Sekitar 600 SM, angkatan laut Mesir Purba diutus oleh Firaun Necho II untuk berlayar mengelilingi benua Afrika. Tiada siapa tahu perlayaran ini merupakan bukti pertama bahawa bumi itu berbentuk sfera, bukan rata seperti didakwa geng teori konspirasi. Penemuan yang dianggap radikal ini bagaimanapun ditolak ramai orang ketika itu.

Necho II merupakan Firaun Dinasti Ke-26 yang memerintah dari 610 hingga 595 SM. Era ini dianggap mencemaskan buat orang Mesir Purba kerana pemerintah Babylon, Raja Nebuchadnezzar II sedang sibuk meluaskan jajahan takluknya. Cubaan Necho II mereplika kejayaan empayar Mesir Purba semasa era Kerajaan Baru berakhir selepas tewas di Carchemish pada 605 SM.

Patung Firaun Necho II

Baginda sentiasa mencari jalan bagaimana untuk mengakali Nebuchadnezzar II. Pada awalnya, Necho II meluluskan projek membina versi terawal Terusan Suez dengan harapan membantu tentera laut Mesir Purba mengejutkan angkatan perang Babylon. Bagaimanapun, projek tersebut dibatalkan atas nasihat seorang pendeta kerana ia sebenarnya lebih memudahkan pihak musuh menyerang Mesir.

Tiada sebab yang menjelaskan Necho II meluluskan projek perlayaran ini. Tetapi ramai sejarawan percaya ekspedisi ini pada asalnya bersifat ketenteraan. Necho II berharap dengan menemui laluan laut baru sekitar Afrika, ia dapat memberi kelebihan semula kepada Mesir Purba bila berhadapan dengan Nebuchadnezzar II.

Dari konteks ketenteraan, ia dianggap satu pembaziran sumber. Tetapi dari sudut pandangan saintifik, ia membantu para pelayar membuat penemuan mengejutkan iaitu bumi berbentuk sfera.

Para pelayar yang dipilih Necho II untuk ekspedisi ini ialah orang Phoenician. Orang Phoenician bukan calang-calang pelayar kerana tahu tentang selok-belok lautan dan bagaimana mengemudi perlayaran dalam semua keadaan. Ini menjadikan mereka sebagai antara pelayar dan kelasi terkenal dalam lipatan sejarah dunia.

Tetapi bagi memenuhi rancangan Necho II, ia memerlukan perancangan teliti. Disebabkan bekalan makanan yang dibawa tidak akan mencukupi, mereka berkemungkinan berlabuh, mendirikan kem, mengusahakan pertanian dan kekal di situ sehingga tanaman yang diusahakan berhasil. Kerja ini mengambil sekurang-kurangnya separuh tahun. Setelah itu, barulah mereka meneruskan perlayaran.

Pada awalnya, mereka merentasi wilayah-wilayah yang dikenali termasuk Punt. Setelah itu, barulah mereka masuk ke kawasan-kawasan yang tidak diteroka. Pastinya pada satu ketika, mereka melihat ikan paus dan mendarat di hutan belantara Afrika. Penemuan-penemuan menakjubkan ini sudah pasti direkodkan dan diceritakan sebaik mereka pulang ke Mesir Purba.

Satu-satunya sejarawan yang merekodkan kisah mereka ialah Herodotus. Sejarawan Yunani itu, walaupun tidak mempercayai sama ada kisah ini sahih atau tidak, Tetapi bagi sejarawan lain seperti Strabo, Polybius dan Ptolemy, kisah ini dianggap fiksyen semata-mata.

Tetapi fenomena alam yang disaksikan orang Phoenician semasa perlayaran mereka dianggap bukti paling kukuh untuk menjawab tuduhan ini. Bagi orang di sebelah selatan Afrika, mereka tahu matahari muncul dari sebelah utara. Dengan menjadi orang pertama melihat fenomena ini, ia sudah cukup menunjukkan ekspedisi Necho II ini wujud.

Sebaik pelayar-pelayar Phoenician ini pulang dan menceritakan pengalaman mereka, ia ditolak bulat-bulat oleh orang ramai ketika itu. Seperti mana para sejarawan Yunani di atas, mereka menganggap pelayar-pelayar ini berbohong. Tetapi ribuan tahun selepas itu, terima kasih kepada teknologi dan analisis saintifik hari ini, mereka merupakan orang pertama mengelilingi benua Afrika.

RUJUKAN

Oliver, M. (2018, 21 September). When Sailors from Ancient Egypt Discovered the World is Not Flat, No One Listened. Ancient-Origins.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Leave A Reply