Sebelum Terusan Segenting Kra dicadangkan untuk dibina oleh orientalis barat, sebenarnya kita dah pernah ada jalan air bak terusan di Tanah Melayu!
Tak percaya? Kita tak perlu lalu sehingga Singapura untuk berhubung antara timur-barat!
Laluan yang dipanggil Jalan Penarikan atau Londar Siam suatu ketika dahulu sibuk dengan pelbagai aktiviti manusia.
Menurut ramai sejarawan, tarikh sebenar pembinaan laluan ini masih lagi tidak diketahui.
Tetapi ia dikatakan ada disebut dalam peta-peta yang dihasilkan oleh cendekiawan Yunani terkenal, Ptolemy dalam manuskripnya bertajuk Geography.
Bagaimanapun, salinan awal peta beliau yang masih wujud bertarikh akhir abad ke-13.
Tetapi pada salinan tersebut, jelas terbukti wujud laluan air merentasi Aurea Chersonesus (terjemahan: Semenanjung Emas), nama lain untuk Semenanjung Tanah Melayu.
Selepas kejatuhan Melaka di tangan Portugal pada tahun 1511, kerja-kerja membuat carta dan peta terus dipergiatkan oleh pelayar-pelayar Eropah.
Menariknya, jika diamati satu peta abad ke-16, Jalan Penarikan turut disertakan dalam peta mereka.
Ini menunjukkan laluan tersebut amat signifikan kepada para pedagang dan menjawab rasa ingin tahu mereka mengapa Tanah Melayu digelar Semenanjung Emas untuk sekian lama.
Ini turut menjelaskan mengapa Profesor Paul Wheatley menggelar Jalan Penarikan sebagai Laluan Rentas-Semenanjung dalam bukunya yang berjudul The Golden Khersonese : Studies in the Historical Geography of the Malay Peninsula before A.D. 1500.
Jadi, siapa pembina Jalan Penarikan ini? Ada yang berpandangan jalan ini diusahakan oleh pelayar-pelayar Melayu dari Acheh atau Pasai.
Ini bagi memudahkan proses pengangkutan barang dagangan dari pantai barat ke pantai timur Tanah Melayu.
Begitupun, ada yang kurang bersetuju dengan pandangan ini.
Sebaliknya, ada yang berpandangan jalan ini dibina oleh orang asli suku Semelai atau Proto-Melayu.
Kelompok orang asli ini sudah lama menghuni kawasan hutan sepanjang sungai di Pahang dan Negeri Sembilan – sebelum kewujudan Kesultanan Melayu Melaka (KMM).
Ia juga berkemungkinan dibina oleh Orang Laut. Kelompok ini yang diketahui setia dengan Raja-Raja Melayu telah wujud sejak era Empayar Srivijaya.
Mereka dikatakan ‘memandu’ kapal-kapal dagang dari pelabuhan ke Jalan Penarikan sebelum kapal meneruskan perjalanan ke pantai timur.
Selain berfungsi sebagai laluan dagang, ia turut berfungsi sebagai laluan logistik dan strategik untuk aktiviti ketenteraan laut Raja-Raja Melayu ketika itu.
Laluan ni bermula dari Sungai Muar. Dari Sungai Muar, pengguna Jalan Penarikan akan menemui satu lagi sungai iaitu Sungai Jempol.
Dari situ, laluan berkenaan akan merentasi sebuah pangkalan yang terletak di Kampung Bukit Laka.
Di sinilah, perahu atau kapal dagang akan ditarik melepasi laluan darat berpaya sehinggalah tiba di satu lagi pangkalan di Sungai Serting.
Dari sungai ini, mereka akan melalui dua lagi sungai iaitu Sungai Bera dan Sungai Pahang sebelum tiba di Pekan, Pahang.
Selepas itu, para pedagang akan meneruskan perjalanan ke destinasi mereka seterusnya dengan merentasi Laut China Selatan.
Bagi para pedagang, penggunaan Jalan Penarikan dilihat satu tindakan yang bijak.
Ini kerana ia memberi mereka akses mudah dan cepat untuk bergerak ke pantai Laut China Selatan.
Tetapi paling penting, ia menjamin keselamatan mereka daripada ancaman lanun yang berleluasa di Selat Melaka, Selat Johor atau Selat Singapura.
Jalan Penarikan telah menjadi saksi konflik ketenteraan Melaka-Siam sepanjang era Kesultanan Melayu Melaka.
Sejarah Melayu mencatatkan semasa era Sultan Muzaffar Shah, Melaka cuba dilanggar Siam sebanyak dua kali menggunakan Jalan Penarikan.
Bagaimanapun, kedua-dua serangan digagalkan oleh Tun Perak.
Menariknya, Jalan Penarikan turut digunakan oleh angkatan perang Melaka untuk menakluk Pahang.
Titah penaklukan dikeluarkan oleh Sultan Mansur berikutan Pahang ketika itu ditadbir oleh Maharaja Dewa Sura, sepupu kepada Raja Siam.
Taktik sama turut digunakan untuk usaha penaklukan Kelantan semasa era Sultan Mahmud Shah.
Dan tak seperti apa yang digambarkan dalam filem Hang Tuah, dipercayai laluan ni mungkin digunakan Laksamana Hang Tuah semasa melarikan Tun Teja ke Melaka.
Laluan ni turut digunakan oleh besan Sultan Mahmud untuk menghantar hadiah istana bergerak kepada baginda.
Selepas kejatuhan Melaka pada 1511, Jalan Penarikan digunakan oleh rombongan Sultan Melaka untuk berundur ke Pahang.
Laluan ni kemudiannya digunakan oleh pejuang-pejuang Johor dan Pahang dalam kempen membebaskan Melaka dari tangan Portugal dari sebelah darat.
Apabila Melaka jatuh ke tangan Belanda pada 1641, Jalan Penarikan semakin kerap digunakan oleh para pedagang ketika itu.
Faktor cuaca tak menentu dan ancaman lanun mendorong para pedagang dan pelayar memilih Jalan Penarikan yang menjamin laluan mudah dan selamat kepada penggunanya.
Namun begitu, aktiviti pembangunan di kawasan pinggir laut dan muara sungai mengakibatkan air sungai menjadi cetek.
Akibatnya, kapal-kapal besar yang selalunya disaksikan penduduk setiap kali menggunakan Jalan Penarikan dah tak boleh mudik ke kawasan hulu sungai.
Menjelang abad ke-18 dan abad ke-19, laluan ini semakin dilupakan berikutan kewujudan jalan raya dan kenderaan berenjin.
Laluan ni kembali menggamit perhatian selepas kemunculan semula pejuang Pahang, Mat Kilau pada Disember 1969.
Mengikut keterangan beliau, Jalan Penarikan digunakan sebagai cara untuk pulang semula ke kampung halaman di Pahang selepas menjadi buruan British selepas bangkit menentang mereka pada akhir abad ke-19.
Disebabkan laluan tersebut tak diketahui oleh British ketika itu, ini membantu Mat Kilau pulang tanpa dikesan mereka.
Oleh: Azizul Farhan
___
Benda-benda yang korang jumpa di platform-platform media sosial ni betul ke semuanya berkaitan sejarah Melayu atau ia direka semata-mata?
Inilah masanya untuk korang dapatkan JANGAN SELEWENGKAN SEJARAH MELAYU I dan II untuk betulkan semula pandangan korang!
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
Penggemar sejarah dan budaya. Kini, mahasiswa Ijazah Sarjana Muda Pengajian Asia Tenggara Universiti Malaya dan graduan Diploma Sejarah dan Tamadun Islam UniSZA. Bercita-cita melanjutkan pelajaran dalam bidang Arkeologi kerana terpengaruh dengan filem Indiana Jones walaupun tahu arkeologi sebenar tak seperti itu.