Awalnya cuma video pendek seekor anak monyet yang nampak kesepian. Tapi siapa sangka, kisah sedih itu akhirnya buat satu patung lembut orang utan dari IKEA tiba-tiba jadi rebutan sampai habis stok di beberapa negara.

Tahun 2026 nampaknya bukan sekadar tahun trend TikTok pelik-pelik, tapi tahun “Punch si monyet sedih” menawan hati satu dunia.

Punch atau nama manjanya Panchi-kun ialah seekor bayi Japanese macaque jantan berusia tujuh bulan yang dilahirkan pada Julai 2025 di Ichikawa City Zoo yang terletak di wilayah Chiba, timur Tokyo. Malangnya, sejurus selepas dilahirkan, Punch ditinggalkan oleh ibunya.

Pihak zoo terpaksa mengambil alih tugas menjaga Punch sejak awal. Enam hari selepas kelahirannya, penjaga zoo memperkenalkan satu patung lembut orang utan dari koleksi Djungelskog keluaran IKEA untuk mengurangkan tekanan akibat ketiadaan ibu.

Tanpa perlu diajar, Punch terus memeluk patung itu erat-erat. Dari situlah bermulanya hubungan yang buat ramai orang tak mampu tahan air mata.

Masuk Januari 2026, Punch cuba disatukan semula dengan kumpulan monyet lain. Tapi proses itu tak semudah disangka.

Beberapa video yang tular menunjukkan Punch sering diketepikan, malah ada klip memaparkan dia dibuli oleh monyet yang lebih besar.

Setiap kali dipinggirkan, Punch akan lari mendapatkan “kawan” setianya iaitu patung orang utan coklat yang sentiasa diseret ke mana sahaja dia pergi dalam kandang.

Video-video ini mula mendapat perhatian sepanjang Februari, tetapi minggu lalu ia meletup di luar Jepun khususnya di TikTok.

Jutaan tontonan diraih dalam masa singkat. Netizen dari seluruh dunia mula menggunakan tanda pagar Jepun yang membawa maksud “bertahanlah Punch”, tanda solidariti terhadap si kecil yang nampak begitu rapuh tapi kuat.

Orang ramai mula mengenal pasti patung yang dipeluk Punch sebagai model 36cm Djungelskog orang utan yang dijual pada harga sekitar AS$19.99 di Amerika Syarikat dan S$19.90 di Singapura.

Di Singapura, pihak IKEA mengesahkan stok patung itu habis di kedai fizikal dan dalam talian, walaupun dijangka akan diisi semula dalam minggu yang sama. Versi mini 20cm pula masih ada di beberapa cawangan.

Menurut wakil Ingka Group, yang mengendalikan kebanyakan stor IKEA di seluruh dunia, terdapat peningkatan jualan yang jelas untuk patung Djungelskog orang utan terutamanya di Jepun, Amerika Syarikat dan Korea Selatan.

Di Amerika Syarikat, semakan mendapati kebanyakan lokasi sudah kehabisan stok, hanya tinggal beberapa kedai yang masih menawarkan pembelian terus atau ambil sendiri.

Lebih mengejutkan, fenomena ini turut merebak ke platform jualan semula. Di eBay, ada penjual yang meletakkan harga sehingga AS$328 untuk satu patung lebih 16 kali ganda daripada harga asal.

Dari sekadar patung peluk biasa, ia tiba-tiba jadi barang “rare” gara-gara seekor anak monyet yang perlukan teman.

Pada 17 Februari lalu, Datuk Bandar Ichikawa, Ko Tanaka turut memuat naik gambar bersama Presiden IKEA Jepun, Petra Fare menunjukkan sumbangan beberapa patung lembut tambahan dan barangan lain kepada zoo tersebut.

Pihak IKEA sendiri menyatakan mereka berharap Punch akhirnya akan selesa bersama kumpulan monyet lain dan tidak lagi terlalu bergantung kepada patung tersebut.
Zoo Ichikawa pula melaporkan peningkatan jumlah pengunjung yang datang semata-mata mahu melihat Punch.

Dalam satu kemas kini di platform X pada 22 Februari, pihak zoo memaklumkan suasana terkawal dan Punch dilihat sedang dibersihkan (groomed) oleh dua ekor monyet lain sekitar jam 5 petang, satu petanda dia semakin diterima dalam kumpulan.

Apa yang berlaku pada Punch sebenarnya sesuatu yang sangat manusiawi apabila rasa sunyi, penolakan dan keperluan kepada sokongan emosi. Walaupun Punch cuma seekor monyet, reaksi orang ramai membuktikan empati itu tak kenal sempadan spesies.

Dalam dunia yang penuh berita berat dan konflik, kisah seekor anak monyet memeluk patung orang utan mampu menyatukan jutaan orang dengan rasa simpati.

Dan siapa sangka, daripada sebuah kandang di Jepun, kesedihan kecil Punch mampu buat satu dunia berpusu-pusu ke IKEA cari patung yang sama.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami untuk mempopularkan ilmu dan kebenaran kepada masyarakat umum.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham bahawa tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Comments are closed.