Apabila melihat fosil dinosaur jenis sauropod atau ringkasnya dinosaur berleher panjang di muzium, kita merasa kerdil jika dibandingkan dengan saiz haiwan ini. Tetapi menurut seorang penyelidik dari Universiti Bristol, saiz leher yang dilihat berkemungkinan salah sejak dari awal lagi.

Tetapi sebelum itu, apa itu sauropod? Sauropod ialah sejenis dinosaur herbivor besar berkaki empat dengan leher dan ekor yang panjang, kepala kecil dan anggota badan yang besar. Antara contoh dinosaur yang tergolong dalam jenis dinosaur ini ialah Diplodocus, Brachiosaurus dan Barosaurus.

Penyelidik Mike Taylor berpandangan sedemikian atas beberapa sebab. Pertama, sesetengah tulang yang membentuk leher sauropod mempunyai bentuk berbeza selepas terdedah kepada elemen alam selama jutaan tahun.

Kedua, ramai ahli paleontologi berbeza pandangan tentang di mana tulang leher sauropod dan tulang belakang haiwan ini bermula. Ketiga, jika diterjemah dalam bentuk model dengan memasukkan elemen seperti tisu rawan dan lemak, apakah leher sauropod akan bertambah panjang atau sebaliknya?

Tambah Taylor lagi, dengan mengambil kira semua faktor ini, leher sauropod boleh saja bertambah 1 meter panjang berbanding ukuran sebelumnya. Jadi, mengapa kesilapan sebegini tidak dikesan lebih awal? Taylor percaya ia berlaku kerana pemulihara fosil terlalu seronok dengan bahan pameran mereka sehingga tidak menyedari wujud kekurangan pada leher sauropod.

Kesilapan ini dikesan dalam banyak model sauropod yang menjadi pameran utama muzium-muzium alam semulajadi di seluruh dunia. Antara contoh model bermasalah ialah fosil Diplodocus di Muzium Sejarah Alam Semulajadi Carnegie di Pittsburgh dan fosil Brachiosaurus di Muzium Sejarah Alam Semulajadi Berlin, Jerman.

Jadi, mengapa leher fosil sauropod tidak lengkap? Ia ada kaitan dengan proses pembentukan fosil sauropod itu sendiri. Proses pemfosilan terjadi apabila bangkai haiwan diliputi sedimen sebelum menjadi sasaran haiwan pemangsa atau elemen alam semulajadi.

Dalam kes dinosaur jenis sauropod, amat sukar membayangkan perkara itu terjadi tanpa sebarang gangguan. Dengan saiznya yang besar, haiwan-haiwan pemangsa seperti Tyrannosaurus rex, Velociraptor dan Microraptor pasti mensasarkan bangkainya sebagai sasaran mudah.

Selain itu, bahagian vertebra leher sauropod juga rapuh dan kosong. Ini boleh mengakibatkan bahagian tersebut retak, patah atau herot-benyot. Ini tidak dibantu apabila vertebra leher sauropod hilang atau bercampur dengan tulang-tulang fosil lain.

Contoh paling mudah menurut Taylor ialah tulang haiwan mamalia. Pada leher haiwan ini, terdapat enam serviks vertebra dan ia tidak disambung dengan tulang rusuk. Tetapi dalam kes sauropod, sesetengah tulang pada leher bersambung dengan tulang rusuk sekaligus sukar mengetahui di mana bahagian leher haiwan ini berakhir.

Satu contoh fosil sauropod yang berdepan isu ini ialah Dippy atau Diplodocus yang menjadi tumpuan pengunjung di Muzium Sejarah Alam Semulajadi Carnegie. Acuan fosil sauropod ini membolehkan model dinosaur itu menjadi bahan pameran di beberapa muzium di London, Berlin dan Paris.

Dippy yang menjadi bahan pameran Muzium Sejarah Alam Semulajadi Carnegie merupakan contoh leher fosil sauropod yang bermasalah.

Tetapi bilangan sebenar serviks pada leher Dippy sentiasa memeningkan kepala ahli paleontologi. Semasa ia ditemui pada 1900, ia hanya mempunyai 11 serviks. Tetapi kajian sains moden mendapati bilangan sebenar serviks pada Dippy ialah 15. Di sebalik angka tersebut, Taylor percaya bilangan serviks leher Dippy boleh saja bertambah atau berkurangan berikutan satu serviks berada pada kedudukan berbeza.

Isu sebegini mungkin remeh kepada khalayak awam. Tetapi bagi para saintis terutama ahli paleontologi, ia dapat membantu mereka menambahbaik maklumat yang ada berkenaan dinosaur sebegini. Kajian Taylor ini diterbitkan dalam jurnal PeerJ pada 24 Januari lepas.

RUJUKAN

Geggel, L. (2022, 22 Februari). Long-necked dinosaurs probably had even longer necks than we thought. Live Science.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Leave A Reply