Jika anda menyangka skandal Watergate atau pendedahan WikiLeaks itu sudah cukup besar, fikirkan semula.
Jumaat lalu, satu “bom atom” telah digugurkan di tengah-tengah Washington D.C apabila Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) akhirnya mendedahkan ratusan ribu halaman dokumen sulit berkaitan kes Jeffrey Epstein.
Laporan terkini menyebut terdapat lebih 1,200 mangsa yang terlibat, satu angka yang cukup gila untuk ditelan oleh akal manusia yang waras.
Siapa sebenarnya Jeffrey Epstein ini? Bagi yang baru mengikuti kes ini, dia bukan sekadar jutawan kewangan yang suka berfoya-foya. Dia adalah “Penjaga Pintu” kepada rahsia paling jijik golongan elit dunia.
Epstein adalah seorang pemangsa seksual yang membina empayar pemerdagangan manusia tetapi pelanggannya bukanlah pemandu lori atau kerani pejabat. Pelanggannya ialah bekas Presiden, Putera Raja, saintis bertaraf Nobel dan CEO syarikat teknologi terbesar dunia.
Apa yang menjadikan pendedahan Disember 2025 ini sangat kritikal adalah penemuan nama-nama pegawai kerajaan dan “orang besar” yang selama ini berselindung di sebalik kekebalan diplomatik dan undang-undang.
Selama bertahun-tahun, media arus perdana cuba menggambarkan Epstein sebagai “kambing hitam” yang bergerak sendirian. Kononnya dia seorang lelaki gila s*ks yang kaya.
Namun, fail baharu ini membuktikan sebaliknya. Epstein tidak bergerak sendirian. Dia adalah sebahagian daripada satu operasi “Kompromat” (peras ugut) yang sangat sistematik.
Modus operandinya mudah tetapi berkesan: Sediakan gadis bawah umur, jemput orang kenamaan ke pulau peribadi “Little St. James”, rakam perbuatan terkutuk mereka melalui kamera tersembunyi dan simpan pita rakaman itu sebagai insurans.
Inilah sebab kenapa Epstein “kebal” selama berpuluh tahun. Bayangkan jika anda memegang pita rakaman video seorang Presiden atau Hakim Mahkamah Agung sedang melakukan jenayah s*ks*al.
Anda bukan sahaja tidak akan ditangkap, malah anda boleh mengawal dasar negara tersebut dari belakang tabir. Inilah realiti geopolitik kotor yang tidak diajar di sekolah.
Ramai penganalisis perisikan, termasuk bekas ejen CIA dan Mossad, telah lama berhujah bahawa Epstein sebenarnya adalah aset perisikan. Bukan satu kebetulan bahawa kekayaan Epstein yang berbilion dolar itu tidak jelas puncanya.
Dia tidak pernah menguruskan dana pelaburan yang diketahui umum tetapi dia mempunyai akses kepada wang tanpa had. Adakah dia “banker” kepada operasi gelap agensi perisikan tertentu untuk mengawal ahli politik Barat?
Persoalan ini menjadi lebih panas apabila kita melihat bagaimana dia mati. Pada tahun 2019, Epstein ditemui mati di dalam sel penjara Metropolitan Correctional Center, sebuah penjara kawalan paling ketat di New York.
Laporan rasmi kata “bunuh diri”. Tetapi dunia tahu benda ini adalah sebaliknya. Bagaimana mungkin kamera litar tertutup (CCTV) rosak pada waktu kejadian dan pengawal penjara tertidur serentak?
Kematian Epstein adalah mesej klasik dunia mafia: “Orang mati tidak boleh bercakap.” Dengan kematiannya, banyak rahsia besar sepatutnya terkubur. Namun, apa yang mereka lupa adalah jejak digital dan dokumen fizikal yang ditinggalkan.
Pendedahan terbaru ini menunjukkan bahawa walaupun “kepala ular” sudah dipancung, “bisa” yang ditinggalkan masih mampu membunuh karier ramai orang.
Siapa nama-nama besar yang sedang “panas punggung” sekarang? Walaupun kita tidak boleh menuduh tanpa bukti mahkamah, fail-fail terdahulu dan log penerbangan pesawat peribadi Epstein yang digelar “Lolita Express” telah mengaitkan nama-nama seperti Putera Andrew dari Britain, bekas Presiden Bill Clinton, malah nama Donald Trump juga pernah disebut walaupun konteks penglibatannya sering diperdebatkan.
Tetapi fail 2025 ini lebih menakutkan kerana ia melibatkan banyak nama pegawai kerajaan dan tokoh berpengaruh. Ini bermakna, ada individu yang pernah duduk di kerusi empuk kuasa, sebenarnya mempunyai masa silam yang gelap bersama Epstein.
Bagaimana kita boleh mengharapkan keadilan jika pembuat undang-undang itu sendiri berkemungkinan terlibat dengan jenayah? Skandal ini juga mendedahkan hipokrasi Barat dalam isu hak asasi manusia.
Amerika Syarikat sering menjaja diri mereka sebagai polis dunia yang memperjuangkan hak wanita dan kanak-kanak. Mereka pantas mengenakan sekatan ke atas negara lain atas alasan moral.
Namun, di halaman belakang rumah mereka sendiri, wujud satu sindiket pemerdagangan kanak-kanak yang dilindungi oleh sistem kehakiman negara itu sendiri.
Lihat sahaja bagaimana Ghislaine Maxwell, rakan subahat Epstein, dihukum penjara. Walaupun dia didapati bersalah memerdagangkan gadis untuk tujuan s*ks, satu soalan besar tidak pernah dijawab di mahkamah: “Dia perdagangkan gadis-gadis ini kepada SIAPA?”.
Tidak logik ada penjual tetapi tiada pembeli. Senarai “pembeli” inilah yang cuba disembunyikan bermati-matian.
Kini, dengan terbukanya ratusan ribu halaman dokumen ini, sistem “Justice” Amerika sedang diuji. Adakah mereka berani menyumbat rakan-rakan elit mereka sendiri ke dalam penjara?
Atau adakah ini sekadar wayang kulit untuk meredakan kemarahan rakyat, di mana akhirnya hanya ikan bilis yang akan dihukum manakala jerung besar terus bebas berenang?
Kita juga perlu melihat peranan media dalam hal ini. Selama bertahun-tahun, wartawan yang cuba menyiasat kes Epstein telah diugut atau didiamkan.
Malah, stesen berita gergasi ABC News pernah “membunuh” cerita tentang Epstein tiga tahun sebelum ia meletup, atas alasan tekanan daripada pihak atasan.
Ini membuktikan bahawa media Barat bukanlah bebas seperti yang dilaungkan, sebaliknya dikawal oleh tangan-tangan ghaib yang berkepentingan.
Kes Epstein adalah cermin kepada keruntuhan moral masyarakat atasan sekular. Apabila manusia merasakan diri mereka “Tuhan” yang memiliki wang dan kuasa tanpa batas, undang-undang agama dan moral manusiawi tidak lagi terpakai bagi mereka.
Mereka melihat manusia lain, terutamanya golongan bawah, sebagai objek untuk memuaskan nafsu buas mereka.
Apa yang berlaku hari ini adalah satu peringatan kepada kita semua. Jangan terlalu kagum dengan kilauan luaran tamadun Barat. Di sebalik bangunan pencakar langit, teknologi canggih dan slogan hak asasi, tersembunyi satu barah yang sangat bernanah.
Epstein mungkin sudah tiada, tetapi sistem yang melahirkan Epstein masih wujud dan beroperasi sepenuhnya.
Pendedahan fail ini mungkin hanya puncak ais (tip of the iceberg). Apa yang ada di bawah permukaan laut mungkin jauh lebih mengerikan daripada apa yang mampu kita bayangkan.
Dunia sedang memerhati. Adakah Amerika Syarikat akan runtuh di bawah berat skandal moralnya sendiri atau adakah mereka akan terus berpura-pura suci sambil menyembunyikan bangkai gajah di bawah permaidani White House? Sejarah sedang ditulis dan malangnya, dakwatnya adalah darah dan air mata mangsa yang tidak berdosa.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami untuk mempopularkan ilmu dan kebenaran kepada masyarakat umum.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham bahawa tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih




