Bila kita lihat potret-potret sultan-sultan Uthmaniyyah yang awal seperti Sultan al-Fateh, Sultan Murad, Sultan Selim dan sebagainya, kita akan lihat mesti mereka akan mengenakan serban yang besar macam bawang.
Serban ini bukan dipakai tanpa ada makna, tetapi sebenarnya merupakan satu lambang kuasa politik dunia Islam yang menjadi kesinambungan sejak tradisi Khulafa’ al-Rashidun.
Serban yang dipakai di kepala mereka membawa satu amanah yang besar dalam membawa syiar Islam kepada umat dunia.
Tapi, ianya mula berubah bila masuknya abad ke-19, khususnya sejak pemerintahan Sultan Mahmud II. Dalam potret rasmi, baginda lebih kerap digambarkan memakai fez atau pakaian istana moden.
Dan, tradisi ini berkekalan sehingga jatuhnya Khilafah Uthmaniyyah pada tahun 1924. Timbul satu soalan, apa yang menyebabkan sultan-sultan Uthmaniyyah mula tidak memakai serban lagi?
Ketika Sultan Mahmud II (1808-1839) naik takhta, empayar berada dalam keadaan yang sangat rapuh.
Kekalahan ketenteraan yang berulang terhadap kuasa Eropah mendedahkan kelemahan struktur lama. Sistem tentera, pentadbiran dan kewangan semakin ketinggalan zaman.
Masalah paling besar datang daripada Janissari yang dahulu menjadi tulang belakang ketenteraan. Mereka menolak pembaharuan dan sering mencabar autoriti sultan.
Dalam konteks ini, simbol tradisi lama termasuk cara berpakaian mula dilihat sebagai penghalang perubahan.
Sultan Mahmud II memahami bahawa reformasi bukan sahaja bertapak dalam dasar dan undang-undang.
Imej pemerintah juga perlu diubah untuk memutuskan hubungan dengan struktur lama yang gagal. Pakaian kemudian dilihat menjadi alat legitimasi politik yang paling jelas.
Serban ketika itu semakin dikaitkan dengan golongan konservatif yang menentang pembaharuan.
Ia membawa makna politik yang berat, bukan lagi semata-mata simbol agama. Dengan meninggalkan serban, sultan menunjukkan jarak daripada kelompok tersebut.
Pemilihan fez pula bukan satu keputusan rawak. Fez dianggap praktikal, seragam dan tidak membawa makna kelas keagamaan tertentu. Ia sesuai dengan usaha membentuk birokrasi dan tentera moden yang berdisiplin.
Selepas pemansuhan Janissari pada tahun 1826, perubahan imej sultan menjadi semakin konsisten.
Sultan Mahmud II mahu dikenali sebagai pemerintah pusat yang berautoriti dan rasional. Penampilan moden membantu mengukuhkan mesej tersebut.
Faktor diplomatik juga memainkan peranan penting. Uthmaniyyah semakin banyak berurusan dengan kuasa
Barat melalui perjanjian dan perwakilan rasmi. Penampilan sultan yang lebih moden dianggap selari dengan protokol antarabangsa.
Sultan-sultan selepas Mahmud II akhirnya secara rasmi bermula sejak Sultan Abdulmecid I meneruskan pendekatan ini.
Dalam bermulanya era Tanzimat, penekanan diberikan kepada undang-undang, pentadbiran dan pendidikan moden. Penampilan sultan mencerminkan semangat pembaharuan tersebut.
Walaupun begitu, perubahan pakaian tidak bermaksud institusi khalifah terus ditinggalkan. Sultan masih memegang peranan agama dan melindungi institusi Islam. Yang berubah ialah cara kekuasaan dizahirkan di ruang awam.
Serban terus dipakai oleh ulama dan tokoh agama dalam konteks keilmuan dan ibadah. Pemisahan visual antara pemerintah dan ulama menjadi lebih jelas. Ini membantu mengurangkan pertindihan peranan antara kuasa politik dan keagamaan.
Fenomena ini akhirnya menjadi suatu dilema besar yang dihadapi Uthmaniyyah pada penghujung hayatnya.
Mereka cuba mengekalkan identiti Islam sambil menyesuaikan diri dengan dunia moden. Tidak semua perubahan berjaya, tetapi usaha itu tetap signifikan.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami untuk mempopularkan ilmu dan kebenaran kepada masyarakat umum.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham bahawa tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih




