Kita tahu akan lumrah para pemerintah yang kuat ‘mengencing’. Dan apa jua halnya pun, rakyat akan minum.
Jadi kisah kita hari ini adalah berkenaan ubi.
Hari ini, ubi kentang adalah satu makanan yang menjadi norma masyarakat di serata pelusuk dunia. Banyak tamadun yang membentuk ubi kentang sebagai makanan ruji, atau sekurang-kurangnya sebagai salah satu komponen bahan dalam masakan.
Namun jika kita menghayati sejarah, dan menghijrahkan pengamatan ke negara Perancis, ubi kentang dahulunya tidak dimakan oleh orang kebanyakan. Sebabnya? Mereka menganggap bahawa ubi kentang adalah makanan orang daif atau lebih buruk lagi, makanan buat binatang.
Jadi, apakah cetusan peristiwa yang meneterbalikkan situasi itu, sehinggakan ubi kentang ini bahkan menjadi bahan penting dalam sebilangan masakan mereka?
Satu perkataan; kebuluran. Kita perlu kembali ke sekitar abad ke-18 bila mana Kerajaan Perancis itu berada di bawah naungan payung pemerintahan Raja Louis XVI.
Pada tempoh pemerintahan baginda, banyak wilayah di dalam kerajaannya yang dilanda masalah kebuluran dek kekurangan makanan yang buruk. Rakyat Perancis pada ketika itu bergantung hidup dengan roti sebagai makanan ruji. Roti mereka ini diperbuat daripada gandum.
Apakah pula kekurangan gandum ini?
Tanaman gandum di negara itu sewaktu itu sering mengalami masalah. Dalam kebanyakan masa, tanamannya mati berikutan cuaca buruk yang melanda. Apabila hasil pengeluaran gandum berkurang, permintaan terhadap stok roti juga tidaklah dapat dipenuhi ke kadar yang sepatutnya justeru mengakibatkan rakyat kebulur kerana ketiadaan makanan.
Berbalik kepada tujuan asal penulisan ini, bagaimana ubi kentang boleh dijadikan sebagai makanan ruji pula?
Segalanya bermula dengan cetusan pemikiran seorang Pakar Nutrisi Perancis bernama Antoine-Augustin Parmentier yang telah menemui keberkesanan ubi kentang sebagai makanan untuk terus kekal bertahan hidup.
Penemuan ini adalah berikutan penangkapannya dalam Perang Tujuh Tahun yang mana beliau telah terus bertahan hidup dengan hanya memakan ubi kentang.
Apabila perang tamat, beliau cuba untuk memaparkan keberkesanan ubi kentang kepada masyarakat umum.
Namun, ideanya itu tidak mendapat sambutan. Maka, beliau telah mendapatkan Louis XVI untuk membantunya mengetengahkan ubi kentang kepada masyarakat.
Di sinilah baginda mendapat ilham untuk melaksanakan satu idea yang menarik. Baginda telah mengarahkan penanaman ubi kentang di sekitar kawasan istananya dan tanaman itu dititahkannya dilindungi oleh pengawal diraja pada setiap masa. Hal ini adalah bagi mengaburi pemikiran orang kebanyakan yang bahawasanya ubi kentang itu adalah satu bahan makanan bangsawan sedangkan hal itu bukanlah hakikatnya yang jitu. Maka, ramailah rakyat yang menyelinap masuk ke kebun ubi kentang baginda untuk mencuri hasil ubi kentang yang ditanam.
Dalam pada itu, baginda juga telah menitahkan kepada para pengawal untuk memejamkan mata mereka lantas melepaskan pencuri-pencuri supaya dapat menyambar hasil pertanian itu. Perlahan-perlahan, ubi kentang mulai menjadi popular dan masyarakat umum juga sudah mula menanamnya untuk dijadikan sebagai makanan untuk mereka terus bertahan hidup.
Dapatlah kita lihat daripada peristiwa ini akan kebijaksanaan baginda ‘menipu’ rakyat jelatanya dalam usaha untuk menyelamatkan mereka daripada belenggu kebuluran yang telah terus-menerus melanda Perancis buat sekian lamanya. Di sini jugalah dapat kita pelajari akan kewibawaan dalam memerintah yang bahawasanya hal yang keji boleh menjadi baik, manakala hal yang baik turut boleh menjadi keji – mengikut keperluan masyarakat yang diperintah itu.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami untuk mempopularkan ilmu dan kebenaran kepada masyarakat umum.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham bahawa tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih




