Lebih seratus tahun sudah berlalu sejak Howard Carter menemui makam Tutankhamun di Lembah Raja-Raja pada tahun 1922.

Namun pesona Firaun muda itu masih menawan dunia hingga ke hari ini. Wajah emasnya terus bersinar di Grand Egyptian Museum yang menjadi salah satu lambang keagungan Mesir Purba dan karya seni yang melampaui batas masa.

Topeng ini dihasilkan sekitar tahun 1323 sebelum Masihi, ketika Tutankhamun mangkat pada usia sekitar 19 tahun. Beratnya hampir sepuluh kilogram dengan ketinggian lima puluh empat sentimeter.

Ia ditempa daripada emas tulen yang digabung dengan ketelitian luar biasa, dihiasi batu berwarna eksotik seperti lazuli, obsidian, kuarza dan kaca berwarna yang menambahkan kilauan pada wajahnya. Pantulan cahaya dari mata hitamnya menjadikan wajah Firaun tampak hidup dan memancarkan aura luar biasa.

Pada bahagian dahi, terpahat dua simbol keramat yang menandakan kuasa Firaun keatas seluruh tanah Mesir. Ular kobra mewakili dewi Wadjet, pelindung Mesir Hilir, manakala burung nasar melambangkan dewi Nekhbet, penjaga Mesir Hulu.

Gabungan dua simbol ini melambangkan penyatuan Dua Tanah yang menjadi asas kekuasaan Mesir. Di bahagian belakang pula terukir petikan mantera funerari daripada Book of the Dead (Mantera 151b), yang berfungsi sebagai doa perlindungan bagi roh baginda dalam perjalanan menuju ke alam akhirat.

Sejak hari penemuannya, topeng ini menjadi ikon arkeologi dunia. Ia melambangkan kemewahan, kuasa dan kehalusan seni pertukangan yang menakjubkan.

Para penyelidik masih mengagumi bagaimana tukang logam Mesir Purba mampu menghasilkan kerja sehalus ini tanpa bantuan teknologi moden. Setiap lekuk wajah, garisan dan susunan batu permata disempurnakan dengan harmoni yang menzahirkan kefahaman mendalam terhadap seni, geometri dan matematik.

Ada sarjana berpendapat topeng ini mungkin pada asalnya dibuat untuk tokoh diraja lain seperti Ratu Nefertiti kerana bentuk wajahnya yang halus dan telinga bertindik. Walau begitu, ukiran nama dan gelaran Tutankhamun pada bahagian belakang menunjukkan ia sememangnya dicipta khas untuk Firaun muda ini.

Kajian bahan dan struktur logam turut mengesahkan keserasian gaya serta usia yang kena dengan zaman pemerintahannya dan ini menguatkan lagi keyakinan bahawa topeng ini sememangnya hasil tangan zaman Tutankhamun sendiri.

Perbezaan warna antara bahagian muka dan dada pernah menimbulkan teori bahawa topeng ini disatukan daripada dua logam berbeza. Namun analisis saintifik membuktikan bahawa perbezaan itu berpunca daripada komposisi aloi dan kesan penuaan semula jadi selama lebih tiga ribu tahun.

Penyelidik juga mengesahkan bahawa tukang logam Mesir Purba telah menguasai teknik peleburan suhu tinggi yang amat maju dengan menggunakan relau batu arang dan alat pemanas yang mampu mencapai suhu lebih seribu darjah Celsius.

Pada tahun 2014, dunia dikejutkan dengan satu insiden dimana janggut topeng ini tercabut semasa kerja pembersihan di Muzium Mesir, Kaherah. Ia kemudian dilekatkan semula menggunakan gam epoksi secara tergesa-gesa sehingga meninggalkan kesan pada permukaannya.

Setahun kemudian, pasukan konservasi Mesir dan Jerman menjalankan pemulihan penuh dan berjaya mengembalikan semula keadaan asalnya pada tahun 2016. Sejak itu, proses penyelenggaraan artifak berharga ini dilakukan dengan piawaian antarabangsa yang ketat.

Hari ini, topeng emas Tutankhamun menjadi pameran paling bernilai di Grand Egyptian Museum di Giza. Ia ditempatkan dalam ruang pameran khas dengan kawalan suhu, kelembapan dan pencahayaan yang sangat terperinci. Setiap pantulan cahaya ke atas emasnya memancarkan aura seolah-olah Firaun muda itu masih hidup, berdiri megah di hadapan rakyatnya.

Kisah “sumpahan Firaun” turut menambah aura misteri di sekeliling makam ini. Teori itu muncul selepas beberapa ahli pasukan penggali meninggal dunia tidak lama selepas penemuan makam tersebut.

Namun catatan sejarah menunjukkan kebanyakan mereka hidup panjang, termasuk Howard Carter yang meninggal dunia kira-kira 17 tahun kemudian akibat penyakit biasa. Penyelidikan moden mendapati kematian awal beberapa ahli pasukan berpunca daripada pendedahan kepada bakteria dan kulat purba yang tertutup dalam ruang makam selama ribuan tahun.

Ada juga teori konspirasi yang mendakwa topeng ini dihasilkan dengan bantuan makhluk asing. Dakwaan ini telah ditolak oleh komuniti saintifik kerana bukti jelas menunjukkan Mesir Purba memiliki sistem metalurgi yang amat maju.

Mereka sudah lama mengetahui cara menempa, membentuk dan menggilap emas sehingga menyerupai permukaan cermin. Semua ini hasil keilmuan dan kesungguhan manusia sendiri. Tiada faktor teknologi makhluk asing.

Topeng emas Tutankhamun juga menggambarkan tahap keilmuan yang tinggi tentang keseimbangan dan simetri. Nisbah muka dan lehernya dihasilkan dengan ketepatan hampir sempurna.

Ada juga pandangan bahawa makam Tutankhamun disiapkan dengan tergesa-gesa selepas kemangkatan baginda pada usia muda. Ini menimbulkan kemungkinan bahawa beberapa artifak diambil daripada makam lain.

Walau bagaimanapun, bukti arkeologi yang ditemui bersama kartus (cartouche) nama dan gaya ukiran khas zaman Tutankhamun menunjukkan topeng ini direka khas untuk baginda.

Howard Carter pernah dikaitkan dengan tuduhan menyimpan beberapa artifak kecil secara peribadi, tetapi tiada bukti bahawa topeng emas ini pernah keluar dari Mesir. Sejak tahun 1922, ia kekal di bawah jagaan kerajaan Mesir dan dianggap sebagai khazanah paling berharga negara itu.

Topeng emas Tutankhamun bukan sekadar peninggalan sejarah, tetapi cerminan tamadun yang memahami hubungan antara seni, ilmu dan kepercayaan.

Setiap ukiran dan warna menggambarkan kefahaman mereka terhadap perjalanan roh dan kehidupan selepas mati. Ia menjadi bukti bahawa keagungan manusia terletak pada kemampuan mencipta sesuatu yang melampaui zaman.

Kini, setiap pengunjung yang menatap wajah emas ini seolah-olah berhadapan dengan sejarah yang hidup. Karya ini menjadi saksi bahawa manusia terdahulu mempunyai keilmuan tinggi, ketelitian dan cita rasa seni yang mengagumkan.

Dari bengkel logam purba hingga ke muzium moden, topeng ini terus berdiri megah sebagai lambang ketekunan dan kecerdikan manusia dalam memahami seni dan teknologi.

Ibrah buat kita sebagai Muslim bahawa kebijaksanaan yang Allah kurniakan perlu digunakan untuk membina, bukan menentang-Nya. Tamadun sehebat Mesir akhirnya binasa kerana kesombongan dan kekufuran.

Islam mengajar bahawa ilmu dan kemajuan hanya bermakna apabila berpaksikan tauhid. Setiap penemuan sejarah seperti ini sepatutnya menambah rasa kagum kepada kekuasaan Allah dimana sehebat mana pun kita pada akhirnya akan kembali ke negeri abadi.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami untuk mempopularkan ilmu dan kebenaran kepada masyarakat umum.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham bahawa tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Comments are closed.