Penulisan kali ini memfokuskan kepada salah satu jenis pengangkutan darat yang pernah digunakan oleh orang Melayu suatu ketika dahulu iaitu kereta lembu. Kereta lembu ini bukanlah suatu nama yang baru atau asing bagi kita, sampai ke hari ini pun kereta lembu masih wujud dan digunakan. Mari kita menelusuri bagaimana fungsi kereta lembu dalam Tamadun Melayu dahulu dan apakah teknologi-teknologi yang digunakan bersama dengan kereta lembu.

Permukaan jalan tradisional sebelum abad ke 20 biasanya berlumpur sehingga menyekat pergerakan kenderaan pengangkutan pada masa itu seperti kereta lembu dan juga haiwan-haiwan pengangkutan lain seperti kuda dan gajah.

Selain itu juga terdapat jalan darat yang menghubungkan antara kawasan–kawasan kampung dipantai negeri Pahang. Namun jalan darat di kawasan pantai ini biasanya mempunyai jarak yang terhad serta mempunyai halangan semula jadi seperti paya bakau dan juga pantai berlumpur yang menjadi lanskap semula jadi kawasan pantai. Namun demikian, jalan ini tetap digunakan oleh penduduk kampung nelayan bagi menghubungi kawasan berhampiran sepanjang pantai. Jalan ini telah menjadi alternatif pada musim tengkujuh ketika laluan laut terlalu bahaya untuk digunakan.[1]

Kereta lembu merupakan warisan pengangkutan tradisional yang menjadi lambang kemegahan Negeri Melaka. Diperkenalkan sewaktu zaman Kesultanan Melayu Melaka pada abad ke-15 oleh saudagar-saudagar India. Bentuk kereta lembu Melaka menyerupai “Wagon” di Amerika pada zaman dahulu yang ditarik oleh kuda. Kereta lembu pada dasarnya terbahagi kepada empat bahagian iaitu badan, roda, gandar dan kajang.

Kini, penggunaan kereta lembu tidak digalakkan di kawasan bandar kerana ia boleh menyebabkan kesesakan lalu-lintas. Walau bagaimanapun ia tetap digunakan di kawasan-kawasan luar bandar untuk mengangkut padi, kayu api, rumput, perabot dan sebagainya. Sekali-sekala apabila Pesta Kebudayaan diadakan, kita berpeluang menyaksikan kereta-kereta lembu yang dihiasi indah lengkap dengan gong dan tambur melintasi Bandar Melaka menuju ke tempat pesta.[2]

Kereta lembu merupakan kenderaan yang paling popular di zaman Kesultanan Melayu Melaka. Pada ketika itu, ia berfungsi untuk mengangkat muatan barang-barang dan manusia. Ia dikatakan telah ada di awal Kesultanan Melayu Melaka iaitu di sekitar awal abad ke 15. Terdapat juga beberapa sumber menyatakan bahawa ia diperkenalkan oleh orang India disebabkan reka bentuk dan fungsinya yang sama dengan kereta lembu yang terdapat di India yang wujud sehingga kini.

Daripada hasil bacaan penulis, terdapat beberapa faktor wujudnya kereta lembu sebagai pengangkutan darat pada zaman itu. Selain disebabkan lembu merupakan haiwan yang mudah didapatkan pada ketika itu, terdapat faktor-faktor lain yang membawa kepada kewujudan kereta lembu.

Faktor yang pertama kewujudan kereta lembu adalah disebabkan geografinya. Melaka (Melaka sekarang) bukanlah kawasan yang popular dengan tanah tinggi. Kedudukan tanah rata memudahkan lembu untuk melalui jalan tanpa perlu untuk menggunakan tenaga yang banyak seperti mendaki bukit-bukit kecil atau gunung-ganang.

Seterusnya sungai yang sempit yang memberi kelebihan kepada pengangkutan darat berbanding laut. Pergerakan ke satu tempat ke tempat lain adalah lebih mudah dengan adanya sungai yang kecil. Hal ini demikian kerana mereka tidak memerlukan pengangkutan tambahan seperti feri untuk menyeberang ke destinasi.

Faktor lain yang penulis dapat daripada hasil bacaan adalah ramainya tukang yang membina kereta lembu di Melaka. Maka secara logikanya semakin ramai tukang maka lebih banyaklah binaan yang dihasilkan. Tidak ketinggalan faktor ekonomi. Kepesatan ekonomi di Melaka memberi keistimewaan padanya untuk memiliki banyak akses berbanding dengan lokasi lain yang juga di bawah taklukan Kesultanan Melayu Melaka.

Kereta lembu terdiri daripada 4 komponen utama iaitu :

  1. Kajang
  2. Badan
  3. Balak
  4. Roda

Kajang

Kajang merupakan bahagian bumbung untuk melindungi muatan atau orang yang menaiki kereta kuda. Ia direka khas sesuai dengan kereta lembu. Rekaan asalnya dibuat dengan 2 bingkai tiga segi dan disesuaikan dengan badan kereta tersebut. 2 bingkai tersebut diperbuat daripada 3 batang kayu mengkulang yang dipaku dan diikat di 3 penjuru secara memanjang. Rangka ia terlihat seperti bumbung rumah minangkabau dan rumah Melaka.[3]

Badan

Reka bentuk badan agak ringkas di mana hanya menggunakan kepingan-kepingan papan yang berukuran 2 inci tebal. Lalu tiga papan dilekatkan menjadi satu supaya menghasilkan papan yang lebih tebal (6 inci) dan lebih kukuh untuk menampung muatan dan orang.

Kesemua papan tersebut disatukan lagi menjadi bentuk peti. Kebiasaannya saiz ruangan adalah 8 inci lebar 32 inci panjang 32 inci tinggi. Di bahagian bawah badan terdapat sebatang kayu bulat panjang 15 inci yang dinamakan bom.

Di hujung bom terdapat lagi satu batang kayu melintang yang dinamakan pasang sebagai fungsi untuk meletakkan leher lembu. Jika kereta lembu tersebut sedang tidak digunakan, akan diletakkan satu tongkat untuk menahan pasang supaya tidak jatuh dan mudah rosak.[4]

Balak

Balak pada hari ini lebih mudah dikenali sebagai rim. Ia dibuat daripada kayu yang baik dan keras untuk dapat menahan roda. Ia dipasak pada roda untuk menahan roda supaya menjadi lebih kukuh.[5]

Roda

Seperti yang telah kita ketahui secara umumnya, teknologi roda telah wujud dari tamadun Mesopotamia lagi. Teknologi ini ditambahbaik mengikut kemajuan yang ada di zaman Kesultanan Melayu Melaka.

Roda yang terdapat pada kereta lembu merupakan batang besi bulat yang dipasak ke dalam balak dan dijadikan punca untuk memudahkan lembu untuk menarik kereta. Fungsinya adalah sama seperti tayar yang terdapat pada kereta-kereta yang biasa di zaman kini.[6]

Nayli Naqiah Nurin Binti Mohamad Terang
Mahasiswa Jabatan Sejarah dan Tamadun Islam UM

NOTA KAKI:

[1] Maarof, M. Z. B. M., Hussin, N. B., & Seman, A. A. B. Sejarah Perkembangan Jalan Darat di Pahang Awal Abad Ke 20. PROCEEDINGS ICOSH-UKM 2017, 8, (10).

[2] Muzium Negara. (n.d.). Muzium Negara. Retrieved January 28, 2022, from http://www.muziumnegara.gov.my/gallery/items/Kereta_Lembu_Melaka_10

[3] Khoo, K. K. (1982). Melaka, Dahulu dan Sekarang. Persatuan Muzium Malaysia.

[4] Ibid.

[5] Ibid.

[6] Ibid.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Moving forward as one.

Leave A Reply