Best jadi orang Kelantan sekarang, bangun pagi, tangan cari selimut. Air paip sentuh sikit pun dah rasa macam air gunung. Nafas keluar berasap. Jaket tebal yang selama ni jadi hiasan almari akhirnya ada fungsi. Ada jugak yang cakap Kelantan lagi sejuk daripada Cameron Highlands sekarang ni.
Data rasmi pun mengesahkan fenomena cuaca sejuk luar biasa ini. Suhu di beberapa kawasan Kelantan direkodkan serendah 18 hingga 19 darjah Celsius khususnya di kawasan pedalaman seperti Dabong, Gua Musang dan Lojing. Malah, ada laporan menyebut kawasan tanah tinggi Lojing mencatat suhu bawah 15 darjah Celsius menjadikannya antara lokasi paling sejuk di Semenanjung ketika ini.
Untuk negeri yang sinonim dengan panas, lembap dan berpeluh, suhu bawah 20 darjah memang sesuatu yang jarang berlaku.
Jadi, apa sebenarnya yang sedang berlaku?
Jawapannya ada pada angin luruan monsun timur laut yang datang dari Tanah Besar China. Angin ini membawa udara sejuk dari kawasan latitud tinggi, lalu bergerak turun merentasi Laut China Selatan sebelum sampai ke Pantai Timur Semenanjung Malaysia. Apabila angin sejuk ini masuk ke daratan, ia menolak suhu permukaan ke paras yang lebih rendah daripada kebiasaan.
Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia, suhu minimum di banyak kawasan negara ini menurun antara tiga hingga lima darjah Celsius berbanding purata biasa dan dijangka boleh berulang bergantung kepada pola angin monsun. Keadaan ini paling ketara pada awal pagi, sekitar waktu Subuh hingga selepas matahari naik.
Kelantan pula berada di kedudukan yang ‘strategik’ untuk menerima kesan ini. Negeri ini terletak di Pantai Timur berhadapan terus dengan Laut China Selatan. Apabila monsun timur laut aktif, Kelantan antara kawasan pertama yang menerima tiupan angin sejuk tersebut. Tambahan pula, kawasan pedalaman dan tanah tinggi seperti Gua Musang dan Lojing memang secara semula jadi lebih sejuk. Bila digabungkan dengan monsun, kesannya jadi berganda.
Sebab itu, di Kota Bharu, Pasir Mas, Bachok, Machang dan Pasir Puteh pun orang dah mula rasa lain macam. Angin sejuk menusuk kulit, suhu kekal rendah sampai pagi, malah siang hari pun ada kawasan yang hanya sekitar 21 hingga 22 darjah Celsius. Untuk Kelantan, itu memang luar biasa.
Fenomena ini sebenarnya bukan kali pertama berlaku dalam sejarah cuaca Malaysia. Setiap kali monsun timur laut berada pada fasa aktif dan stabil, suhu sejuk seperti ini boleh berlaku. Cuma bezanya, kali ini ia dirasai lebih meluas dan lebih ketara sehingga orang yang biasa dengan cuaca panas pun boleh rasa perubahan itu dengan jelas.
Sebab itu juga, pakar meteorologi menegaskan orang ramai tidak perlu terlalu panik. Ini bukan petanda bencana, bukan juga perubahan iklim mendadak dalam masa singkat. Ia lebih kepada kitaran cuaca bermusim yang sedang berada pada tahap maksimum. Apabila pola angin berubah dan monsun melemah, suhu akan kembali ke paras biasa.
Namun, kesan kepada kehidupan seharian memang tak dapat dielakkan. Kanak-kanak dan warga emas lebih mudah terdedah kepada selesema dan masalah pernafasan. Penduduk luar bandar terpaksa pakai pakaian lebih tebal dan ada yang mula mengeluh kulit kering serta bibir merekah, sesuatu yang jarang dibincangkan di negeri panas lembap seperti Kelantan.
Dalam masa yang sama, ramai juga menikmati ‘bonus’ cuaca ini. Tidur malam tanpa kipas, pagi berkabus yang cantik untuk gambar dan suasana yang buat orang rasa tenang. Ada yang siap kata, “Kalau cuaca macam ni lama sikit pun tak apa.”
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami untuk mempopularkan ilmu dan kebenaran kepada masyarakat umum.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham bahawa tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih




