Gwangju. Bagi masyarakat Korea Selatan, nama Gwangju ini bukanlah sekadar nama sebuah bandar dan daerah yang terdapat di bahagian barat daya Semenanjung Korea, tetapi nama ini adalah suatu simbol kepada sebuah kebangkitan berdarah hampir 40 tahun yang lalu. Malah, Gwangju juga adalah simbol kepada permulaan sebuah kebangkitan semangat demokratik di tanah Korea Selatan.
18 Mei 1980. Tarikh yang pastinya tersemat di ingatan hampir semua rakyat Korea Selatan. Tarikh di mana bermulanya sebuah kebangkitan besar-besaran yang berlangsung selama 10 hari di daerah Gwangju.
Kebangkitan Gwangju atau dikenali juga sebagai Pergerakan Demokratik Gwangju 18 Mei adalah suatu peristiwa kebangkitan yang bermula dengan protes dalam kalangan para pelajar universiti tempatan di Gwangju bagi menentang pemerintahan ketenteraan di Korea Selatan yang akhirnya disertai oleh hampir seluruh penduduk Gwangju.
Artikel ini akan membawa kita semua kembali ke 39 tahun yang lalu bagi mengenang semula peristiwa berdarah ini dan menyorot kembali kronologi dan punca yang membawa kepada tercetusnya kebangkitan ini.
Punca berlakunya Kebangkitan Gwangju
Selepas berakhirnya peristiwa Revolusi 19 April 1960, Yun Bo-Seon telah dilantik menjadi Presiden baru setelah pilihanraya parlimen pada Julai 1960. Namun, dalam masa lapan bulan pemerintahan di bawah presiden baru ini, hampir 2000 demonstrasi, tunjuk perasaan dan protes telah dilakukan oleh rakyat akibat perasaan ketidakpuasan hati terhadap saki baki pemimpin di bawah rejim Syngman Rhee.
Akhirnya, pada 16 Mei 1961, suatu rampasan kuasa (kudeta) yang diketuai oleh Jeneral Park Chung-Hee telah mengambil alih pemerintahan di Korea Selatan. Langkah kudeta ini diambil sendiri oleh Jeneral Park akibat rasa tidak puas hati terhadap cara kerajaan menguruskan saki baki pemimpin dan orang-orang yang menyokong rejim Syngman Rhee.
Jeneral Park akhirnya telah memenangi pilihanraya pada tahun 1963 dan menjadi Presiden Korea Selatan yang seterusnya. Pelbagai tindakan telah dilakukan oleh Presiden Park bagi memulihkan kembali keadaan ekonomi Korea Selatan, termasuklah menggunakan dana asing daripada kerajaan Jepun dan Amerika Syarikat bagi memberi pinjaman perniagaan kepada rakyat.
Perjanjian Korea-Jepun telah dimeterai pada tahun 1965, dan ini telah membawa masuk banyak dana daripada Jepun dalam bentuk pinjaman serta pampasan terhadap kerosakan yang berlaku akibat daripada era penjajahan, meskipun tanpa permohonan maaf secara rasmi daripada pihak Jepun. Keadaan ini sebenarnya telah menimbulkan lebih banyak rasa tidak puas hati dalam kalangan rakyat Korea Selatan akibat tindakan pihak kerajaan tersebut.
Pada tahun 1978, dalam keadaan politik yang tidak stabil ditambah dengan rasa tidak puas hati dalam kalangan rakyat, Park Chung-Hee sekali lagi dicalonkan di dalam pilihanraya, sekaligus mencetuskan lebih banyak demonstrasi dan protes oleh rakyat. Pemimpin pembangkang, Kim Young-Sam telah dilucutkan jawatan, dan segala bentuk protes daripada aktivis anti-kerajaan telah dihalang dengan kaedah keganasan.
Pada tahun 1979, satu demonstrasi anti-kerajaan secara besar-besaran telah diadakan di seluruh Korea Selatan. Dalam kekecohan demonstrasi dan pergolakan politik yang tak berkesudahan, Park Chung-Hee akhirnya dibunuh oleh Presiden Korean Central Intelligence Agency (KCIA) iaitu Kim Jae-Gyu, pada Oktober 1979, sekaligus menamatkan rejim pemerintahan tentera selama 18 tahun.
Kelompongan kuasa yang ditinggalkan akibat kematian Park ini telah menyebabkan ketidakstabilan politik dan sosial yang serius. Pergerakan demokratik rakyat yang telah dihalang sewaktu pemerintahan Park Chung-Hee telah dipulihkan semula.
Presiden Choi Kyu-Hah yang dilantik sebagai presiden selepas itu tidak memiliki kuasa dominan terhadap kerajaan, sekaligus menyebabkan Jeneral Chun Doo-Hwan melancarkan kudeta menggunakan kuasa tentera pada 12 Disember 1979 dan pentadbiran tentera dimulakan sekali lagi.
Pihak tentera mengugut untuk menggunakan keganasan terhadap rakyat sekiranya mereka tidak menghentikan aktiviti demonstrasi dan protes. Di seluruh negara, kecuali di daerah Gwangju, rakyat hanya mampu berdiam diri dan kekal di kawasan rumah masing-masing.
Kronologi Kebangkitan Gwangju
Dengan bermulanya semester baru di universiti pada Mac 1980, para pelajar, pensyarah dan professor yang dibuang sewaktu aktiviti anti kerajaan era Park Chung-Hee telah mula kembali ke universiti masing-masing. Kesatuan pelajar mula dibentuk dan aktiviti-aktiviti demokratik mula dirancang oleh para pelajar ini.
Kesatuan-kesatuan pelajar ini mula mengetuai pelbagai demonstrasi bagi menuntut diadakan reformasi, termasuklah tuntutan untuk mengakhiri pemerintahan ketenteraan, demokrasi, hak-hak manusia, tuntutan gaji minimum serta hak kebebasan media.
Kemuncak kepada pelbagai demonstrasi ini ialah pada 15 Mei 1980, di mana suatu demonstrasi bagi menentang pemerintahan ketenteraan telah dilakukan di Stesen Seoul, yang disertai oleh hampir 100,000 orang pelajar dan penduduk setempat.
Sebagai respons, Chun Doo-Hwan telah mengambil beberapa tindakan keras, dan pada 17 Mei 1980, beliau telah mendesak pihak kabinet untuk meluaskan pemerintahan ketenteraan (kecuali di Pulau Jeju) ke seluruh negara.
Perluasan undang-undang dan pemerintahan ketenteraan ini telah memaksa kepada penutupan universiti-universiti, pengharaman terhadap sebarang aktiviti berpolitik serta sekatan terhadap media. Ketua bagi pihak pembangkang, iaitu Kim Dae Jung telah ditangkap kerana disyaki merancang demonstrasi dan kabinet negara dibubarkan. Angkatan tentera telah diarahkan untuk berkawal dan berjaga-jaga di semua daerah dalam negara.
Pihak pentadbiran tentera lebih memfokuskan kepada kawasan Selatan Jeolla (South Jeolla Province) terutamanya di kawasan Gwangju atas beberapa faktor, antaranya keadaan politik dan geografinya yang kompleks. Sewaktu era pemerintahan Park Chung-Hee, beliau telah memberikan perhatian yang khusus terhadap kawasan kelahirannya, iaitu di kawasan Gyeongsang (Gyeongsang Province) yang terletak di bahagian tenggara Korea, dan sekaligus meminggirkan daerah Jeolla di bahagian barat daya Korea. Peminggiran ini telah menjadikan daerah Jeolla ini sebagai suatu kawasan atau markas bagi pembentukan kumpulan penentang Park Chung-Hee dan membentuk jurang diskriminasi yang lebih besar.
Kemuncaknya, pada pagi 18 Mei 1980, para pelajar telah berkumpul di hadapan pintu pagar Universiti Kebangsaan Chonnam bagi menghalang penutupan universiti ini oleh pihak tentera. Kira-kira jam 9.30 pagi, seramai 200 orang pelajar yang berada di situ telah digempur oleh hampir 30 orang tentera. Sekitar jam 10 pagi, pihak tentera dan para pelajar saling bertempur, dengan tentera yang bersenjata dan para pelajar yang melempar batu.
Konflik menjadi semakin serius menjelang waktu tengah hari dengan hampir 2000 orang telah menyertai demonstrasi, namun akhirnya berjaya dikawal sepenuhnya oleh pihak tentera menjelang jam 4 petang. Saksi serta pelbagai gambar telah mendedahkan tentang bagaimana pihak tentera bertindak kejam dengan memukul serta membelasah para penduduk dan pelajar yang mengadakan demonstrasi ini. Pada hari pertama demonstrasi (18 Mei) telah menyaksikan kematian seorang lelaki pekak dan bisu berusia 29 tahun, iaitu Kim Gyeong Cheol yang dibelasah sehingga mati oleh pihak tentera.
Berita kematian ini telah menyemarakkan lagi semangat para penduduk di Gwangju yang bangkit menentang pemerintahan tentera, dan angka ini telah mencecah sehingga 100,000 orang pada 20 Mei 1980. Jumlah tentera yang semakin bertambah, telah menyebabkan mereka berani menembak para penduduk dan membunuh sejumlah besar penduduk setempat berhampiran kawasan Stesen Gwangju pada 20 Mei 1980.
Pada tarikh yang sama juga, para penduduk yang berang telah bertindak membakar stesen televisyen MBC yang berpusat di Gwangju kerana melaporkan berita tidak benar mengenai apa yang berlaku di Gwangju. Malamnya, beratus-ratus teksi telah mengetuai perarakan bas, trak dan kereta bagi bertemu para pemprotes dan menunjukkan sokongan mereka terhadap demonstrasi tersebut. Mereka menggelarkan diri mereka sebagai ‘drivers of democracy’ dan bersedia untuk membantu para pemprotes bagi melindungi mereka.
Natijahnya, ramai pemandu teksi, bas dan kereta yang dipukul dan ditembak oleh pihak tentera sewaktu mereka cuba untuk membantu penduduk yang tercedera dengan membawa mereka ke hospital dan berlindung. Keganasan semakin memuncak pada 21 Mei 1980 apabila pihak tentera menembak para penduduk yang berhimpun di hadapan Pejabat Daerah Chonnam. Keadaan ini mencetuskan lagi kemarahan penduduk dan mereka bertempur dengan pihak tentera dengan menggunakan senjata dan mengakibatkan pertumpahan darah antara kedua-dua belah pihak.
Menjelang 24 Mei 1980, pihak tentera telah menghalang dan menutup semua laluan keluar masuk ke daerah tersebut. Ini termasuklah menghalang segala jenis komunikasi antara Gwangju dengan pihak luar. Pada 26 Mei 1980, pihak tentera tambahan sekali lagi ingin memasuki kawasan Gwangju.
Namun, para ahli daripada Citizens’ Settlement Committee berjaya menghalang mereka dengan berbaring di atas jalan raya. Para penduduk yang mendengar khabar ini telah berhimpun di hadapan Pejabat Daerah, bagi menunjukkan protes buat kesekian kalinya. Pada 27 Mei 1980, iaitu pada jam 4 pagi, segerombolan angkatan tentera daripada lima divisyen telah bergerak ke arah bandar Gwangju dan akhirnya berjaya menghalang mereka secara keseluruhannya dalam masa lebih 90 minit.
Impak Kebangkitan Gwangju
Angka kematian rasmi yang direkodkan dalam Kebangkitan Gwangju ini adalah seramai 170 orang yang telah terbunuh, namun secara tidak rasminya, jumlah kematian yang berlaku akibat peristiwa berdarah ini adalah mencecah 2000 orang.
Malah beribu-ribu lagi telah dilaporkan mengalami kecederaan dan hilang sewaktu peristiwa ini. Peristiwa Kebangkitan Gwangju yang berlangsung selama 10 hari ini merupakan suatu simbol teriakan dan jeritan anak-anak muda Korea Selatan pada waktu itu yang dahagakan sistem demokrasi dan tidak ingin lagi dicengkam oleh kuasa kuku besi melalui pemerintahan ketenteraan.
Berbanding Revolusi April 1960 yang bermula tanpa sebarang perancangan rapi, Kebangkitan Gwangju ini diterajui oleh kesatuan pelajar universiti serta anak-anak muda yang telah lama menyimpan rasa dendam dan tidak puas hati terhadap rejim pemerintahan tentera. Apa yang membangkitkan lagi memarahan anak-anak muda ini ialah sikap dan pendirian pihak kerajaan tentera pimpinan Chun Doo-Hwan yang menolak sekerasnya tuntutan demokrasi yang diinginkan oleh rakyat.
Impak daripada Kebangkitan Gwangju yang berpaksikan kepada tuntutan terhadap demokrasi dan suara anak-anak muda 80-an di Korea Selatan telah memberikan kesan yang bukan sedikit terhadap perubahan politik dan sosioekonomi di negara tersebut. Anak-anak muda ini rela membayar harga sebuah perubahan yang mereka ingini dengan nyawa mereka sendiri. Meskipun terkorban, namun, suara dan tindakan yang mereka lakukan sepanjang berlangsungnya Kebangkitan Gwangju ini sudah cukup untuk membawa angin perubahan terhadap corak pemerintahan Korea Selatan pada tahun-tahun selepasnya.
Rujukan
Choe, H., & Jiyoung, K. (2012). South Korea’s democratization movements, 1980 – 1987: political structure, political opportunity, and framing. Inter-Asia Cultural Studies, 13(1), 55–68.
Jang, S. Y. (2017). The Gwangju Uprising: A Battle over South Korea’s History. Retrieved May 14, 2019, from https://www.wilsoncenter.org/blog-post/the-gwangju-uprising-battle-over-south-koreas-history
Jean, A. (2003). The Socio-Economic Background of the Gwangju Uprising. New Political Science, 25(2), 159–176.
Kingston, J. (2014). Dying for democracy: 1980 Gwangju uprising transformed South Korea. Retrieved May 14, 2019, from https://www.japantimes.co.jp/news/2014/05/17/asia-pacific/politics-diplomacy-asia-pacific/dying- democracy-1980-gwangju-uprising-transformed-south-korea/#.XN1fh9hS_IU
Yea, S. (2002). Rewriting Rebellion and Mapping Memory in South Korea: The (Re) presentation of the 1980 Kwangju Uprising through Mangwol-dong Cemetery. Urban Studies, 39(9), 1551–1572.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih