Bila Konami umumkan Mokhtar Dahari masuk eFootball sebagai kad Epic yang boleh naik sampai rating 101, satu Malaysia tiba-tiba hidup balik kenangan nama SuperMokh. Dekat TikTok orang upload gol-gol lama. Dekat Threads orang cerita sejarah. Dekat YouTube orang mula cari balik rakaman Stadium Merdeka.
Budak-budak yang baru kenal bola tengok karakter dalam game. Orang lama pula teringat zaman stadium penuh, gegar tanah bila gol.
Tapi benda yang buat ramai terkejut bukan rating 101 tu.
Benda yang orang bincang semula ialah kenapa Mokhtar dulu tolak peluang ke Real Madrid.
Dan untuk faham perkara itu, kita kena kenal dia dari mula.
SuperMokh.
Mokhtar lahir di Setapak pada 13 November 1953. Anak kedua daripada lima beradik. Ayahnya, Dahari Abeng bekerja sebagai pemandu lori. Ibunya, Aminah Sharikan yang banyak menjaga anak-anak kerana ayahnya jarang berada di rumah. Mokhtar membesar dalam suasana sederhana.
Dari sekolah rendah lagi dia dah aktif bersukan. Pingpong dia boleh. Sepak takraw dia boleh. Tapi bola sepak lah yang betul-betul hidup dalam badan dia.
Tahun 1964, keluarga mereka berpindah ke Kampung Pandan. Dan di situlah titik mula sebenar. Hampir setiap petang, Mokhtar turun padang Pandan Dalam. Zaman tu bukan semua orang dapat peluang nak main padang luas. Kadang kena tunggu pelajar senior habis dulu. Tapi ia tak pernah padamkan minat dia.
Setahun kemudian dia masuk Victoria Institution (VI), sekolah elit yang banyak melahirkan atlet. Di situ, dia jumpa rakan-rakan dan jurulatih yang yakin dia boleh pergi jauh.
Pada masa orang lain berebut peluang dalam badminton dan pingpong, Mokhtar pilih bola sepak sebab dia nampak ruang dia berada di situ. Dan dia pilih dengan penuh tekad. Dia main untuk VI dalam kejohanan bawah 15 tahun dan saat paling awal orang mula sedar nama Mokhtar ialah bila dia jaringkan gol kemenangan menewaskan La Salle Sentul 2-1 pada tahun 1968.
Ayahnya yang jarang tunjuk emosi itu sendiri gunakan duit gajinya untuk hadiahkan sepasang kasut but bola selepas Mokhtar tamat SRP. Dan kalau kita tengok cara Mokhtar main selepas itu, kita boleh nampak dia bermain dengan kesungguhan macam kasut itu bukan sekadar kasut, tapi amanah.
Selepas habis sekolah pada 1971, Mokhtar mula main dengan Kelab Darul Afiah. Di bawah Hussein Hashim, dia bukan sahaja diasah dari segi teknik, tapi ketenangan dan keyakinan waktu pegang bola.
Dari situlah FAS mula memanggilnya. Dia masuk pasukan Selangor untuk Piala Burnley (Piala Razak) dan walaupun baru 16 tahun, dia dah tunjuk dia bukan pemain muda biasa. Dia menjaringkan empat gol dan membantu Selangor menjadi juara.
Tapi jangan bayang pemain bola zaman dulu hidup macam pemain profesional hari ni. Gaji besar tak wujud. Elaun pun sekadar cukup makan. Mokhtar terpaksa bekerja sebagai kerani bank. Masuk pejabat pagi. Habis kerja, terus ke padang untuk latihan. Pulang naik motosikal.
Pernah motosikal dia kena curi. Sampai dia rasa macam nak berhenti. Tapi bila sebuah syarikat hadiahkan motosikal baru, itu seolah-olah dunia bagi tanda untuk dia teruskan.
Tahun 1972 jadi titik penting. Selangor menang Piala Malaysia dan Mokhtar dapat cap pertama bersama pasukan kebangsaan. Pada Piala Raja Thailand tahun sama, Mokhtar jaringkan gol kemenangan dan Malaysia juara.
Dari situ, Malaysia masuk era emas, satu generasi yang sampai hari ini masih orang rindu. Malaysia menang Pesta Bola Merdeka empat kali, emas Sukan SEA 1977 dan 1979, gangsa Sukan Asia 1974. Dan dalam banyak nama yang paling disebut-sebut ialah Mokhtar.
Dua perlawanan yang buat dunia berhenti sekejap untuk tengok Malaysia ialah ketika Malaysia menentang Arsenal tahun 1975 dan England B tahun 1978. Arsenal datang dengan skuad padu, tetapi Malaysia menang 2-0.
Dua gol itu daripada Mokhtar.
England B pula datang dengan pemain-pemain elit termasuk Joe Corrigan. Mokhtar ambil bola dari tengah, potong dua pertahanan dan lepaskan rembatan yang Corrigan tak dapat baca. Stadium Merdeka bising sampai gegar tanah. Dan Sir Bobby Robson cakap, “Mokhtar boleh bermain di mana-mana kelab Divisyen Satu England.”
Dalam perlawanan dengan Boca Juniors 1982 pula, Mokhtar bertemu Diego Maradona. Dan walaupun tidak ada rekod rasmi yang menyatakan gol Mokhtar menginspirasikan gol solo Maradona pada 1986, apa yang ada ialah pengiktirafan yang datang dari pemain-pemain Argentina itu sendiri ialah mereka terkejut dengan kekuatan fizikal Mokhtar dan bagaimana namanya bersorak dalam stadium seperti nama itu adalah jantung negara.
Dari situ, minat dari kelab Eropah muncul termasuk Real Madrid seperti dicatatkan dalam buku akademik Giving The Game Away oleh Stephen Wagg. Dan di sinilah persoalan yang selalu muncul, kenapa Mokhtar tak pergi?
Jawapannya tidak dramatik. Tidak berbunga. Tetapi jelas.
Mokhtar rasa dia belum habis tugas di Malaysia.
Dia rasa Selangor perlukan dia.
Dia rasa Malaysia perlukan dia.
Dan prinsip dia mudah, kalau dia sudah bangunkan sesuatu di tanah sendiri, dia akan jaga sampai selesai.
Kesetiaannya mahal dan tidak boleh diganti.
Kariernya di pasukan kebangsaan bukan sunyi dari kontroversi. Dia pernah tarik diri kerana tekanan media dan keputusan pengurusan. Dia pernah kembali kerana sayang kepada pasukan.
Tapi pada 1982, dia menggantung but daripada Harimau Malaya dan fokus kepada Selangor dan keluarganya termasuk isterinya, Tengku Zarina yang sentiasa berdiri sebagai penyokong paling dekat dalam hidupnya.
Tahun 1986 jadi penutup kariernya. Selangor menang Piala Malaysia buat kali ke-10 dengan dirinya masih menjadi nadi pasukan. Tapi tak lama selepas itu, dia mula jatuh sakit.
Tahun 1989 dia disahkan menghidap penyakit motor neuron. Dan pada 11 Julai 1991, Malaysia kehilangan seorang lagenda pada usia 37 tahun.
Untuk waktu yang lama, rekod Mokhtar sebenarnya hilang dalam lipatan. Bukan kerana dia tak jaringkan, tetapi kerana pada zaman dia bermain, standard dokumentasi perlawanan antarabangsa belum mantap macam zaman sekarang.
Banyak perlawanan dulu dikira sebagai perlawanan persahabatan tidak rasmi, walaupun lawannya pasukan kebangsaan sebenar.
Sampailah muncul Roberto Mamrud, seorang penyelidik bola sepak dari organisasi statistik dunia yang bernama RSSSF. Dia bukan orang Malaysia. Dia tak ada sentimen. Dia buat kerja sebagai pengkaji sejarah sukan. Dan masa dia semak satu demi satu rekod perlawanan antarabangsa Asia tahun 60-an sampai 80-an, dia mula jumpa nama Mokhtar Dahari muncul berulang kali.
Dan hampir setiap kali, ada gol.
Mamrud mula kira semula, padankan laporan akhbar, simpanan persekutuan bola sepak, rekod penganjur dan sumber-sumber arkib. Bila selesai, dia keluarkan satu laporan statistikal yang kemudian menjadi rujukan antarabangsa.
Di situlah tercatat angka ini.
Jumlah keseluruhan penampilan Mokhtar untuk Malaysia termasuk perlawanan menentang kelab, pasukan pilihan dan skuad B ialah 167 perlawanan dengan 125 gol.
Tapi berdasarkan penilaian FIFA untuk perlawanan rasmi menentang pasukan kebangsaan, rekodnya ialah 89 gol dalam 142 perlawanan.
Mokhtar Dahari, 89 gol antarabangsa rasmi.
Dan angka itu bukan nombor kecil. Ia angka yang pada tahun 1980 mengatasi Ferenc Puskás, ikon Real Madrid dan simbol bola sepak Eropah. Sejak hari itu sebenarnya Mokhtar secara rasmi menjadi Penjaring Antarabangsa Lelaki Terbanyak Dunia.
Dunia.
Bukan Asia.
Bukan ASEAN.
Dunia.
Dan gelaran itu bukan singgah sebentar. Mokhtar pegang takhta itu hampir 24 tahun.
Dari 1980 sampai 2004, nama paling atas carta penjaring bola sepak dunia sepatutnya adalah “MOKHTAR DAHARI (Malaysia)”.
Hanya selepas Ali Daei dari Iran menjaringkan gol ke-90 pada 2004, barulah ranking berubah.
Cristiano Ronaldo pula baru memintas sekitar tahun 2021, sebelum melonjak ke 100 gol lebih.
Lionel Messi?
Masa rekod ini disahkan semula pada tahun 2020, Messi baru 70 lebih gol. Maksudnya, Malaysia pernah duduk lebih tinggi daripada Argentina dalam carta penjaring antarabangsa.
Akhirnya, kisah Mokhtar Dahari bukan hanya pasal gol, bukan pasal ranking dan bukan sekadar pasal tawaran Real Madrid yang ditolak. Ia kisah tentang seorang pemain yang memilih kesetiaan mengatasi kemasyhuran dan meletakkan maruah pasukan serta negaranya lebih tinggi daripada nama sendiri.
Dia pernah berada di puncak dunia, memegang gelaran penjaring terbanyak perlawanan antarabangsa hampir 24 tahun. Dan hari ini, angka itu terus menjadi saksi bahawa Malaysia pernah melahirkan penyerang bertaraf global.
Jadi apabila Konami memasukkan SuperMokh dalam eFootball dengan penarafan sehingga 101, itu tidaklah “overrated”. Itu pengiktirafan.
Kerana legenda sebenar tidak memerlukan pentas luar untuk membuktikan dirinya. SuperMokh membuktikannya di tanah ini dan seluruh dunia menyaksikan.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami untuk mempopularkan ilmu dan kebenaran kepada masyarakat umum.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham bahawa tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih




