Siapa yang layan gusti era 90-an mesti tahu pasal Monday Night War. Mana taknya, inilah persaingan syarikat gusti paling sengit sepanjang zaman yang masih tak dapat ditandingi mana-mana syarikat lain termasuklah pencabar terkini WWE iaitu AEW.
Pertempuran epik untuk ketuanan televisyen ini mempertandingkan dua gergasi gusti, WCW dan WWE yang masing-masing bersaing untuk mendapatkan “rating” dan jumlah tontonan tertinggi setiap minggu.
WCW di bawah kendalian Eric Bischof mempertaruhkan Monday Nitro yang disiarkan di TNT. Manakala, WWE bertahan dengan keajaiban penggusti-penggustinya di Monday Night Raw setiap minggu.
Sampai satu ketika, WCW berjaya mencatatkan rekod 83 minggu berturut-turut berada di puncak tontonan. Masakan tidak, kejayaan WCW dipacu oleh pembelotan penggusti-penggusti ternama yang berprofil tinggi yang melompat dari WWE ke WCW.
Hulk Hogan, Scott Hall dan Kevin Nash antara nama besar yang berhijrah ke WCW dan menubuhkan New World Order atau lebih ramai kenal sebagai NWO.
Walaupun WWE berada dibawah, tapi mereka tak mengalah. WWE cuba semula dengan mempertaruhkan “Attitude Era”. Waktu ni, jalan cerita penggusti menjadi lebih menarik, kreatif dan kontroversi dengan tema yang lebih matang tak seperti sebelumnya.
Mesti semua orang ingat jalan cerita macam mana Stone Cold Steve Austin cuba lawan bosnya Vince McMahon. Atau juga jalan cerita Kane bangkit sebagai adik kepada The Undertaker yang terkorban dalam kebakaran.
Percubaan berani mati Vince McMahon ini diperkuatkan lagi dengan penggusti-penggusti yang dipercayai Vince seperti Stone Cold Steve Austin, The Rock, Mick Foley, Kurt Angle, Triple H dan Shawn Michaels yang bersama-sama meneraju D-Generation X.
Akhirnya, penguasaan WCW dalam Monday Night Wars berakhir apabila isu dalaman dan idea kreatif mereka terhalang dalam menjana jalan cerita untuk meningkatkan momentum persembahan setiap minggu.
Jalan cerita sama je yang dihidangkan kepada penonton. Balik-balik NWO.
Pada tahun 2000, WCW mengalami kerugian sebanyak $62.3 juta walaupun sebelum itu dijangka akan rugi sebanyak $80 juta. Tak lama kemudian, dunia gusti dikejutkan dengan pengumuman bahawa WCW telah dijual.
Asalnya, Eric Bischoff sendiri cuba untuk membeli WCW dan menyelamatkan syarikat ini namun ia telah digagalkan apabila TBS dan TNT enggan menyiarkan WCW yang membawa kepada pembatalan perjanjian tersebut.
Vince McMahon, dalang disebalik kebangkitan WWE ini masuk untuk membeli WCW dengan harga yang sangat rendah iaitu $4.2 juta, mengukuhkan kedudukan mereka sebagai kuasa yang memonopoli industri gusti.
Kesan daripada pengambilalihan ini, penggusti WCW terkemuka seperti Hulk Hogan, Goldberg dan NWO masih mempunyai masa panjang untuk kontrak WCW tak muncul dalam WWE sehingga mereka benar-benar terpaksa.
Akhirnya, WWE menang dalam perang gusti dan naik ke puncak industri sebagai raksasa bernilai bilion dolar.
Lagu tema Vince McMahon pun dah berkata “No Chance in Hell” untuk WCW.
Oleh: Azizul Farhan




No comments yet