Kadang-kadang, punca pergaduhan di media sosial ni bukanlah sebab isu besar sangat pun. Ia berpunca daripada satu benda mudah: Malas membaca dan cepat melompat atau melatah.
Baru-baru ini, penulis sains terkenal tanah air, yang juga penulis kami di The Patriots iaitu Dr. Zamir Mohyedin, telah memuat naik satu info menarik tentang penemuan bersejarah.
Beliau berkongsi tentang penemuan lukisan gua tertua di dunia yang ditemui di Indonesia. Usianya mencecah 67,800 tahun. Ini satu fakta yang membanggakan buat negara Indonesia atau rantau Nusantara sebenarnya.
Tapi, lain pula jadinya di ruangan komen.
Niat asal nak berkongsi ilmu, tiba-tiba bertukar jadi medan tempur linguistik yang sangat melucukan, tapi dalam masa sama membuatkan kita tepuk dahi.
Puncanya cuma satu perkataan tiga huruf: GUA.
Dalam Bahasa Melayu standard (dan juga Bahasa Indonesia rasmi sebenarnya), “Gua” bermaksud lubang besar pada kaki gunung atau bukit (Cave).
Tapi dalam bahasa pasar atau slanga Jakarta, “Gua” (atau Gue) bermaksud “Aku” atau “Saya”.
Maka, apabila Dr. Zamir menulis kapsyen mengenai “Lukisan Gua”, netizen dari negara jiran menyangka Dr.
Zamir sedang mendakwa (claim) bahawa itu adalah “Lukisan Aku” (Lukisan milik Zamir).
Kelakar? Ya.
Tragis? Pun ya.
Tuan-Puan boleh tengok sendiri komen-komen “bijak pandai” yang menyerang beliau.
Seorang pengguna bernama “in_makiy” menulis dengan penuh emosi:
“Gausah ngaku2, ini bukan bikinan lu!” (Tak payah mengaku-ngaku, ini bukan buatan kau!)
Aduh, bang. Dr. Zamir tu bukannya pelukis zaman Paleolitik yang hidup 60,000 tahun lepas.
Ada lagi seorang pengguna bernama “mocizt_” yang menyindir pedas:
“lukisan gua, lukisan gua, lu mau ngeklaim lukisan entu yes?…”
Mereka mati-mati ingat Dr. Zamir sedang buat tuntutan hak cipta ke atas lukisan purba tu.
Malah, ada yang cuba jadi “Cikgu Bahasa” pula. Pengguna bernama “PandaMerahku” cuba menyekolahkan Dr. Zamir:
“Lu juga salah bang, gua = aku, goa = cave, harusnya pakai cave aja, bikin gaduh aja lu.”
Hakikatnya, dalam Kamus Dewan (Malaysia) dan KBBI (Indonesia) sendiri, ejaan rasmi untuk Cave adalah GUA.
Ejaan “Goa” itu tidak baku.
Jadi siapa yang salah sebenarnya?
Dr. Zamir, dengan gaya santai tapi tegas, membalas komen-komen ini dengan satu kenyataan yang wajar kita bingkai:
“Saya tidak bertanggungjawab ke atas kefahaman kamu. Saya bertanggungjawab ke atas apa yang saya tulis.
Kalau kamu tak faham dan kamu nak tahu, kamu terjemah sendiri.”
Setuju. Kita tak boleh rendahkan laras bahasa kita semata-mata sebab orang lain tak faham bahasa rasmi ibunda sendiri.
Habis cerita pasal drama “Gua vs Aku”. Mari kita tinggalkan golongan palatao ni bertelagah sesama sendiri.
Kita fokus kepada benda yang lebih penting: Penemuan Lukisan 67,800 Tahun Itu.
Apa yang istimewanya lukisan ni sampai satu dunia heboh?
Penemuan ini sebenarnya mengubah sejarah tamadun manusia. Sebelum ini, saintis ingat seni lukisan gua ni bermula di Eropah (macam di Sepanyol atau Perancis).
Rupa-rupanya, “orang kita” di Nusantara dah pandai melukis jauh lebih awal daripada orang Eropah.
Lukisan yang ditemui di Sulawesi ini selalunya menggambarkan haiwan, seperti babi hutan atau anoa dan juga cap tangan manusia.
Persoalannya, macam mana saintis tahu umur dia tepat 67,800 tahun? Ada tarikh luput ke kat dinding tu?
Saintis tak main teka-teki. Mereka guna teknologi canggih yang dipanggil Uranium-Series Dating.
Mereka bukan ukur umur cat tu secara terus. Tapi, mereka ukur umur lapisan kalsium karbonat (calcite) yang tumbuh di atas lukisan tu.
Bayangkan “popcorn” batu kapur yang tumbuh menutupi lukisan tu.
Saintis ambil sampel lapisan batu ni dan ukur kadar pereputan unsur Uranium di dalamnya.
Kalau lapisan batu yang menutupi lukisan tu pun dah berusia 67,000 tahun, maknanya lukisan di bawahnya mestilah lebih tua daripada itu. Logik kan?
Satu lagi misteri ialah, kenapa lukisan ni tak hilang? Dah berpuluh ribu tahun kot. Cat rumah kita pun 5 tahun dah menggelupas.
Jawapannya ada pada “dakwat” yang mereka guna.
Manusia purba ini menggunakan Ochre (tanah liat yang mengandungi hematit atau oksida besi).
Sifat kimia oksida besi ini sangat stabil. Ia “mengikat” dengan dinding batu kapur gua tu.
Secara kimianya, ia seolah-olah menjadi sebahagian daripada batu tu sendiri.
Ditambah pula dengan kedudukan gua yang terlindung dari hujan dan panas terik, lukisan ini kekal abadi merentas zaman.
Penemuan ini membuktikan satu perkara besar tentang nenek moyang manusia moden (Homo sapiens).
Keupayaan melukis bukan sekadar conteng-conteng kosong. Ia adalah tanda aras Kelakuan Moden (Modern Behavior).
Untuk melukis, seseorang itu perlu ada imaginasi.
Dia perlu ada keupayaan berfikir secara abstrak.
Dia perlu ingat rupa babi hutan tu, simpan dalam kepala kemudiannya terjemahkan semula ke dinding batu.
Spesis manusia yang lebih awal (seperti Homo erectus) mungkin kuat fizikalnya, tapi mereka tak ada bukti keupayaan seni sehalus ini.
Lukisan ini juga mungkin satu bentuk “Storytelling” atau penceritaan awal. Mungkin mereka melukis untuk ajar anak-anak cara memburu atau mungkin sebahagian daripada ritual kepercayaan.
Atau mungkin lukisan ini dibeli yang kemudiannya dilukis di rumah orang kaya pada waktu itu. Ada sebiji gua seumpama ada sebiji banglo zaman ini?
Sudah,sudah. Cukuplah berimaginasi. KIta sambung balik.
Ini bermakna, 67,000 tahun dulu, di bumi Nusantara ini, dah ada manusia yang duduk bersembang, bercerita, dan berkarya.
Mereka ada empati. Mereka ada jiwa seni.
Jadi, bila Dr. Zamir kongsikan benda ni, sepatutnya kita rasa kagum dengan ketinggian akal budi manusia zaman dulu.
Bukannya sibuk bergaduh pasal istilah “Gua”.
Ironinya, manusia zaman purba yang tak ada internet pun boleh berkomunikasi guna lukisan dinding dengan aman damai.
Tapi manusia zaman moden yang ada internet berkelajuan tinggi, bergaduh sakan cuma sebab salah faham satu perkataan.
Mungkin, dalam bab “Kelakuan Moden”, orang zaman batu tu jauh lebih bertamadun berbanding sebahagian netizen zaman sekarang.
Pelajaran untuk hari ini: Sebelum jari laju menaip kecaman, rajin-rajinlah buka kamus. Kalau boleh jangan jari lebih laju dari otak.
Dan kalau nampak perkataan “Gua” di akaun orang Malaysia, ingatlah batu kapur dan kelawar, bukan diri anda sendiri.
Sekian, dari gua. Eh, dari saya.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami untuk mempopularkan ilmu dan kebenaran kepada masyarakat umum.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham bahawa tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih




