Kalau kita rewind masa ke tahun 1956, waktu itu “Malaysia” belum wujud sebagai nama negara. Tanah Melayu pun belum merdeka. Dunia masih cuba bangkit selepas Perang Dunia Kedua. Tapi dalam suasana itulah, seorang remaja perempuan dari Kota Bharu, Kelantan melangkah ke Amerika Syarikat sebagai wakil Tanah Melayu ke forum belia dunia.

Nama beliau Jawahir Haji Ali.

Pada usia sekitar 17 tahun, beliau direkodkan sebagai wanita Melayu pertama dari Tanah Melayu yang menjejakkan kaki ke Amerika Syarikat. Lebih luar biasa, beliau turut bertemu Presiden Amerika Syarikat ketika itu, Dwight D. Eisenhower di White House. Semua ini berlaku sebelum Malaya merdeka pada 1957.

Jawahir ketika itu merupakan pelajar di Government Girls English School di Kota Bharu, sekolah yang hari ini kita kenal sebagai Sekolah Menengah Kebangsaan Zainab (1). Pada tahun 1955, beliau memenangi pertandingan esei bahasa Inggeris anjuran kerajaan British bertajuk The World We Want. Kemenangan itu memberikannya tiket ke pentas antarabangsa. Ia melayakkan beliau dipilih menyertai New York Herald Tribune World Youth Forum, satu program berprestij yang menghimpunkan pelajar-pelajar terbaik dari seluruh dunia.

Forum ini bukan acara suka-suka. Setiap peserta dipilih melalui pertandingan peringkat kebangsaan di negara masing-masing. Maksudnya, Jawahir benar-benar antara pelajar terbaik Tanah Melayu pada waktu itu. Di Amerika Syarikat, beliau mengikuti sesi forum, persekolahan sementara, rakaman televisyen dan perbincangan intelektual bersama remaja dari pelbagai latar budaya.

Rakaman hitam putih yang pernah tular dahulu menunjukkan Jawahir bercakap dalam bahasa Inggeris dengan tenang dan yakin. Tiada gugup, tiada tersangkut. Suaranya lembut, ayatnya tersusun. Dalam satu temu bual, beliau menceritakan pengalaman pertama kali menghadapi musim sejuk di New York. Walaupun sudah tahu Amerika sedang musim dingin, beliau mengaku terkejut dengan betapa sejuknya cuaca. Sebagai gadis dari Semenanjung Tanah Melayu yang hanya kenal panas dan hujan, salji dan angin dingin itu menjadi pengalaman yang sukar dilupakan.

Detik paling simbolik dalam perjalanan itu ialah apabila Jawahir menghadiri acara rasmi bersama Presiden Eisenhower dan menerima cenderahati daripadanya. Sebelum mana-mana Perdana Menteri Malaysia berbuat demikian, sejarah itu sudah pun didahului oleh seorang remaja perempuan Melayu.

Selepas episod Amerika tersebut, Jawahir tidak hilang begitu sahaja daripada dunia ilmu. Beliau menyambung pengajian ke peringkat doktor falsafah di Universiti London dan memperoleh PhD pada tahun 1981 dalam bidang linguistik dan pendidikan bahasa Inggeris.

Sekembalinya ke tanah air, beliau berkhidmat dalam sektor pendidikan dan diplomasi termasuk pernah memegang jawatan Pengarah Institut Diplomasi dan Hubungan Luar Negeri (IDFR) di bawah Kementerian Luar Negeri Malaysia.

Jawahir Haji Ali meninggal dunia pada tahun 2005. Namun, lebih enam dekad selepas lawatan bersejarah itu, kisahnya kembali hidup apabila rakaman lama beliau tular di media. Ianya satu ingatan bahawa wanita Melayu pernah berdiri di pentas dunia jauh sebelum istilah “pemerkasaan wanita” menjadi slogan popular sebagaimana dalam sejarah Kelantan kita kenal Cik Siti Wan Kembang sebagai pemerintah wanita yang berdaulat.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami untuk mempopularkan ilmu dan kebenaran kepada masyarakat umum.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham bahawa tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Comments are closed.