Kalau kita selak sejarah India, kita akan perasan yang hampir semua kuasa Islam di sana besar, kaya dan berpengaruh. Kesultanan Delhi pernah menguasai utara India selama berabad-abad. Empayar Mughal pula menjadi antara kerajaan paling mewah dan ilmiah pada abad ke-16 dan 17, setanding Empayar Uthmaniyah dan Habsburg.
Namun satu persoalan sering timbul:
Jika mereka begitu hebat, kenapa India tidak pernah melahirkan khalifah seperti Abbasiyah atau Uthmaniyah?
Jawapannya tidak sesederhana “tiada siapa guna gelaran itu”.
Ada yang pernah mencuba, tetapi tidak pernah diiktiraf sebagai khalifah universal umat Islam.
Untuk memahami hal ini, kita perlu kembali kepada maksud asal gelaran khalifah. Sejak abad ke-7, khalifah bukan sekadar gelaran dan pangkat politik. Klhalifah adalah lambang kesinambungan kepada kepimpinan Rasulullah S.A.W., sekali gus kedudukan tertinggi dalam dunia Islam.
Pada abad ke-13, ketika Sultan Delhi mula naik, gelaran khalifah telah lama dikuasai Abbasiyah dan kemudian diwarisi pula oleh Uthmaniyah. Dalam struktur dunia Islam waktu itu, gelaran khalifah sudah mempunyai pusat autoriti yang jelas. Maka penguasa-penguasa di India tidak boleh sesuka hati ‘claim’ gelaran itu.
Percubaan di India pula hanya berlaku dalam bentuk yang terhad. Contohnya, Qutbuddin Mubarak Shah Khilji pada awal abad ke-14 pernah isytiharkan dirinya Khalifatullah dan memanggil Delhi sebagai Dar al-Khilafat.
Namun tuntutan baginda itu tidak bertahan lama, tidak diterima di luar India dan akhirnya lenyap.
Mughal kemudian mengembangkan versi mereka sendiri. Akbar memposisikan dirinya sebagai Khalifat al-Zaman, Shah Jahan memakai gelaran Khilafat-Panah, dan Aurangzeb digelar sesetengah ulama sebagai “khalifah India” kerana komitmen beliau terhadap syariah. Namun semua ini bersifat regional dan bukan tuntutan terhadap seluruh dunia Islam, apatah lagi diterima sebagai khilafah universal.
Tambahan penting di sini ialah projek agama dan falsafah Maharaja Akbar yang dikenali sebagai Din-i Ilahi. Projek ini cuba membina satu sintesis spiritual yang melampaui mazhab dan agama. Tujuannya untuk mencipta kesetiaan baru sekitar institusi diraja. Dalam konteks politik Mughal, Din-i Ilahi ialah percubaan menggantikan sumber autoriti agama tradisional dengan karisma raja.
Tetapi kerana gabungan unsur Hindu, Jain, Islam dan unsur mistik lain, ia menimbulkan syak wasangka ulama.
Percubaan ini menunjukkan bahawa walaupun Akbar mengadaptasi gelaran yang serupa dengan khalifah, baginda sebenarnya mahu mengenepikan prasyarat teologinya. Maka Din-i Ilahi membuktikan bahawa Mughal sedang bergerak menjauhi konsep khalifah universal dan bukan menghampirinya.
Mengapa mereka tidak melangkah lebih jauh?
Pertama, pemerintah Islam di India tidak memerintah wilayah majoriti Muslim. Gelaran khalifah tidak memberi keuntungan politik kepada mereka dalam konteks masyarakat Hindu yang besar.
Kedua, pusat autoriti agama dan ilmu dunia Islam berada di Timur Tengah. Mengisytiharkan diri sebagai khalifah bermakna mencabar pusat fatwa di Hijaz, Mesir dan Turki. Ini adalah risiko yang besar dan tidak menguntungkan buat penguasa Islam di India.
Ketiga, kuasa Mughal dan Kesultanan Delhi sudah cukup dengan apa yang mereka ada. Aurangzeb, misalnya, menguasai wilayah lebih luas daripada kebanyakan khalifah Abbasiyah, namun tetap memilih gelaran raja Parsi seperti Alamgir.
Akhirnya, sejarah Islam India menunjukkan bahawa gelaran bukan penentu kekuatan. Walaupun tamadun Islam di India tidak pernah melahirkan khalifah yang diiktiraf se-dunia Islam, merekalah yang membina Taj Mahal, memperkaya ilmu astronomi dan seni bina, serta melahirkan salah satu tamadun Islam paling berpengaruh dalam sejarah dunia.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami untuk mempopularkan ilmu dan kebenaran kepada masyarakat umum.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham bahawa tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih




