31 Ogos semakin tiba. Sekali lagi Bulan Kebangsaan akan disambut di seluruh negara. Berkibaranlah bendera-bendera yang mempunyai 14 jalur dengan corak bulan dan bintang di hadapan rumah, bangunan sekolah dan kenderaan-kenderaan di atas jalan raya demi meraikan tarikh keramat yang memberi 1001 erti kepada jiwa yang cintakan negara. Namun tahukah anda bagaimana bendera Malaysia mendapat namanya?

Pertama kali pada 31 Ogos 1957, tepat jam 12 tengah malam bendera Persekutuan Tanah Melayu telah dinaikkan di Padang Kelab Selangor menggantikan bendera Union Jack dengan disaksikan oleh beribu-ribu rakyat yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan agama serta pejuang kemerdekaan dengan penuh perasaan bangga dan gilang gemilang.

Sejarah bendera Persekutuan Tanah Melayu bermula apabila sebuah jawatankuasa melalui Majlis Raja-Raja Melayu ditubuhkan pada tahun 1949 untuk menimbang dan membuat perakuan berhubung reka bentuk bendera Persekutuan Tanah Melayu.

Pertandingan Peringkat Kebangsaan telah diadakan bagi memilih Bendera Persekutuan Tanah Melayu yang baharu dan dianjurkan oleh Majlis Perundangan Persekutuan pada tahun 1949. Seramai 373 karyawan mengambil bahagian yang mana akhirnya tiga reka bentuk bendera terpilih ke peringkat akhir. Reka bentuk pertama adalah lambing keris bersilang di tengah-tengah dengan dikelilingi oleh 11 bincang pecah lima. Reka bentuk kedua hampir sama dengan rekabentuk pertama kecuali 11 bintang pecah itu disusun dalam dua bulatan mengelilingi Keris bersilang tersebut. Reka bentuk ketiga adalah 11 jalur biru putih dengan bulan bintang berwarna kuning di bahagian tepi kiri.

3 rekabentuk bendera yang terpilih dalam peringkat akhir pertandingan.

Sebelum memilih rekabentuk bendera yang menjadi juara, orang ramai telah dijemput oleh Majlis Perundangan Persekutuan untuk memberikan pendapat mengenai reka bentuk bendera tersebut dan dikelolakan oleh akhbar The Malay Mail. Keputusan akhir yang tersiar pada 28 November 1949 menunjukkan pilihan majoriti untuk memilih reka bentuk yang ketiga yang dicipta oleh seorang Arkitek Kerajaan di Johor iaitu Encik Mohamad bin Hamzah.


Dengan beberapa pindaan menerusi perkenan Mesyuarat Majlis Raja-Raja pada 22 dan 23 Februari 1950. Pada 19 April 1950 Majlis Perundangan Persekutuan telah meluluskan usul yang dibentangkan oleh Pemangku Ketua Setiausaha Negara seperti berikut:

“That in the opinion of this Council, the flag of the Federation of Malaya should be as follows:

Eleven horizontal stripes alternately red and white in colour, the uppermost stripe being red, having a blue quarter with a cresent and elevent-pointed star in yellow superimposed, the standard size of the flag to be six feet by three feet.”

Reka bentuk tersebut diubah dengan menukar warna putih pada bulan dan bintang kepada warna kuning untuk melambangkan warna diraja bagi Raja-raja Melayu dan juga menambah bilangan bucu bintang kepada 11 untuk mewakili jumlah negeri yang ada dalam Persekutuan Tanah Melayu. Reka bentuk bendera tersebut telah mendapat kelulusan King George VI pada 19 Mei 1950.

Pertama kali Bendera Persekutuan Tanah Melayu dikibarkan adalah dalam majlis menaikkan bendera tersebut yang dianjurkan oleh Pesuruhjaya Tinggi British pada 26 Mei 1950 di perkarangan Istana Sultan Selangor dengan dihadiri DYMM Raja-Raja Melayu dan Pegawai-pegawai King George VI.

Percantuman Sabah, Sarawak dan Singapura dengan Persekutuan Tanah Melayu telah melahirkan sebuah negara baharu iaitu Malaysia. Dengan percantuman itu, bendera Persekutuan Tanah Melayu telah diubah suai untuk mengambil kira penambahan negeri-negeri tersebut. DYMM Raja-Raja Melayu dan Tuan-Tuan Yang Terutama Gabenor-Gabenor dalam satu Persidangan Majlis Raja-Raja menjelang pembentukan Malaysia telah memperkenankan reka bentuk bendera Malaysia hendaklah mengikut reka bentuk bendera Persekutuan Tanah Melayu dengan pengubahsuaian pada bilangan jalur dan bintang pecah 14 bagi menunjukkan 14 buah negeri baharu bagi Persekutuan Malaysia.

Walaupun Singapura berpisah daripada Malaysia pada 9 Ogos 1965, namun jalur-jalur dan bintang pecah 14 terus dikekalkan sehingga sekarang. Kini, jalur-jalur dan bintang pecah 14 melambangkan keanggotaan yang sama dalam Persekutuan 13 buah negeri dan Kerajaan Persekutuan (terdiri daripada 3 Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya).

Bagaimana Bendera Malaysia mendapat nama Jalur Gemilang?

Pada malam 31 Ogos 1997 sempena Hari Kemerdekaan negara ke-40, Perdana Menteri Tun Mahathir bin Mohamad telah mengisytiharkan nama bendera Malaysia sebagai Jalur Gemilang di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur. Ilham untuk menamakan bendera Malaysia dengan nama rasmi diusulkan Datuk Hashim Mat Dris dan cadangan tersebut dikemukakan kepada mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir pada 11 Julai 1995. Tun Dr. Mahathir telah bersetuju supaya diadakan Peraduan Mencipta Nama Bendera Malaysia dengan dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Ahmad Sarji Abdul Hamid dan dianggotai oleh wakil daripada beberapa kementerian dan agensi yang berkenaan.

Dalam mesyuarat pada 1 April 1996, jawatankuasa induk peraduan mencipta nama bendera Malaysia telah bersetuju bahawa pemilihan cadangan nama bendera Malaysia tidak perlu dibuat melalui peraduan tetapi memadai memilih senarai nama yang dikemukakan oleh ahli-ahli jawatankuasa yang terdiri daripada wakil-wakil kementerian dan agensi berkaitan. Tun Dr Mahathir bersetuju dengan cadangan tersebut dan menukarkan nama Jawatankuasa itu menjadi Jawatankuasa Induk Menamakan Bendera Malaysia.

Setelah menimbang 75 cadangan nama beserta huraiannya, tiga nama telah dipilih iaitu ‘Setia Perkasa’, ‘Seri Setia Perkasa’ dan ‘Seri Setia Negara’. Cadangan tersebut dipilih kerana sesuai sebagai lambing sejarah dan perjuangan negara serta mampu memupuk semangat di kalangan rakyat untuk terus maju membina negara yang aman dan makmur. Namun begitu, pada 11 September 1996, nama tersebut ditolak oleh Jemaah Menteri dan berpendapat nama-nama itu tidak melambangkan sifat dan semangat yang diwakili oleh bendera Malaysia itu sendiri dan meminta supaya cadangan baru dikemukakan.

Dalam mesyuarat pada 2 Jun 1997 yang dipengerusikan oleh Tan Sri Abdul Halim Ali, Ketua Setiausaha Negara pada waktu itu, sebanyak 28 cadangan telah dipertimbangkan. Setelah membuat penelitian, mesyuarat bersetuju memilih tiga nama iaitu, ‘Jalur Gemilang’, ‘Jalur Nusa Gemilang’ dan ‘Jalur Sinar Gemilang’. Apabila nama tersebut dibentangkan pada 9 Julai 1997, Jemaah Menteri bersetuju supaya bendera Malaysia diberi nama ‘Jalur Gemilang’ dengan diilhamkan oleh Tuan Haji Md. Rebuan@Md Redzuan bin Tumin, Pegawai dari Jabatan Muzium Negara dan Antikuiti menewaskan 28 cadangan nama seperti Malaysia Raya, Mega Sakti dan sebagainya.

Maksud Jalur Gemilang

JALUR– Menggambarkan bendera Malaysia mempunyai 14 jalur merah dan putih. Oleh itu, lambing jalur pada bendera Malaysia menggambarkan satu haluan yang lurus, hala tuju yang sama dan arah yang sama yang dianuti oleh rakyat negara ini dari Perlis hingga ke Sabah dalam menuju kegemilangan bangsa dan negara.

GEMILANG– bermaksud bercahaya, terang-benderang dan cemerlang. Oleh hal yang demikian bendera Malaysia Jalur Gemilang memberi pengertian bahawa jalur atau bendera itu melambangkan kecemerlangan negara Malaysia dan rakyat Malaysia dalam mengharungi apa bidang kehidupan sekalipun sama ada di dalam atau di luar negara. Kesungguhan, kegigihan, dan kesanggupan rakyat untuk menaikkan imej negara, sesungguhnya sentiasa mendapat petunjuk dan pedoman yang terang lagi jelas.

Selamat menyambut Hari Kebangsaan, Negaraku Sehati Sejiwa.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Seorang guru yang mengajar Bahasa Melayu, Sejarah dan Pendidikan Jasmani. Gemar melakukan aktiviti memanah di masa lapang. Minat terhadap bidang penulisan sehingga berjaya menerbitkan beberapa buah novel thriller bersama Karangkraf. Menjalankan khidmat bekam pada masa lapang. Bercita-cita untuk menjadi guru silat.

2 Comments

Leave A Reply