Dalam banyak spesis-spesis siput yang bertebaran, ada satu spesis siput ini mempunyai gaya hidup ‘dua alam’. Maksudnya, siput ini boleh hidup sebagai tumbuhan kerana mempunyai sistem fotosintesis!
Siput solar atau ‘Elysia clorotica’ ialah siput laut atau haiwan mulloska dari keluarga Plakobranchidae. Tidak seperti siput laut lain, spesis siput ini dapat teruskan hidup hanya bergantung kepada cahaya matahari, mirip dengan cara pokok-pokok hidup!
Siput laut yang tubuhnya penuh dengan warna hijau alga ini mempunyai sistem mekanisme sendiri yang menjadikan cahaya matahari sebagai sumber tenaga. Siput solar biasanya memakan alga dari spesis ‘Vaucheria litorea’ yang biasa ditemui di latitud utara, memandangkan siput laut ini juga hidup di perairan Amerika Syarikat (AS) dan Kanada.
Alga tersebut mempunyai organel bernama kloroplas. Kloroplas adalah organel penting bagi tumbuhan untuk dapatkan cahaya matahari, kemudian ubahkan kepada sumber tenaga. Menariknya, semasa siput solar mencerna alga itu, ia ‘mencuri’ kloroplas dalam alga tersebut!
Kloroplas yang ‘dicuri’ itu kemudian disimpan dalam badan siput, membolehkan organel itu aktif kembali selama sembilan bulan! Disebabkan organel ini, siput solar dapat hidup tanpa makanan kerana hanya bergantung kepada cahaya matahari seperti tumbuhan!
Satu lagi persoalan, bagaimana organel kloroplas boleh hidup dalam badan haiwan yang kandungannya sangat berbeza dari bahagian dalam tumbuhan?
Pada mulanya, saintis beranggapan bahawa gen alga telah berpindah ke dalam gen siput solar melalui proses yang dipanggil sebagai pemindahan gen horizontal. Dalam erti kata lain, sebahagian gen alga bergabung dengan gen siput supaya kloroplas dapat diterima dalam badan siput.
Tapi, kajian terbaru menunjukkan bahawa kloroplas sendiri boleh hidup dan mampu aktif semula tanpa bergantung kepada kandungan dalam tumbuhan. Hanya berharap kepada protein yang dihasilkan dalam badan siput!
Sebagai balasan dari kloroplas dapat hidup dalam badan siput, ia membekalkan sumber tenaga dari cahaya matahari dan juga karbon kepada siput. Ini menunjukkan kedua-dua hidupan mempunyai hubungan simbiosis yang menarik!
Tambahan lagi, kehadiran kloroplas membantu dalam menyamaran siput solar, di mana warna kehijauan alganya mampu melindungi dari ancaman pemangsa. Memang spesis siput ini dapat kelebihan dari ‘jirannya” yang sangat baik!
Keunikan siput solar ini telah membuka ruang inspirasi kepada para saintis untuk mengkaji kemampuan haiwan dan juga manusia untuk beradaptasi dengan sel-sel dan organel dari tumbuhan supaya dapat memanjangkan usia.
Lagi, saintis dapat mencari jalan bagaimana organel kloroplas boleh menjana tenaga dalam jumlah yang banyak melalui bio-kejuruteraan. Kalau jadi, kita dapat wujudkan sistem baru dalam penghasilan tenaga alam!
Jadi, adalah tidak mustahil jika kewujudan siput solar ini mampu menaiktaraf sesebuah tamadun, selain menghayati kebesaran Tuhan dari keunikan haiwan yang hidup seperti pokok!
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih