Jumaat, 16 Oktober 202616 Okt 2026
Kronikel Dunia

Koloni Purba Jepun Di Bumi Korea

Saya pasti ramai dalam kalangan pembaca pernah mendengar kewujudan tiga kerajaan kuno di Korea yang terdiri daripada Silla, Paekche dan Koguryo. Tapi tahukah anda, ada sebilangan ahli sejarah Jepun berpendapat bahawa sebuah koloni Jepun kuno pernah wujud di Korea? Koloni tersebut dikenali sebagai Mimana. Menurut teori tersebut, Kerajaan Paekche di Korea pernah menjalinkan hubungan diplomatik

Tiga kerajaan-kerajaan utama di Semenanjung Korea; Konferderasi Kaya di hujung selatan[2]

Saya pasti ramai dalam kalangan pembaca pernah mendengar kewujudan tiga kerajaan kuno di Korea yang terdiri daripada Silla, Paekche dan Koguryo. Tapi tahukah anda, ada sebilangan ahli sejarah Jepun berpendapat bahawa sebuah koloni Jepun kuno pernah wujud di Korea?

Koloni tersebut dikenali sebagai Mimana. Menurut teori tersebut, Kerajaan Paekche di Korea pernah menjalinkan hubungan diplomatik dengan Kerajaan Yamato (Jepun kuno) bagi mengukuhkan kedudukannya di selatan Korea.

Hubungan diplomatik ini adalah atas sebab Kerajaan Paekche
dan Yamato mempunyai ‘common enemy’ iaitu Kerajaan Silla. Menurut beberapa
inskripsi Paekche, Paekche pernah meluaskan kekuasaannya ke atas wilayah
jajahan Kerajaan Koguryo di utara sekitar abad keempat Masihi. Hal ini didorong
oleh keinginan kuat pemerintah Paekche untuk mengukuhkan lagi hubungan Paekche
dengan Dinasti Jin Timur di tanah besar Cina.

Pada 371 M, ibu kota Koguryo telah berjaya ditawan oleh
tentera Paekche disusuli dengan pembunuhan raja Koguryo. Insiden ini telah
menyemarakkan lagi permusuhan antara Paekche dan Silla kerana Silla merupakan
sekutu kuat bagi Koguryo di Korea. Menurut Nihon
Shoki
, pihak Yamato pula berasa terancam dengan pengaruh Silla selepas
Silla berjaya meluaskan jajahannya ke atas pulau-pulau kecil di Selat Tsushima.
Selat Tsushima merupakan selat yang menghubungkan Semenanjung Korea dengan
kepulauan Jepun.

Maka, pihak Yamato telah menghantar bala tenteranya ke Korea
bagi menangani pengaruh Silla yang mampu menggugat kedaulatannya. Catatan Nihon Shoki menyatakan bahawa tentera
Yamato yang diketuai oleh Maharani Jingu telah berjaya melancarkan kempen
penaklukan ke atas selatan Korea dan seterusnya menubuhkan sebuah koloni yang
dikenali sebagai Mimana Nihon Fu. Namun
begitu, lokasi tepat koloni ini masih diperdebatkan oleh para sejarawan.
Kebanyakan daripada mereka berpendapat bahawa koloni Mimana terletak dalam
wilayah Kaya.

Teori ini telah dikemukakan oleh para sejarawan Jepun pada
awal abad ke-20 berdasarkan beberapa penemuan arkeologi, inskripsi dan
catatan-catatan kuno. Antaranya:

Pedang tujuh-tangkai yang dipercayai sebagai hadiah oleh pihak Paekche kepada Yamato[1]

Pedang
tujuh-tangkai yang dipercayai sebagai hadiah oleh pihak Paekche kepada Yamato[1]

  •  Artifak
    pedang tujuh tangkai yang ditempa oleh pihak Paekche pada 369 M. Pedang ini
    kemudiannya telah dihadiahkan kepada pemerintah Yamato atas jalinan
    persahabatan antara dua negara tersebut.
  • Inskripsi peringatan yang bertarikh 414 Masihi
    yang terletak di utara Korea. Inskripsi ada menyatakan tentang kempen perluasan
    kuasa oleh Yamato di selatan Korea pada 391 M.
  • Penemuan sembilan peralatan besi kuno di Pulau
    Okinoshima, Jepun. Peralatan tersebut membuktikan adanya hubungan perdagangan
    antara penduduk Korea dan Jepun serta gelombang penghijrahan penduduk Korea ke
    Jepun sekitar antara abad keempat dan kesembilan Masihi
  • Lagenda Jepun tentang kempen ketenteraan
    Maharani Jingu ke atas Korea yang disokong oleh Nihon Shoki

Walaubagaimanapun, kebanyakan
sejarawan Korea tidak bersetuju dengan teori tersebut. Salah seorang sejarawan
tersebut iaitu Chon Ku (1974), mengatakan bahawa beliau tidak menolak kewujudan
sebuah wilayah bernama Mimana tapi wilayah tersebut hanya pernah diurus tadbir
oleh Kerajaan Paekche. Beliau turut menambah pihak Yamato kemudiannya
merekodkan wilayah tersebut sebagai koloni milik Yamato dalam Nihon Shoki.

Grayson (1977:66) pula berpendapat
bahawa campur tangan oleh penduduk Jepun di selatan Korea kuno hanya terhad
pada kegiatan pelanunan berskala kecil sepertimana kegiatan pelanunan yang
pernah dijalankan oleh puak gasar Viking di Eropah (Zaman Kegelapan).
Bertentangan dengan teori Mimana, Grayson menambah bahawa arus penjajahan
sebaliknya dibawa dari Semenanjung Korea ke kepulauan Jepun.

Okuda (1976) berpendapat bahawa
Mimana hanya berperanan sebagai fasiliti pertemuan antara wakil-wakil Kerajaan
Paekche, Silla dan Yamato bagi berinteraksi antara satu sama lain. Kiranya
Mimana hanyalah seperti ibu pejabat PBB yang bertempat di New York sebagai
tempat pertemuan antara semua wakil negara terlibat.

Disebabkan ini, teori Mimana pernah beberapa kali menjadi punca ketegangan antara Korea dan Jepun. Semasa awal abad ke-20, pihak Jepun pernah menggunakan teori ini bagi menjustifikasikan penjajahannya ke atas Semenanjung Korea. Pada tahun 1982 pula penduduk Korea Selatan tidak berpuas hati dengan kerajaan Jepun ekoran isu buku teks sejarah Jepun ada mengentengahkan teori Mimana.

Ianya tidak berakhir di situ, kontroversi buku teks ini kembali hangat pada April 2001 apabila Kerajaan Jepun meluluskan buku teks sejarah yang telah dirombak semula oleh Lembaga Rombakan Buku Sejarah Jepun. Buku ini juga memasukkan semula teori penjajahan oleh Kerajaan Yamato ke atas Mimana.

Setelah kontroversi ini berlanjutan terlalu lama, tampil beberapa pihak pengkaji sejarah yang mahu memurnikan sejarah kuno tersebut. Pada tahun 2010, sebuah pasukan pengkaji sejarah yang terdiri daripada sejarawan dari kedua-dua negara tersebut telah ditubuhkan bagi menyelesaikan isu teori Mimana.

Pasukan ini turut ditaja oleh pihak kerajaan dari kedua-dua belah negara tersebut. Akhirnya, pasukan tersebut bersepakat bahawa koloni Jepun tidak pernah wujud di selatan Korea kuno, tetapi mereka tidak menafikan adanya campur tangan dalam bentuk ketenteraan oleh pihak Yamato di rantau tersebut.

RUJUKAN:

[1] Hendry,
K. (2006). Chiljido.jpg. photograph, Seoul. Retrieved from https://www.flickr.com/photos/hendry/189880424/

[2]
This Wikipedia and Wikimedia Commons image is from the user Chris 73 and is freely available at
//commons.wikimedia.org/wiki/File:Three_Kingdoms_of_Korea_Map.png under
the creative commons cc-by-sa 3.0 license.

[3] Yukiko Ishikawa and Masahiko Takekoshi, “History
gap still hard to bridge”, Yomiuri Shimbun, 25 March 2010.

[4] Chong-Sik Lee, Japan and Korea: The Political Dimension
(Stanford, California: Hoover Institution Press, 1985), 143. 147–152.

[5] Lee Won-deog, “A Normal State Without Remorse: The
Textbook Controversy and Korea-Japan Relations”, East Asian Review,
Autumn 2001, 24

[6] Brown, D. M. (1993). The Cambridge history of
Japan.
 Cambridge, England: Cambridge University Press.

[7] Barnes, G. L. (2001). State Formation In Korea
Historical and Archeological Perspectives
. Curzon Press.

Perhatian sebentar.

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami. Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM5.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM5 / RM10 / RM50

Kongsi

No comments yet