Parlimen Indonesia pada 27 Januari 2026 secara sebulat suara meluluskan pelantikan Thomas Djiwandono sebagai timbalan gabenor Bank Indonesia. Yang buat orang runsing, Thomas ni ialah anak saudara kepada Presiden Prabowo Subianto.

Keputusan itu dibuat dalam sidang pleno Dewan Perwakilan Rakyat selepas sebuah suruhanjaya parlimen yang menyelia kewangan menyokong pencalonan Thomas sehari sebelumnya. Dua calon lain yang merupakan pegawai bank pusat berpengalaman diketepikan. Secara prosedur, semuanya sah. Tapi dalam dunia ekonomi, sah dari segi undang-undang tak semestinya bagus dari segi pasaran.

Sebelum pelantikan rasmi pun, pencalonan Thomas sudah mencetuskan kebimbangan pelabur tentang kebebasan Bank Indonesia. Rupiah jatuh ke paras terendah sekitar 16,985 berbanding dolar Amerika. Bank Indonesia terpaksa mengekalkan kadar faedah untuk menenangkan pasaran dan mempertahankan mata wang.

Nampaknya, pelabur tidak suka apa-apa yang berbau campur tangan politik dalam bank pusat.
Kalau dilihat semula, latar belakang keluarga Thomas memang berakar dalam dunia kewangan Indonesia.

Bapanya, Soedradjad Djiwandono, pernah menjadi Gabenor Bank Indonesia pada 1993 hingga 1998 ketika akhir era pemerintahan Soeharto. Datuknya, Margono Djojohadikusumo ialah tokoh perbankan awal Indonesia dan pengarah pertama Bank Negara Indonesia. Dari segi pendidikan, Thomas pernah belajar di Amerika Syarikat, bermula dengan bidang sejarah sebelum menyambung pengajian dalam ekonomi dan hubungan antarabangsa.

Kerjayanya pula merentasi kewartawanan, analisis kewangan di Hong Kong dan jawatan kanan dalam kumpulan perniagaan keluarga.

Dari sudut politik, Thomas pernah menjadi bendahari Parti Gerindra sejak awal penubuhannya dan terlibat rapat dengan jentera kewangan parti. Selepas Prabowo memenangi pilihan raya 2024, Thomas turut berada dalam pasukan peralihan presiden dan bekerja rapat dengan Kementerian Kewangan. Menjelang pelantikannya ke Bank Indonesia, beliau memaklumkan telah meletakkan jawatan daripada parti pada Disember 2025, satu langkah yang jelas bertujuan meredakan kebimbangan konflik kepentingan.

Thomas sendiri menegaskan komitmen untuk menjaga kebebasan bank pusat dan berkata beliau hanya wajar dinilai berdasarkan prestasi. Beliau juga menekankan konsep “sinergi” antara dasar fiskal dan monetari demi pertumbuhan ekonomi. Dari segi teks undang-undang, hujah itu kuat. Undang-undang Indonesia memang menetapkan Bank Indonesia sebagai institusi bebas dan melarang campur tangan kerajaan. Masalahnya, pasaran tidak menilai dengan membaca undang-undang semata-mata. Pasaran menilai melalui isyarat, latar belakang dan kebarangkalian risiko.

Di sinilah isu sebenar muncul. Bank pusat ialah institusi yang paling sensitif dalam sesebuah negara. Ia mengawal inflasi, kadar faedah dan kestabilan mata wang. Bila seorang yang rapat dengan presiden duduk di kerusi kepimpinan bank pusat, walaupun sebagai timbalan, persoalan tentang jarak antara kuasa politik dan dasar monetari tidak dapat dielakkan.

Pelantikan Thomas bukan bukti automatik bahawa Bank Indonesia akan hilang kebebasannya. Tetapi ia cukup untuk membuat pelabur berjaga-jaga. Dalam ekonomi global hari ini, keyakinan ialah mata wang paling mahal.

Sekali ia goyah, kosnya ditanggung oleh nilai mata wang, kadar pinjaman dan akhirnya rakyat biasa.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami untuk mempopularkan ilmu dan kebenaran kepada masyarakat umum.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham bahawa tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Comments are closed.