib juara liga dan layak ke AFC Champions League buat kali pertama.
2008 – Menjuarai Thai Premier League buat kali pertama, di bawah jurulatih Prapol Pongpanich.
2009 – Layak ke peringkat kelayakan AFC Champions League, tetapi tewas kepada Singapore Armed Forces.
Ketika ini, PEA FC berpangkalan di Ayutthaya dan mula mendapat sokongan kuat daripada peminat tempatan.
Namun, kejayaan mereka turut menarik perhatian Newin Chidchob, seorang ahli politik yang bercita-cita mahu membangunkan bola sepak di Buriram.
[Era Newin Chidchob: Dari PEA FC ke Buriram United (2009-2012)]
Pada Disember 2009, dunia bola sepak Thailand dikejutkan apabila Newin Chidchob membeli hak kelab PEA FC dan memindahkan kelab itu dari Ayutthaya ke kampung halamannya di Buriram.
Keputusan ini mendapat tentangan hebat daripada penyokong Ayutthaya, tetapi bagi Newin, ini adalah langkah pertama untuk merevolusikan bola sepak Thailand.
Kelab ini kemudian dijenamakan semula sebagai Buriram PEA dengan identiti baharu, warna baharu dan hala tuju yang lebih profesional.
Salah satu langkah penting Newin ialah membina stadium khas untuk kelab ini iaitu Chang Arena atau lebih dikenali sebagai “Thunder Castle”.
Stadium ini menjadi stadium pertama di Thailand yang dibina khas untuk bola sepak tanpa trek larian menunjukkan keseriusan Buriram untuk menjadi kelab bertaraf antarabangsa.
Buriram PEA terus mendominasi bola sepak Thailand dalam tempoh singkat:
2010 – Musim pertama selepas penjenamaan semula, Buriram PEA muncul naib juara Thai Premier League.
2011 – Buriram PEA memenangi “treble” domestik pertama dalam sejarah Thailand – Thai League 1, Thai FA Cup, dan Thai League Cup.
2012 – Kelab ini dijenamakan sekali lagi menjadi Buriram United, menandakan transformasi penuh daripada pasukan syarikat elektrik kepada kelab bola sepak profesional.
Dengan rebranding ini, Buriram United terus berkembang sebagai kelab bola sepak terunggul di Thailand.
[Dominasi Buriram United: Gergasi Thailand dan Asia Tenggara (2012-Kini)]
Selepas transformasi kepada Buriram United, kelab ini tidak menoleh ke belakang lagi. Mereka terus mencipta sejarah dengan:
– Menjadi kelab paling banyak memenangi Thai League 1 dengan 10 kejuaraan liga setakat ini (2008, 2011, 2013, 2014, 2015, 2017, 2018, 2021–22, 2022–23, 2023–24).
– Menjadi kelab pertama Thailand yang memenangi “quadruple” pada tahun 2015, apabila mereka memenangi empat piala dalam satu musim – Thai League 1, Thai FA Cup, Thai League Cup, dan Kor Royal Cup.
– Satu-satunya kelab Thailand yang pernah mara ke suku akhir AFC Champions League (2013).
– Menghasilkan ramai pemain berbakat yang berjaya ke liga luar negara, seperti Theerathon Bunmathan, Supachok Sarachat, dan Supachai Jaided.
Buriram United bukan sahaja menjadi kelab paling berjaya dalam sejarah bola sepak Thailand, tetapi juga menjadi kelab pertama Thailand yang betul-betul bersaing di peringkat Asia.
Mereka kini menjadi jenama besar di Asia Tenggara dan mempunyai fanbase yang sangat besar, malah lebih popular berbanding kebanyakan kelab lain di Thailand.
Buriram United bukan sahaja pasukan paling berjaya di Thailand, tetapi juga kelab paling berjaya dari segi penjualan merchandise dan jersi.
Berbeza dengan kelab-kelab lain yang hanya bergantung kepada hasil tiket dan penajaan, Buriram United telah membangunkan model perniagaan berasaskan penjenamaan dan merchandising menjadikan mereka kelab paling menguntungkan di Thailand.
[Fenomena Jualan Jersi Buriram United]
2019 – Buriram United mencatat jualan lebih RM3.37 juta dalam satu hari hasil penjualan barangan rasmi dan tiket perlawanan!
2021 – Menjual lebih 51,000 helai jersi dalam tempoh sehari, dengan hasil jualan sekitar RM4.56 juta.
2023 – Jersi Home baharu untuk musim 2023/24 berjaya terjual sebanyak 45,000 helai dalam sehari, dengan jumlah jualan melebihi RM4.3 juta.
2024 – Jersi ketiga Buriram United berwarna merah jambu untuk musim 2024/25 mencipta fenomena dengan jualan lebih 29,000 helai dalam tempoh empat hari, menghasilkan hampir RM3 juta.
Jersi merah jambu ini adalah jersi ketiga pasukan selain jersi biru gelap (home) dan jersi kuning (away). Harga jersi ini hanya 740 baht (RM94), menjadikannya mampu milik untuk semua peminat.
Mengapa jersi Buriram United sangat laris?
1. Harga Mampu Milik – Jersi Buriram United dijual dengan harga lebih murah berbanding kebanyakan kelab bola sepak lain kerana mereka menghasilkan sendiri jersi mereka tanpa bergantung kepada jenama sukan antarabangsa.
2. Strategi Penjenamaan Yang Kuat – Buriram United bukan sekadar kelab bola sepak, tetapi juga ikon budaya di wilayah Buriram. Peminat membeli jersi bukan kerana mereka hanya menyokong pasukan, tetapi kerana Buriram United adalah sebahagian daripada identiti mereka.
3. Pemasaran Kreatif – Setiap kali jersi baharu dikeluarkan, Buriram United menggunakan pemain bintang mereka seperti Theerathon Bunmathan dan Dion Cools sebagai model jersi, meningkatkan permintaan.
4. Fenomena di Buriram – Hampir setiap penduduk Buriram memiliki sekurang-kurangnya satu helai jersi kelab. Apabila jersi baharu dilancarkan, orang ramai beratur sejak awal pagi di kedai rasmi untuk membelinya.
Malah, kelab ini turut mengembangkan jenama mereka ke sukan lain seperti e-sports dan sukan permotoran. Mereka juga sering menganjurkan festival, konsert dan karnival di Buriram untuk menarik lebih ramai peminat.
Buriram United bukan sekadar kelab bola sepak. Mereka adalah sebuah fenomena perniagaan dan jenama gaya hidup.
[Dari Pekerja TNB Ke Raja Bola Sepak Thailand]
Siapa sangka, kelab yang hari ini menjadi simbol kehebatan bola sepak Thailand sebenarnya bermula sebagai pasukan pekerja syarikat elektrik?
Buriram United membuktikan bahawa dengan visi yang jelas, pelaburan yang bijak dan pengurusan yang baik, sesebuah kelab boleh berubah dari kelab kecil menjadi gergasi bola sepak.
Daripada sekadar bermain di liga pekerja, mereka kini memiliki Chang Arena yang penuh setiap minggu, mendominasi bola sepak Thailand dan menjadi wakil Thailand di kejohanan kelab Asia.
Perjalanan mereka dari Provincial Electricity Authority FC ke Buriram United bukan sahaja mengubah sejarah bola sepak Thailand, tetapi juga membuktikan bahawa kelab bola sepak boleh menjadi instrumen pembangunan wilayah jika diurus dengan betul.
Kini, mampukah Buriram United menjadi kelab pertama dari Asia Tenggara yang menjuarai AFC Champions League?
Dengan rekod pencapaian mereka, tidak mustahil ia akan berlaku satu hari nanti!
___
Anda peminat sejarah benua Siam? Dari kerajaan Melayu seperti Sri Dharmaraja yang pernah memerintah benua Siam, sehinggalah ke sejarah kemasukan orang Thai membina kerajaan seperti Sukothai dan Ayutthaya, sehingga kepada pembentukan negara Thailand di bumi Siam, maka buku terbaru kami, KITAB TAMADUN SIAM ialah untuk anda.
Dapatkan dengan DISKAUN di https://s.shopee.com.my/4fhJ0MwbRT
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
Penggemar sejarah dan budaya. Kini, mahasiswa Ijazah Sarjana Muda Pengajian Asia Tenggara Universiti Malaya dan graduan Diploma Sejarah dan Tamadun Islam UniSZA. Bercita-cita melanjutkan pelajaran dalam bidang Arkeologi kerana terpengaruh dengan filem Indiana Jones walaupun tahu arkeologi sebenar tak seperti itu.