Kalau orang tengok Rio Haryanto sepintas lalu, ramai orang anggap dia ni “paydriver” yang gagal. Ye lah, masuk Formula 1, berlumba 12 kali, tak dapat mata, lepas tu hilang.

Tapi kalau kau betul-betul ikut apa yang jadi sepanjang musim 2016, cerita Rio sebenarnya jauh lebih kejam.

Bukan pasal kelajuan semata-mata, tapi pasal bagaimana Formula 1 melayan pelumba yang masuk dari cara paling dipandang rendah sekali iaitu kewangan.

Rio masuk F1 bukan sebagai produk sistem besar macam Britain, Perancis atau Jerman. Dia datang dari Asia Tenggara, naik tangga satu-satu dan akhirnya duduk dalam kereta F1 pada saat pasukan dia sendiri sedang nazak. Dalam F1, ni pun dah macam menempah maut dah, cuma kematiannya belum pasti lagi.

Bila Manor Racing umumkan Rio sebagai pemandu untuk musim 2016 pada Februari, itu sebenarnya berita besar untuk Indonesia kerana buat pertama kali bendera Indonesia berdiri di grid F1. Rio dipasangkan dengan Pascal Wehrlein, pelumba muda yang Mercedes sendiri jaga sebagai aset masa depan. Dari hari pertama lagi, ini dah jadi masalah untuk Rio bukan sebab dia tak berbakat, tapi sebab comparison dalam F1 tak pernah adil. Kau bukan dibanding dengan grid. Kau dibanding dengan teammate.

Masuk perlumbaan pertama di Melbourne, dalam sesi latihan, Rio terlibat insiden pit lane dengan Romain Grosjean. Dia terus kena penalti grid tiga tempat. Debut yang sepatutnya jadi momen manis pula tamat awal. Rio DNF lap 18 kerana masalah teknikal. Dia tak sempat pun “menunjuk”.

Bahrain selepas itu pun sama. Orang selalu lupa satu benda. Bila kau memandu untuk pasukan paling bawah, target kau bukan podium, bukan mata. Target kau cuma hidupkan kereta sampai garisan penamat. Jangan rosakkan kereta, jangan buat kesilapan mahal sebab setiap sayap patah itu duit. Rio habiskan perlumbaan, tapi jauh di belakang, satu lap down. China pun tak jauh beza. Dia beat Jolyon Palmer, tapi itu kemenangan kecil dalam konteks survival, bukan persaingan.

Russia jadi titik yang lagi pahit. First-lap chaos, Rio terlibat, kereta rosak. Dan di sinilah cerita sebenar F1 bermula yang orang jarang nampak di TV. Setiap kemalangan akan masuk bil bengkel. Floor, suspension, gearbox ni semua ada kos. Dan pada masa yang sama, bayang-bayang penajaan Rio mula menghantui setiap hujung minggu perlumbaan.

Sebab seat Rio datang bersama pakej kewangan.

Sumber utama dana Rio pada 2016 datang daripada Pertamina dengan sokongan yang dijanjikan oleh

Kementerian Pemuda dan Olahraga (KEMENPORA). Dalam kontrak pasukan kecil macam Manor, duit ini tak dibayar sekali gus. Ia dibayar berperingkat. Pasukan tak tunggu hujung musim. Mereka perlukan duit sekarang sebab cashflow Manor memang rapuh.

Masalahnya, dana kerajaan Indonesia yang sepatutnya melengkapkan pakej itu tak sampai ikut jadual.

Peruntukan tersekat prosedur, politik Parlimen dan isu pentadbiran. Dalam dunia F1, “janji” tak ada nilai. Yang ada nilai cuma wang yang masuk akaun.

Di sinilah muncul satu soalan yang ramai orang pelik, kenapa kereta Rio ada logo Pertamina, tapi guna minyak Petronas?

Jawapannya sebab penaja dan pembekal teknikal bukan benda sama. Manor guna enjin Mercedes. Bila kau guna enjin Mercedes, kau wajib guna bahan api dan pelincir yang Mercedes homologate. Pembekal rasmi Mercedes ialah Petronas. Kau tak boleh tukar minyak ikut penaja sesuka hati.

Jadi situasi Manor 2016 jadi janggal bila logo Pertamina pada badan kereta,
minyak Petronas dalam enjin.

Masuk Monaco, Rio dapat keputusan yang orang selalu ulang sampai hari ni iaitu P15. Itu best finish dia. Dia habis empat lap di belakang.

Pertengahan musim, jurang antara Rio dan Wehrlein makin jelas. Wehrlein berjaya curi satu mata di Austria, satu-satunya mata Manor sepanjang musim 2016. Dari situ, spotlight berubah. Orang banding Rio dengan Wehrlein. Dan dalam F1, bila teammate kau skor mata dan kau tak, angka itu jadi senjata paling tajam.

Kemuncak sebenar masalah Rio bukan prestasi. Ia deadline.

Dalam pasukan kecil, bila duit tak masuk, pasukan tak tunggu simpati. Mereka cari pemandu lain. Dan pada 10 Ogos 2016, Manor umumkan Rio digugurkan dan digantikan dengan Esteban Ocon. Ocon ni aset Mercedes.

Dalam F1, sokongan pengeluar enjin lebih bernilai daripada janji penaja yang tergantung.

Walaupun Rio digugurkan, Manor tetap mati. Hujung 2016, syarikat induk Manor bankrap. Pasukan gulung tikar dan tak muncul langsung di grid 2017. Wehrlein dan Ocon sempat selamatkan diri ke pasukan lain. Rio tak sempat sebab nama dia sudah dilekatkan dengan label sebagai “seat paydriver yang gagal dipenuhi”.

Di tengah semua ini, ada satu benda kecil yang selalu orang petik iaitu Ayat Kursi yang Rio tampal dalam kokpit. Rio sendiri pernah cerita, itu cara dia untuk tenangkan diri dan minta perlindungan. Dalam kereta yang panas, sempit dan risiko kemalangan sentiasa dekat, setiap pelumba ada cara sendiri untuk “ground” diri.

Cerita sebenar Rio Haryanto dalam F1 bukan cerita kegagalan. Ia cerita tentang bagaimana Formula 1 berfungsi.

Ini sukan yang nampak glamor di TV, tapi di belakang tabir ia industri yang kejam, berasaskan kontrak dan wang. Rio sempat masuk. Dan bila pintu itu tertutup, ia tertutup bukan sebab dia lambat di litar, tapi sebab sistem tak tunggu sesiapa.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami untuk mempopularkan ilmu dan kebenaran kepada masyarakat umum.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham bahawa tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Comments are closed.