Korang tahu tak ada satu tradisi dari zaman Nabi Muhammad (SAW) yang berkekalan sampai ke hari ini? Kalau nak tahu, kunci Kaabah di Masjidil Haram, Mekah masih kekal diwarisi dan dijaga oleh satu jalur keluarga sahaja: Banu Shayba.
Sedangkan kerajaan yang menguasai Mekah sudah beberapa kali bertukar tangan. Sesudah Khulafa’ Rashidun, yang memerintah Haramain ialah Bani Umayyah. Lepastu Bani Abbasiah dan Turki Uthmaniah. Tapi kenapa kunci Kaabah tak pernah dirampas daripada Banu Shayba?
Rupa-rupanya ada hadis Nabi tentang hal ini:
Rasulullah (SAW) bersabda, “Ambillah (kunci Kaabah ini), Wahai Bani Talhah, hinggalah tibanya Hari Kiamat, dan ia tidak akan diambil dari kamu sehinggalah (berlakunya) ketidakadilan dan penindasan.”
Di sebalik amanat baginda ini, terdapat sebuah kisah yang sangat menarik!
Pada awalnya, keluarga Banu Shayba belum beragama Islam. Pada tahun ke-7 Hijrah, Nabi Muhammad (SAW) bersama gerombolan orang Islam masuk dan menguasai kota Mekah. Peristiwa ini terkenal sebagai Fathul Makkah.
Rasulullah (SAW) menyuruh Ali bin Abi Talib (RA) untuk pergi mengambil kunci kaabah daripada Banu Shayba. Menantu Nabi itu pun segera menjalankan perintah. Setelah kunci tersebut diserahkan oleh Banu Shayba, orang Islam cuba untuk membuka pintu Kaabah. Yang peliknya, kunci itu semacam tak berfungsi dan pintu gagal dibuka.
Lantas, turunlah Surah An-Nisa’ ayat 58:
“Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikan amanat kepada yang berhak menerimanya”.
Lantaran wahyu yang turun, Rasulullah (SAW) pun memulangkan kunci Kaabah kepada keluarga Banu Shayba meskipun ketika ini mereka bukan beragama Islam. Dengan berkat kejujuran baginda, keluarga terhormat ini terbuka hati untuk menerima cahaya hidayah.
Mereka semuanya masuk Islam di tangan Nabi (SAW). Pada pandangan mereka, jika Muhammad itu gila kuasa, pasti dia tidak mahu melepaskan kunci Kaabah kerana memegangnya adalah suatu penghormatan turn temurun. Hanya seorang utusan Tuhan sahaja yang sanggup mengabaikan itu semua demi mentaati perintah Tuhan!




No comments yet