Jauh di pedalaman lembah Ariège, Perancis, tersembunyi sebuah gua yang menyimpan kisah luar biasa tentang manusia purba. Di dalamnya terdapat dua arca tanah liat berusia kira-kira 14,000 tahun, dikenali sebagai Bison Le Tuc d’Audoubert. Ia dianggap antara karya seni prasejarah paling menakjubkan di dunia, hasil tangan manusia daripada budaya Magdalenian yang hidup pada penghujung Zaman Ais.

Arca ini ditemui pada tahun 1912 oleh ahli arkeologi Perancis, Henri Bégouën bersama tiga anak lelakinya, Max, Jacques dan Louis. Mereka menjelajah jauh ke dalam rangkaian gua Volp dan akhirnya menemui arca tersebut di kedalaman hampir 700 meter dari pintu masuk. Kedudukan yang begitu jauh dari permukaan menunjukkan kawasan itu mempunyai makna yang besar bagi masyarakat purba pada masa tersebut.

Kedua-dua arca ini dibentuk menggunakan tanah liat lembap yang diambil dari lantai gua. Setiap lekuk otot, bonggol dan tekstur bulu bison diukir dengan teliti menggunakan jari serta alat tajam kecil. Kesan jari si pembuat masih jelas kelihatan pada permukaan tanah liat, seolah-olah mereka baru meninggalkan gua itu semalam.

Setiap arca berukuran kira-kira 60 hingga 65 sentimeter panjang dan 18 hingga 20 sentimeter tinggi. Walaupun tidak besar, hasilnya sangat menakjubkan kerana memperlihatkan pemahaman mendalam tentang bentuk dan gerakan haiwan sebenar. Warna semula jadinya kekal hingga kini kerana tanah liat itu mengeras secara semula jadi selama ribuan tahun di bawah keadaan lembap dan sejuk.

Kedua-dua bison berdiri bersebelahan di atas pelantar batu kapur menggambarkan sepasang haiwan jantan dan betina yang sedang bergerak bersama. Posisi kepala yang sedikit tunduk memberi gambaran seolah-olah mereka sedang berjalan perlahan di padang terbuka. Ahli arkeologi percaya imej ini mungkin melambangkan tenaga, kesuburan atau hubungan antara manusia dengan alam dimana ianya satu nilai yang sangat penting bagi masyarakat Magdalenian.

Perjalanan ke ruang gua itu sendiri bukan kerja mudah. Laluan sempit, gelap dan licin memerlukan kekuatan, keberanian serta kerjasama ramai orang untuk membawa tanah liat, peralatan dan lampu minyak ke dalamnya. Ini menunjukkan masyarakat Magdalenian mempunyai organisasi sosial yang baik serta kebolehan untuk melaksanakan kerja rumit di bawah tanah.

Dinding gua di sekitar arca menampakkan kesan jelaga daripada lampu lemak haiwan yang digunakan sebagai sumber cahaya. Penemuan ini membuktikan kawasan itu pernah digunakan berulang kali, mungkin untuk tujuan khas seperti upacara atau perhimpunan keagamaan. Walaupun tujuannya tidak dapat dipastikan sepenuhnya, banyak penyelidik berpendapat ruang itu mempunyai nilai spiritual yang mendalam bagi masyarakat yang menciptanya.

Dari segi teknikal, arca ini menunjukkan kemahiran luar biasa. Tanah liat yang digunakan perlu mempunyai kelembapan yang tepat supaya tidak retak atau runtuh. Kajian mendapati pembuatnya menambah tanah liat lapis demi lapis untuk memastikan bentuknya kukuh, satu teknik yang menggambarkan pemahaman tinggi terhadap bahan semula jadi.

Keadaan gua yang stabil turut memainkan peranan penting dalam pemeliharaannya. Suhu rendah dan kelembapan tinggi di dalam gua bertindak sebagai pelindung semula jadi yang menghalang tanah liat daripada kering dan pecah. Gua ini berfungsi seperti kapsul masa yang memelihara seni manusia purba dalam keadaan hampir sempurna selama beribu tahun.

Gaya arca ini mempunyai persamaan dengan karya seni gua terkenal seperti Lascaux di Perancis dan Altamira di Sepanyol. Semua karya ini menggambarkan dunia haiwan yang dianggap suci dan berhubung rapat dengan kehidupan manusia. Seni bagi mereka ialah cara memahami alam, menghargai sumber rezeki dan mungkin juga tanda penghormatan kepada kuasa yang mereka anggap sebagai suci atau keramat.

Ahli arkeologi percaya karya seperti ini tidak dicipta secara bersendirian. Ia memerlukan tenaga ramai orang untuk mengangkut bahan, menyiapkan peralatan dan menyalakan cahaya di dalam gua yang gelap. Pembuat arca mungkin seorang tokoh yang dihormati kerana kemahirannya mencipta simbol yang memiliki makna mendalam kepada masyarakatnya.

Walaupun tujuan sebenar penciptaan arca ini masih menjadi perdebatan, satu hal yang pasti ialah manusia prasejarah mempunyai kepekaan seni yang luar biasa. Mereka memahami keindahan dan keseimbangan dengan cara yang tidak jauh berbeza daripada manusia hari ini. Seni ini membuktikan bahawa sejak ribuan tahun dahulu manusia telah memiliki naluri untuk mencipta dan menghargai keindahan.

Gua Le Tuc d’Audoubert kini ditutup kepada umum bagi mengelakkan kerosakan akibat perubahan suhu dan kelembapan. Hanya penyelidik yang dibenarkan masuk dengan kawalan ketat, manakala semua data seperti suhu, karbon dioksida dan kelembapan dipantau secara berterusan untuk mengekalkan kestabilan gua tersebut.

Keluarga Bégouën yang menemui arca itu masih memegang amanah untuk menjaganya. Mereka menubuhkan Yayasan Bégouën yang bekerjasama rapat dengan institusi arkeologi Perancis bagi memastikan setiap kajian dilakukan dengan penuh teliti. Usaha mereka menjadi contoh terbaik bagaimana warisan prasejarah boleh dipelihara tanpa merosakkan keasliannya.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami untuk mempopularkan ilmu dan kebenaran kepada masyarakat umum.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham bahawa tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Comments are closed.