Semalam, kita bercerita tentang Marvin Heemeyer dari sudut pandang seorang “mangsa” yang dibuli.

Ramai yang simpati. Ramai yang tepuk tangan bila dia langgar bangunan kerajaan. Di internet, dia dijulang sebagai Folk Hero (Wira Rakyat).

Tapi tuan-puan, setiap duit syiling ada dua muka, depan dan belakang. Kalau semalam kita dengar “Naratif Marvin”, hari ini saya nak cerita “Fakta Sebenar”.

Fakta yang dibongkar oleh saksi kejadian dan rekod rasmi, termasuk daripada buku Patrick Brower, editor akhbar Sky-Hi News yang pejabatnya diranapkan dalam amukan Marvin.

Dan fakta sebenar ni pahit.

Rupa-rupanya, Marvin Heemeyer bukanlah lelaki miskin yang ditindas. Dia sebenarnya adalah seorang peniaga yang tamak, pengotor dan menggunakan nama Tuhan untuk halalkan kegilaan dia.

Jom kita bongkar satu per satu mitos yang selama ni menutup mata dunia.

Mitos 1: “Dia tak ada duit nak sambung paip najis sebab kerajaan tekan dia.”

Ini penipuan terbesar Marvin.

Fakta sebenar: Kedai Marvin memang tak ada sistem kumbahan yang sah sejak dia beli tanah tu pada tahun 1992 (harga $42,000).

Tuan-puan tahu mana dia buang najis tandas kedai dia?

Menurut laporan rasmi Polis Grand County, Marvin menyambung paip tandas masuk ke dalam TONG BANCUH SIMEN LAMA yang tertanam di bawah tanah!

Jijik, tuan-puan.

Bila tong tu penuh, dia pam keluar air najis tu guna pam elektrik dan buang ke dalam parit pengairan (irrigation ditch) di belakang kedainya.

Air parit nilah yang jiran-jiran guna untuk siram tanaman dan bagi haiwan ternakan minum.

Bila jiran mengadu air berbau busuk dan kotor, Majlis Perbandaran datang siasat. Kerajaan bagi pilihan:

“Marvin, sambung paip elok-elok ke sistem bandar atau buat tangki septik yang murah sikit.”

Tapi Marvin ni degil. Dia tak nak keluar sesen pun duit. Dia rela biar jiran dia hidu bau najis daripada ikut undang-undang.

Mitos 2: “Tanah dia diambil secara paksa oleh kilang simen keluarga Docheff.”

Salah. Keluarga Docheff (pemilik kilang simen) tu sebenarnya dah cuba berunding dengan Marvin dengan cara yang paling diplomatik dah pun.

Marvin beli tanah tu pada harga $42,000.

Mula-mula Marvin letak harga $250,000 untuk dijual. Keluarga Docheff pun dah setuju dan kumpul duit.

Bila duit dah ada, Marvin pusing cerita. Dia naikkan harga jadi $375,000.

Bila Docheff datang balik dengan duit tu, Marvin naikkan lagi jadi $450,000!

Tak cukup dengan tu, dia minta Docheff tukar tanah (land swap) DAN bina bangunan baru untuk dia secara percuma.

Nampak tak? Ini bukan “mangsa”. Ini Cekik Darah.

Bila Docheff tak mampu layan permintaan gila ni, mereka batalkan perjanjian dan bina kilang di tanah bertentangan. Masa nilah Marvin mula meroyan rasa “rugi”.

Mitos 3: “Dia tak ada pilihan lain.”

Ini fakta yang paling buat kita rasa nak marah.

Sebenarnya, Joe Docheff (tauke kilang simen tu) pernah datang jumpa Marvin buat kali terakhir untuk berdamai.

Joe buat tawaran: “Marvin, kalau kau tarik balik saman menghalang pembinaan kilang aku, aku sendiri akan menanggung kos pembinaan saluran paip dan stesen pam di tanah kau secara PERCUMA.”

Bayangkan! Kawan ni nak tolong buatkan paip percuma (yang kosnya puluhan ribu dolar) supaya Marvin tak kena denda dengan kerajaan.

Kenapa Marvin yang sebenarnya bersalah tapi dia tetap menyaman? Sebab dalam kepala dia, dia betul. Dia guna hak undang-undang dia untuk menyusahkan orang lain (ini yang dipanggil vexatious litigant atau saman menyusahkan orang). Akhirnya dia kalah juga kes tu di mahkamah.

Tapi Marvin tolak. Ego dia terlalu tinggi. Dia pilih untuk “mati melawan” daripada berdamai.

Mitos 4: “Dia Wira Rakyat yang melawan sistem.”

Dalam pita rakaman yang dia tinggalkan (The Heemeyer Tapes), Marvin banyak kali sebut nama Tuhan.

Dia kata: “God blessed me in advance for the task that I am about to undertake.” (Tuhan rahmati aku untuk tugas ni).

Dia percaya Tuhan yang suruh dia bina kereta kebal tu dan hancurkan bandar.

Ini bukanlah wira. Ini Delusi Agama. Dia memesongkan agama untuk halalkan dendam peribadi akibat kegagalan bisnes sendiri.

Mitos 5: “Dia tak cederakan orang awam.”

Ramai yang menganggap Marvin “baik” kerana dia tidak menembak sesiapa.

Hakikatnya, ketiadaan korban bukan kerana Marvin berhati-hati, tetapi kerana tindakan pantas pihak berkuasa.

​Dia sebenarnya turut merempuh Perpustakaan Awam Granby, sebuah bangunan awam yang digunakan oleh komuniti setempat.

Pada hari kejadian, pihak polis terpaksa mengaktifkan sistem kecemasan Reverse 911 bagi mengosongkan bangunan-bangunan awam di laluan jentolak tersebut.

Hasil tindakan pantas inilah, perpustakaan turut berjaya dikosongkan sebelum Marvin sampai ke lokasi.

Beberapa ketika selepas itu, Marvin merempuh dinding perpustakaan sehingga mengalami kerosakan teruk.

Hakikat ini menunjukkan bahawa keselamatan orang awam pada hari tersebut bukan terjamin kerana kawalan atau belas ihsan Marvin, tetapi kerana nasib dan tindakan kecemasan pihak berkuasa.

Jika proses pemindahan gagal atau terlewat, risiko melibatkan orang awam termasuk kanak-kanak yang sering menggunakan fasiliti awam seperti perpustakaan adalah sesuatu yang hampir pasti.

Kisah Marvin Heemeyer ini mengajar kita bahawa kebenaran itu kadangkala lebih pahit daripada mitos yang manis.

​Memang seronok sokong underdog. Tapi bila kita kopek lapisan mitos tu (seperti yang didedahkan dalam buku Patrick Brower), yang tinggal hanyalah realiti seorang lelaki yang gagal mengawal nafsu tamak, sanggup meracuni air jiran tetangga dan akhirnya memilih jalan keganasan.

​Marvin bukanlah mangsa keadaan. Dia adalah mangsa kepada EGO-nya sendiri.

​Dia ada peluang untuk jadi kaya (jual tanah). Dia ada peluang untuk berdamai (tawaran paip percuma). Tapi dia tolak semuanya demi memuaskan hatinya yang bengkak.

​Jadikanlah ini pengajaran. Jangan kita jadi manusia yang bila buat salah, kita tuding jari pada dunia. Bila kita sendiri yang tamak, jangan kita fitnah orang lain menindas.

​Kerana akhirnya, perisai besi setebal mana pun takkan mampu menutup bangkai kebenaran.

Sesungguhnya sifat merasa diri sentiasa betul (Ujub) adalah penyakit hati yang paling berbahaya. Kisah ini menjadi peringatan tajam agar kita tidak menunggang nama Tuhan untuk menghalalkan kerosakan di muka bumi.

​Moga Allah lindungi kita daripada menjadi manusia yang zalim pada diri sendiri dan orang lain, serta dijauhkan daripada fitnah harta dan dendam yang membinasakan.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami untuk mempopularkan ilmu dan kebenaran kepada masyarakat umum.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham bahawa tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Comments are closed.