Bagi para pelancong yang pernah berkunjung ke Istanbul, pasti maklum kota berkenaan mempunyai banyak istana. Istana Topkapi dianggap destinasi wajib yang patut dikunjungi jika bertandang ke Istanbul. Di seberang Tanjung Emas (Golden Horn) pula, wujud Istana Ciragan dan Dolmabahce – kedua-duanya dibina pada abad ke-19.
Tak ramai tahu wujudnya runtuhan sebuah istana lama era Rom yang terletak di pesisir Laut Marmara. Runtuhan istana ini dikenali sebagai Boukoleon. Nama tersebut diberi bersempena dua buah patung pernah wujud di pintu masuknya iaitu patung lembu (panggilan Yunani-Byzantine untuk lembu ialah bouc) dan singa (leon).
Walaupun patung lembu yang pernah menghiasi pintu masuk Boukoleon hilang ditelan zaman, komuniti arkeologi beruntung kerana berjaya mengeluarkan patung singa dari lokasi asalnya. Ia kini diletakkan di Muzium Arkeologi Istanbul.
Boukoleon dikatakan dibina pada abad kelima Masihi atas titah pemerintah Rom Timur ketika itu, Maharaja Theodosius II. Setelah siap, ia kemudiannya digunakan sebagai tempat bersemayam para maharaja Rom sehingga abad ke-11. Selepas abad ke-11, maharaja-maharaja Rom bersemayam di Istana Blachernae yang terletak tidak jauh dari Tanjung Emas (Golden Horn).
Boukoleon pernah menjadi saksi kehadiran ramai diplomat, kerabat diraja dan tetamu asing dari pelbagai tempat. Ini termasuk duta-duta dari kerajaan-kerajaan Islam ketika itu seperti Bani Abbasiyah, Ayubiyah, Saljuk dan Fatimiyah.
Boukoleon juga mempunyai penjara bawah tanah berdasarkan penemuan arkeologi terkini dan teori ahli arkeologi British abad ke-19, Theodore Bent. Antara yang didakwa pernah dipenjarakan di Boukoleon ialah Maharaja Isaac II Angelos. Mata baginda dibutakan sebelum dipenjarakan selama lapan tahun selepas digulingkan pada 1195 oleh kekandanya Maharaja Alexios III Angelos.
Semasa era Perang Salib, Boukoleon digunakan sebagai markas para kesatria Salibi Eropah pada 1204. Kesatria-kesatria ini yang sepatutnya memerangi kerajaan-kerajaan Islam di Timur Tengah termasuk Ayubiyah sebaliknya menyerang pihak Rom Timur.
Antara 12 hingga 15 April tahun tersebut, Constantinople diserang dan dijarah oleh orang Salibi dengan Isaac II dan puteranya mangkat. Akibat insiden tersebut, banyak jajahan Byzantine diagihkan sesama bangsawan dan kesatria Salibi. Susulan kemangkatan Isaac II, Baldwin of Flanders ditabalkan sebagai Maharaja Baldwin I.
Pengkaji arkeologi percaya kesan penjarahan masih wujud sekitar Boukoleon dan berharap dapat dikeluarkan melalui ekskavasi. Begitupun, wujud kebimbangan ekskavasi arkeologi bakal memperkukuh dakwaan pihak Yunani yang mendakwa mereka merupakan pewaris sebenar Byzantine termasuk ibu kota Istanbul.
Ketika ini, terdapat lebih 227 artifak ditemui di tapak berkenaan. Antara artifak yang ditemui ialah pancuran air tertua di Istanbul dengan usia sekitar 1,600 tahun. Kawasan pancuran air ini ditemui pada Oktober lepas. Begitupun, ia bukan tugas mudah kerana memerlukan pengkaji arkeologi mengalihkan lebih 10 meter lapisan serpihan dari Boukoleon.
Oleh: Azizul Farhan
___
Bukan setakat Bokoleon je, banyak lagi tinggalan-tinggalan bersejarah Rom diceritakan di dalam KITAB TAMADUN ROM! Dapatkan segera!
https://bit.ly/KitabTamadunRom
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih