Selama bertahun-tahun, Amerika Syarikat tidur lena dengan satu keyakinan bahawa China tidak akan mampu menyaingi mereka dalam teknologi pembuatan cip paling canggih atau semikonduktor.

Keyakinan ini bersandar kepada fakta bahawa mesin yang diperlukan untuk mencetak cip tersebut, iaitu mesin Extreme Ultraviolet Lithography (EUV), adalah mesin paling rumit dalam sejarah manusia yang dimonopoli sepenuhnya oleh syarikat ASML dari Belanda.

Untuk memahami betapa sukarnya mesin ini, bayangkan ia perlu menembak titisan timah cair yang jatuh dengan laser berkuasa tinggi sebanyak 50,000 kali sesaat untuk menghasilkan cahaya ultraungu.

Tanpa teknologi “gila” ini, impian sesebuah negara untuk menghasilkan cip moden bawah 7 nanometer hanyalah angan-angan kosong. Amerika menyangka dengan menyekat akses China kepada mesin ini, industri teknologi Naga Asia itu akan lumpuh selamanya.

Namun, laporan terkini dari Shenzhen, China, nampaknya bakal mengejutkan ramai pihak di Washington dan sekutunya. Di sebuah makmal keselamatan tinggi yang dirahsiakan, saintis China dilaporkan telah berjaya membangunkan prototaip mesin EUV mereka sendiri.

Kejayaan ini bukan datang bergolek, tetapi hasil usaha keras strategi serampang dua mata iaitu memerah keringat ribuan saintis tempatan dan dalam masa yang sama senyap-senyap merekrut kepakaran jurutera terbaik dunia termasuk bekas tenaga kerja ASML sendiri.

Kejayaan membina prototaip ini adalah satu milestone yang sangat besar buat Beijing. Walaupun mesin tersebut belum bersedia untuk pengeluaran besar-besaran di kilang, kewujudannya sahaja sudah cukup untuk membuktikan bahawa “Tembok Besar Sekatan” yang dibina oleh Amerika Syarikat sejak enam tahun lalu telah gagal.

Sebaliknya, sekatan itu menjadi pemangkin atau booster yang memaksa China mempercepatkan pembangunan teknologi tempatan dengan kepantasan yang menakutkan.

Penganalisis menjangkakan China mampu menghasilkan cip teknologi sendiri menggunakan mesin buatan tempatan ini seawal tahun 2028 atau selewat-lewatnya 2030.

Jika momentum ini berterusan, landskap semikonduktor dunia pasti akan berubah wajah secara total. Kita mungkin akan melihat kejatuhan harga gajet dan peranti elektronik di masa hadapan apabila pasaran tidak lagi dikawal oleh monopoli kartel Barat semata-mata.

Apa yang berlaku di China ini sebenarnya adalah satu tamparan kesedaran tentang geopolitik survival bangsa. Lihat sahaja perbezaan mentaliti antara blok negara-negara Teluk yang kaya minyak dengan blok negara seperti China.

Negara Teluk selesa menggunakan kekayaan mereka untuk “membeli” teknologi keselamatan dari Barat, dari kereta mewah sehinggalah ke jet pejuang tercanggih.

​Namun dalam kerangka geopolitik sebenar, ini adalah satu perangkap. Mereka memiliki perkakasan, tetapi tidak memiliki “kunci” teknologinya.

Akibatnya, jet pejuang yang dibeli berbilion dolar boleh bertukar menjadi besi buruk sekelip mata jika kuasa besar seperti Amerika Syarikat memutuskan untuk mematikan sokongan teknikal atau perisian.

Inilah beza antara “Membeli Kuasa” dengan “Membina Kuasa”. Kebergantungan teknologi menjadikan kedaulatan mereka rapuh walaupun poket mereka tebal.

Sebaliknya, lihat pula negara seperti China. Apabila ditekan, disekat, dan diembargo, mereka tidak mempunyai pilihan lain selain “buat sendiri”.

Tekanan itulah yang melahirkan inovasi kerana daripada tiada, mereka usahakan sampai ada. China membuktikan bahawa apabila sesebuah bangsa itu tersepit di sudut dinding, daya survival mereka akan melonjak ke tahap luar biasa dengan mengumpulkan segala sumber, wang dan bakat di satu tempat semata-mata untuk memintas sekatan musuh.

Kisah prototaip EUV di Shenzhen ini bukan sekadar cerita teknikal tentang cip atau wayar litar. Ia adalah cerita tentang maruah dan kedaulatan sesebuah negara.

Ia mengajar kita bahawa dalam dunia yang kejam ini, tiada kawan yang kekal dan tiada bantuan yang percuma.

Hanya dengan membina kekuatan teknologi sendiri, barulah sesebuah negara itu boleh berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah tanpa perlu tunduk kepada telunjuk kuasa asing.
Dapat sesuatu tak?


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami untuk mempopularkan ilmu dan kebenaran kepada masyarakat umum.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham bahawa tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Comments are closed.