Tradisi Krismas pada Zaman Pertengahan tidak sama dengan sambutan Krismas moden hari ini. Ini kerana menurut sejarawan Anne Lawrence-Mathers dari Universiti Reading, UK, ia didahului dengan tempoh berpuasa selama sebulan bagi menghormati Advent (tempoh kemunculan Jesus). Setelah itu, perayaan Krismas selama 12 hari diadakan dengan keraiannya jauh lebih liar daripada apa yang disangka.
Pada zaman berkenaan, permulaan keraian Krismas ditandakan dengan penganjuran acara Mass khas di gereja. Ia biasanya diadakan pada akhir tempoh Advent dan dianggap permulaan kepada tempoh jamuan dari 25 Disember hingga 5 Januari. Menurut Lawrence-Mathers, jamuan Krismas pada Zaman Pertengahan ditentukan oleh kedudukan sosial individu ketika itu.
Jamuan yang biasa dilihat ketika itu ialah sajian ham dan bakon Krismas yang telah disalai dan diasinkan. Ia telah dibuat terlebih dahulu pada bulan sebelumnya sebagai persediaan untuk jamuan Krismas.
Di kawasan kampung-kampung, tuan-tuan tanah memberi rehat selama 12 hari kepada golongan petani yang menyewa di tanah mereka dan mengadakan jamuan untuk petani-petani ini. Tidak diketahui apa menu jamuan yang diadakan oleh tuan-tuan tanah ini. Tetapi mengikut manuskrip The Goodman of Paris (1393), mereka dijamu dengan hidangan pastri, sosej, puding hitam, daging panggang, ikan, burung, kastard, kacang dan tart.
Bagi golongan ada-ada seperti kerabat diraja dan bangsawan, beza jamuan mereka dengan orang biasa ibarat langit dengan bumi. Bagi Raja Henry III, menu baginda ialah lamprei, daging rusa dan babi hutan. Sementara Raja Henry V pula mahukan menu yang eksotik seperti udang dan belut.
Untuk minuman pula, orang biasa lebih suka sider dan ale berperisa dengan golongan atasan lebih memilih wain. Bukan satu atau dua botol tetapi boleh mencecah puluhan tong. Dalam tempoh setahun, Henry III memesan 60 tan wain untuk Reading Abbey dengan satu tan bersamaan 1,272 botol!
Semasa tempoh ini, ia dianggap tempoh untuk berseronok untuk semua orang tanpa mengira taraf sosial. Antara tradisi aktiviti ketika itu ialah ‘mumming’ atau ‘mummering’. Perbuatan ini ialah pelaku memakai topeng binatang atau pakaian wanita sebelum singgah di setiap rumah untuk menyanyi lagu perayaan dan berjenaka. Sesetengah orang melakukannya untuk berseronok tetapi ada juga melakukannya untuk mendapatkan duit atau hadiah.
Tambah Lawrence-Mathers, tradisi sama turut dilakukan oleh golongan diraja dan aristokrat semasa tempoh ini. Bezanya ialah mereka memakai kepala haiwan yang siap dimasak dan menyanyi dalam dewan jamuan. Selalunya, kepala babi hutan menjadi pilihan untuk aktiviti ini. Tetapi ia kemudiannya digantikan topeng kayu bermotifkan babi hutan bertahun-tahun kemudian.
Dalam tempoh tersebut, 1 Januari yang selalunya disambut sebagai sambutan Tahun Baru moden dikenali juga sebagai Pesta Orang Bodoh. Pada hari itu, pegawai-pegawai gereja diberi lesen untuk berkelakuan tidak senonoh selama sehari termasuk bertukar peranan, menyanyi lagu jenaka dan memakai topeng aneh. Begitupun, pesta ini dipandang hina oleh ramai pihak di Eropah menjelang abad ke-15.
Pada malam 5 Januari atau malam ke-12, semua orang dijamu dengan kek buah di mana di dalamnya terdapat satu bahagian yang diisi dengan kacang. Mana-mana individu yang mendapat bahagian kacang itu akan diisytihar sebagai ‘raja’ dengan segala titahnya termasuk yang pelik perlu dipatuhi. Menurut Lawrence-Mathers, ia turut dipanggil sebagai Lord of Misrule.
Mana-mana individu yang mendapat gelaran itu berupaya menterbalikkan hierarki sosial dan memaksa individu berautoriti melakukan tugas memalukan bagi dirinya. Kebiasaannya, individu yang disasarkan ialah ibu bapa, guru atau golongan bangsawan. Malam 5 Januari dianggap kemuncak kepada sambutan Krismas pada Zaman Pertengahan.
Lawrence-Mathers turut mendedahkan tempoh ini dianggap tempoh terbaik untuk meramal masa depan. Misalnya, sekiranya pada Hari Krismas cuacanya cerah dan baik, ini bermakna ia menjanjikan musim bunga yang panas dan menjamin hasil tuaian yang baik. Tetapi jika angin kuat berlaku pada hari berkenaan, maka ia merupakan petanda buruk bagi golongan kaya dan pemerintah.
RUJUKAN
Roos, D. (2021, 17 Disember). How Christmas Was Celebrated in the Middle Ages. History.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih