Bila sebut Paris, apa yang terbayang dalam kepala tuan-tuan?
Mesti terbayang Menara Eiffel yang romantik, makan croissant di kafe tepi jalan atau naik bot persiaran menyusuri Sungai Seine sambil pegang tangan isteri. Kononnya “City of Love”.
Macam dalam siri Emily in Paris tu lah. Semuanya indah, wangi dan penuh gaya.
Tapi, sejarah tak pernah menipu. Di sebalik lampu-lampu cantik yang menerangi Sungai Seine tu, tersimpan satu rahsia gelap yang Perancis cuba sorokkan selama berpuluh tahun.
Sungai yang tuan-tuan tengok pelancong dok melambai-lambai tangan tu, pernah satu ketika, airnya bertukar menjadi merah pekat.
Bukan sebab limpahan cat. Tapi sebab darah manusia.
Tarikhnya 17 Oktober 1961.
Masa ni, Perang Algeria tengah panas. Orang Algeria nak merdeka tetapi Perancis tak bagi.
Di Paris, ada satu komuniti besar pendatang Algeria. Mereka ni buruh kasar, kerja kilang, yang bangunkan ekonomi Perancis jugalah kiranya.
Tapi kerajaan Perancis layan mereka macam sampah.
Ketua Polis Paris masa tu nama dia Maurice Papon.
Lelaki ni… Subhanallah, rekod dia hitam legam.
Dia ni bekas pegawai kerajaan Vichy yang pernah bekerjasama dengan N*zi Jerman masa Perang Dunia Kedua.
Dulu dia hantar orang Ya**di ke kem maut, sekarang dia beralih arah nak “kerjakan” orang Islam Algeria pula.
Papon keluarkan satu arahan perintah berkurung (curfew) yang sangat rasis.
Dia kata: “Semua ‘Orang Islam Perancis dari Algeria’ dilarang keluar rumah selepas pukul 8.30 malam.”
Orang kulit putih boleh keluar, orang lain boleh keluar. Tapi kalau muka kau muka Algeria, kau kena duduk rumah.
Rakyat Algeria rasa terhina. Ini diskriminasi tahap gaban.
Maka, FLN (Front de Libération Nationale – pejuang kemerdekaan Algeria) panggil semua orang turun buat demonstrasi aman.
Ingat ya, demonstrasi AMAN.
Arahan penganjur jelas: “Jangan bawa senjata.
Jangan bawa pisau lipat pun. Pakai baju cantik-cantik. Bawa anak bini. Kita jalan kaki je tunjuk perasaan.”
Malam itu hujan renyai-renyai.
Kira-kira 30,000 orang Algeria, lelaki, wanita dan kanak-kanak, keluar membanjiri jalan-jalan besar Paris.
Mereka pakai sut, pakai kot agar nampak kemas.
Mereka sangka di negara yang laungkan slogan “Liberté, Égalité, Fraternité” (Kebebasan, Persamaan, Persaudaraan) ni, hak mereka untuk bersuara akan dihormati.
Rupanya mereka silap besar.
Maurice Papon dah bagi “lampu hijau” pada 7,000 polis dia. Arahan tak rasmi dia berbunyi: “Hentam je. Kalau korang bunuh mereka, aku akan lindungi korang.”
Apa lagi, polis Paris yang memang dah lama simpan dendam ni pun “naik syeikh”.
Bila perarakkan sampai di jambatan-jambatan utama macam Pont Saint-Michel, neraka dunia pun bermula.
Polis tak tanya banyak. Mereka terus serbu.
Mereka hayun belantan kayu sekuat hati ke kepala penunjuk perasaan. Bunyi tengkorak retak boleh dengar di celah-celah jeritan wanita.
Orang yang dah jatuh dipijak-pijak sampai lembik.
Tapi yang paling ngeri ialah apa yang mereka buat selepas mangsa tu lembik.
Polis angkat tubuh-tubuh manusia yang separuh nyawa ni yang mana ada yang dah mati, ada yang masih bernyawa tapi pengsan dan mereka campak hidup-hidup ke dalam Sungai Seine.
Tuan-tuan bayangkan.
Malam tu sejuk, hujan, air sungai tu dingin mencengkam tulang.
Seorang demi seorang dihumban melepasi pagar jambatan.
Ada saksi nampak polis ikat tangan mangsa sebelum campak, supaya mereka tak boleh berenang.
Ada yang dicampak sekali dengan basikal-basikal mereka.
Di stesen metro (bawah tanah), darah mengalir sampai bertakung di tangga. Polis belasah orang dalam balai polis sampai mati di lantai.
Malam itu, Paris bukan lagi “City of Love”. Ia jadi rumah penyembelihan.
Berapa ramai mati?
Keesokan harinya, surat khabar Perancis keluar berita kecil je. Tajuk dia lebih kurang: “Rusuhan berlaku. 2 orang maut (atau 3).”
Dua orang? Kepala otak dia.
Realitinya, mayat-mayat mula timbul beberapa hari lepas tu.
Di loji penapis air, pekerja jumpa berpuluh mayat tersangkut.
Di tebing sungai dekat dengan Menara Eiffel, mayat-mayat terdampar dengan muka lebam dan kepala pecah.
Anggaran sejarawan hari ini mengatakan jumlah sebenar yang mati malam itu adalah antara 100 hingga 300 orang.
Ratusan nyawa melayang dalam satu malam, di tengah-tengah ibu kota Eropah yang kononnya bertamadun!
Dan apa kerajaan Perancis buat?
Mereka tutup mulut. Mereka cover-up kes ni rapat-rapat.
Gambar-gambar kejadian dirampas. Wartawan diugut.
Maurice Papon terus hidup selesa, malah naik pangkat jadi menteri lepas tu. Tak ada siapa didakwa. Tak ada siapa masuk penjara.
Selama berpuluh tahun, rakyat Perancis sendiri tak tahu pasal tragedi ni. Ia dipadam dari buku sejarah sekolah.
Bila ada orang Algeria cakap “Ayah aku mati kena campak dalam sungai”, orang Perancis gelak. “Ah, tu propaganda kau je. Mana ada benda tu.”
Sakit kan hati? Dah lah kena bunuh, sejarah pun kena nafi.
Hanya pada tahun 1990-an, bila arkib mula dibuka sikit-sikit, barulah pekung ni terdedah.
Dan Maurice Papon akhirnya kena tangkap juga, tapi bukan sebab kes Algeria ni, tapi sebab kes dia hantar Y**udi masa zaman N**i dulu.
Baru-baru ini saja, Presiden Perancis mula mengaku secara malu-malu kucing bahawa kejadian tu “tidak boleh dimaafkan”.
Tapi perkataan “Maaf” atau “Sorry” secara rasmi? Masih susah nak keluar dari mulut kerajaan Perancis. Ego penjajah masih tebal.
Tuan-tuan,
Bila kita jalan-jalan di Paris hari ini, bila kita naik bot persiaran Sungai Seine tu… cubalah pandang air dia dalam-dalam.
Di dasar sungai itulah bersemadinya roh-roh pejuang yang tak didendang.
Mereka bukan peng**nas. Mereka cuma bapa yang nak masa depan untuk anak-anak. Mereka cuma nak berjalan secara aman.
Kisah 17 Oktober 1961 ni mengajar kita satu benda penting:
Jangan terlalu kagum dengan “tamadun” Barat sampai kita lupa siapa mereka sebenarnya.
Mereka boleh cakap pasal hak asasi manusia di PBB, mereka boleh kecam negara Islam itu ini…
Tapi tangan mereka sendiri masih merah dengan darah orang-orang kita yang mereka lemaskan dalam sungai kebanggaan mereka sendiri.
Zalim itu tetap zalim, walau ia berlaku di bawah bayang Menara Eiffel yang cantik gemerlapan.
Al-Fatihah untuk mangsa Sungai Seine. Moga Allah balas setiap titis darah mereka dengan keadilan di Mahkamah Akhirat nanti.
Maha Adil Allah yang tidak membiarkan kezaliman tersembunyi selamanya.
Walaupun manusia cuba memadam sejarah, walaupun mereka cuba menutup bangkai dengan kain sutera, bau kebusukan itu akhirnya terhidu juga.
Moga kita sentiasa celik sejarah dan tidak mudah terpedaya dengan keindahan luaran dunia yang kadangkala dibina di atas timbunan tulang-temulang saudara kita sendiri.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami untuk mempopularkan ilmu dan kebenaran kepada masyarakat umum.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham bahawa tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih




