Peristiwa serangan tentera bergajah yang berlaku pada Tahun Gajah 570 M (mengikut sumber Islam) sudah diketahui meluas oleh majoriti umat Islam, khususnya pada tahun tersebut juga, lahirlah seorang utusan Allah swt yang terakhir iaitu Nabi Muhammad saw.

Abrahah al-Asyram (Si Wajah Terbelah) merupakan salah seorang gabenor yang mewakili Raja Kaleb (Pemerintah Kerajaan Aksum di Habsyah) menguasai wilayah Yaman yang berpusat di kota Sana’a. Pada waktu ini, jajahan kerajaan Aksum meliputi wilayah Aksum, Adulis, Wiqro (Afrika) dan Najran, Sana’a, Zafar, Aden, Marib, Shibam, Qana, Samham (Arab).

Sumber lain pula menyatakan yang Abrahah menghadapi beberapa siri peperangan dengan kerajaan Aksum setelah beliau merampas kuasa di Yaman. Setelah kemenangannya, beliau menjadi raja yang merdeka dengan gelaran Raja Abrahah al-Asyram.

Abrahah juga mempunyai misi besar untuk membangunkan geoekonomi wilayah Yaman dengan menciptakan bandar perdagangan yang besar di selatan Semenanjung Arab yang menghubungkannya dengan wilayah Syam yang berada di utara. Agama rasmi di kota Sana’a, Yaman pada waktu ini adalah agama Kristian sepertimana agama yang diamalkan oleh kerajaan Aksum di Habsyah (Ethiopia).

Tetapi untuk membangunkan misinya ini, Abrahah perlu menghapuskan penghalang utamanya, iaitu kota Mekah. Ada dua sebab mengapa Abrahah ingin menyapu habis kota Mekah dari bumi Arab. Pertama, kerana kedudukan kota Mekah yang berada di tengah-tengah Semenanjung Arab ia tidak langsung menjadi sebagai sebuah tempat persinggahan rasmi para kafilah dagang dari Syam. Kedua pula, di kota Mekah wujud sebuah binaan yang digunakan oleh masyarakat Arab pada waktu tersebut untuk beribadah iaitu Kaabah.

Selain masyarakat kota Mekah dah disekitarnya, masyarakat Syam juga datang ke Mekah untuk beribadah di Kaabah. Dua hal ini memaksa Abrahah untuk melakukan dua hal, iaitu pertama membina sebuah gereja bernama al-Qullays di kota Sana’a (560 M).

Kaedah ini digunakan oleh Abrahah untuk menciptakan sebuah simbol ibadah untuk menarik para penziarah dan kafilah dagang datang ke kota Sana’a tanpa perlu bermukim di kota Mekah. Abrahah menghantar utusannya ke empayar Rom Timur dan kerajaan Aksum untuk meminta bantuan menghantarkan bahan bekalan seperti emas, mozaik dan tenaga pekerja yang mahir dalam projek membina Gereja al-Qullays.

Gereja yang dibina oleh Abrahah dibina dengan sangat megah, dihiasai dengan pelbagai perhiasan sehinggakan Abrahah merasa, gereja indah miliknya mampu menyaingi binaan Kaabah.

Tetapi hasilnya tetap nihil. Impiannya menyimpang jauh seperti yang diharapkan. Tiada sesiapa yang berhasrat ingin mengunjungi gereja miliknya apatah lagi untuk memuji hasil jerih payah usahanya untuk membangunkan wajah kota Sanaa.

Tatkala kota Yaman yang dihiasai dengan gereja indah sepi tanpa pengunjung, kota Mekah semakin sesak dipenuhi oleh manusia. Abrahah semakin dirasuki dengan hasad dengki. Beliau wajib melakukan langkah terakhirnya iaitu menakluk kota Mekah dan menghancurkan Kaabah buat selama-lamanya.

“Daun-daun yang dimakan ulat..”.

Maka, berlakulah sebuah peristiwa gempuran pasukan bergajah Abrahah menuju ke kota Mekah. Dan kisah ini berakhir dengan tragis yang dimana pasukan tentera bergajah pimpinan Abrahah dihancurkan oleh sekumpulan burung Ababil yang membawa batu dari neraka. Niat buruk Abrahah dilenyapkan oleh Allah swt tanpa jejak. Peristiwa ini diwahyukan Allah swt di dalam Quran, Surah al-Fil (Gajah).

Baik, daripada kisah ringkas di atas, kita sudah tahu bagaimana ia dikenali sebagai Tahun Gajah, mengapa Abrahah ingin menghancurkan Kaabah dan bagaimana pengakhiran riwayat hidup Abrahah. Tetapi bagaimana pula maklumat penting yang kita lewatkan tanpa sedar? Jalur apakah yang digunakan oleh Abrahah dan tentera bergajahnya menuju ke kota Mekah?

Mengapa kita ingin mencari tahu jalur ini sedangkan ia tidak penting? Tidak, ia memang penting. Penemuan jalur dan jejak sejarah laluan yang digunakan oleh Abrahah mampu membuktikan lagi kebenaran kisah yang sudah dinyatakan di dalam kitab suci agama Islam, Quran. Kitab yang mengisahkan sebuah peristiwa yang berlaku sebelum kelahiran Nabi Muhammad saw. Bukan sebuah kitab karangan manusia, tetapi wahyu Allah swt.

Pada tahun 2014 yang lalu, sekumpulan penyelidik geologi dari Universiti Raja Saud menemukan beberapa rekod penting berkaitan jalur yang digunakan oleh Abrahah dari kota Yaman menuju ke kota Mekah.

Peta yang menunjukkan jalur perjalanan yang digunakan oleh Abrahah memimpin pasukan bergajah dari kota Sana’a menuju ke kota Mekah

1. Gabenor Abrahah memimpin pasukan tenteranya keluar daripada kota Sana’a, Yaman ke arah utara menuju ke Najran lalu menuju ke timur Asir.

2. Dari wilayah Asir, Abrahah menyambung perjalanan bersama pasukannya menuju ke timur Baha.

3. Setelah mencapai wilayah Baha, Abrahah tanpa lengah membawa pasukannya menuju ke kota Mekah.

Tiga jalur utama ini dikemukakan setelah ahli geologi tersebut menemui beberapa buah petunjuk penting iaitu inskripsi catatan lukisan gajah pada batu-batuan di sekitar gunung al-Qahr (Najran), penemuan perigi lama di daerah Hafaer (timur Asir) dan jalan berbatu yang tersusun kemas berhampiran Kara di daerah Aqeeq (negeri Baha). Pembaca boleh merujuk jalur yang digunakan oleh Abrahah pada gambar peta dibawah.

Jalan raya berbatu yang ditemui berdekatan Kara di daerah Aqeeq dalam negeri Baha, Arab Saudi.

Ketua yang memimpin ekspedisi penyelidikan ini, Mohamed al-Amry menyatakan, mereka telah menemui beberapa buah jalur jalan berbatu di daerah Tathlih dan Baha. Selain itu, bukti ini dikukuhkan dengan penemuan tulisan Humairiya yang menyebutkan tentang sepasukan gajah.

Selain digunakan sebagai jalan utama untuk para pedagang, selalunya jalan berbatu seperti ini dibina oleh sesebuah kerajaan untuk memudahkan perjalanan pasukan tenteranya menempuhi pelbagai daerah lain dalam waktu yang singkat.

Dengan penemuan ini, ia secara tidak langsung mampu mengukuhkan lagi kebenaran kisah yang disampaikan dari Quran.

Wallahu’alam.

RUJUKAN:

1. History of at-Tabari, Vol. 5, Holders of Power After Ardashir bin Babak oleh At-Tabari.

2. Sacred Precincts: The Religious Architecture of Non-muslim Communities Across the Islamic World (Arts and Archaeology of the Islamic World) oleh Mohammad Gharipour.

3. Trans-arabian routes of the pre-Islamic period oleh Daniel D.Potts (1985-1986).

4. Saudis retrace route of Abraha’s army that came to destroy Kaaba, Arab News, 2014.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

'Creative. Celibate. Crybaby.'

Comments are closed.