Bayangkan pada suatu senja, pintu rumah anda diketuk perlahan. Sebaik sahaja pintu dibuka, jantung anda seolah-olah terhenti berdegup dan kedua-dua belah lutut terus berasa lembik.
Di hadapan mata, tersenyum sayu memandang anda, adalah susuk tubuh arwah emak dan ayah yang telah bertahun-tahun meninggal dunia.
Wajah, senyuman, dan suara mereka tepat seratus-peratus seperti kali terakhir anda mencium dahi mereka sebelum dikafankan.
Anda merindui mereka separuh mati.
Bertahun-tahun anda menangis setiap malam teringatkan mereka.
Air mata anda mengalir deras. Anda meluru ke hadapan, mahu memeluk tubuh syurga itu seerat-eratnya.
Tetapi, sebelum sempat anda memeluk mereka, “arwah emak” anda tiba-tiba bersuara dengan nada yang sangat lembut memujuk:
“Wahai anakku, ikutlah lelaki ini. Sujudlah kepadanya, kerana sesungguhnya dia adalah Tuhanmu.”
Skenario di atas bukanlah sebuah skrip filem seram dari Hollywood. Ia juga bukan sebuah cerita khayalan atau panglipurlara penceramah bebas.
Sebaliknya, ia adalah satu amaran daripada sebuah ramalan masa hadapan yang telah dijamin pasti akan berlaku oleh lisan manusia paling jujur, Baginda Nabi Muhammad SAW.
Inilah kemuncak ujian mental dan psikologi paling dahsyat yang sedang menunggu umat manusia pada fasa akhir zaman; Fitnah Al-Masih Ad-Dajjal!
Bila kita sebut tentang Dajjal, kita selalu bayangkan seorang raksasa bermata satu yang memegang api dan air.
Tetapi hakikatnya, antara senjata paling berbisa yang Dajjal miliki bukanlah sihir fizikal, tetapi manipulasi emosi dan kelemahan jiwa manusia.
Dajjal tahu, kelemahan terbesar seorang manusia adalah rasa rindu yang tidak tertanggung kepada ahli keluarga yang telah mati. Sesiapapun begitu, kan?
Di dalam sebuah hadis sahih yang panjang, direkodkan dalam kitab Sunan Ibn Majah (Hadis no. 4077), Rasulullah SAW telah mendedahkan taktik licik ini secara terperinci.
Baginda Nabi SAW bersabda (yang bermaksud):
“Antara fitnah (ujian) Dajjal itu adalah dia akan berjumpa dengan seorang lelaki Arab Badwi lalu bertanya: ‘Apa pandanganmu jika aku bangkitkan (hidupkan semula) ayah dan ibumu, adakah kamu mahu bersaksi bahawa aku ini Tuhanmu?'”
“Lelaki itu menjawab: ‘Ya!'”
“Maka dua ekor syaitan pun muncul menyerupai bentuk wajah ayah dan ibunya. Lalu kedua-duanya berkata:
‘Wahai anakku! Ikutlah dia (Dajjal), sesungguhnya dia adalah Tuhanmu!'”
Allahuakbar. Tuan-puan bayangkan betapa beratnya ujian ini.
Dajjal tidak perlu mengugut kita dengan pedang atau senapang. Dia hanya perlu menggunakan dua ekor jin atau syaitan yang akan menyerupai tubuh badan insan yang kita sayangi.
Syaitan ini tahu segala rahsia keluarga kita. Syaitan ini boleh meniru suara ibu kita. Syaitan ini tahu nama manja kita semasa kecil.
Apabila makhluk yang menyerupai ibu bapa ini menangis merayu di hadapan mata, menyuruh kita sujud menyembah Dajjal, mampukah akal waras kita bertahan?
Dalam keadaan ekonomi yang mungkin sedang hancur, kelaparan yang melampau, dan emosi yang rabak akibat kerinduan, berapa ramai umat Islam yang akan tewas dan terus murtad pada hari tersebut?
Hanya dengan satu anggukan, hanya dengan satu lafaz percaya, iman yang dijaga selama puluhan tahun akan terbatal. Syurga diharamkan buat selamanya.
Hari ini, tataplah wajah ahli keluarga kita.
Kita mungkin berasa kita ini sudah cukup kuat imannya. Kita rasa kita rajin solat dan kerap ke masjid. Tetapi adakah iman kita cukup kebal untuk menahan “serangan rindu” apabila wajah arwah ibu bapa kita digunakan sebagai senjata?
Sebab itulah, sejak 1,400 tahun yang lalu, Rasulullah SAW tidak henti-henti mengajar kita satu pelindung mutlak.
Antara ya adalah dengan menghafal, membaca dan mengamalkan 10 ayat terawal atau 10 ayat terakhir daripada Surah Al-Kahfi.
Jadikan surah ini sebagai perisai di dada kita. Ajar isteri dan anak-anak kita. Bentengilah rumah kita dengan hafalan surah ini bermula dari hari ini.
Jangan tunggu sehingga pintu rumah kita diketuk, dan “arwah ibu” memanggil nama kita. Kerana pada waktu itu, segalanya mungkin sudah terlambat.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami untuk mempopularkan ilmu dan kebenaran kepada masyarakat umum.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham bahawa tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih




