Rabu, 25 November 202625 Nov 2026
Falsafah Alamiah

Mengapa Kita Lemah Matematik?

Maryam
Mirzakhani merupakan ahli matematik wanita pertama yang memenangi anugerah Fields Medal iaitu pingat penganugerahan
tertinggi dalam bidang matematik setaraf dengan Nobel Prize.

Maryam Mirzakhani

Ketika
bersekolah tahun pertama di Farzanegan, Mirzakhani tidak dapat bermatematik
dengan baik sehinggakan gurunya beritahu Mirzakhani tidak berbakat dalam subjek
tersebut.

Hal
ini telah memusnahkan keyakinannya sehinggakan Mirzakhani hilang minat terhadap
subjek matematik. Tetapi menariknya, pada tahun berikutnya, Mirzakhani diajar
oleh guru matematik yang lain – guru yang sering mendorong dan memberikan
semangat kepadanya sehinggakan Mirzakhani dapat menunjukkan bakatnya dalam
matematik.

Apa
yang dihadapi oleh Mirzakhani pada tahun pertamanya dikenali sebagai keresahan
bermatematik (mathematical anxiety).
Ketakutan terhadap matematik mula diusulkan oleh Mary Fides Cough dengan
istilah ‘mathemaphobia’.

Dalam
makalahnya, ‘Mathemaphobia: Causes and
Treatments’
, Cough telah menyatakan kerisauan anak-anak muridnya yang
mempunyai kegagalan dalam matematik bertahun-tahun. Cough menegaskan kegagalan
ini berpunca daripada ketakutan terhadap subjek tersebut.

Cough
pernah menceritakan tentang seorang anak muridnya bernama Sophomore Susie yang
pernah dimarahi oleh seorang guru matematik. Sejak itu, Susie tidak suka lagi
apa-apa bentuk matematik. Hal ini juga telah membuatkan keyakinan Susie
terhadap matematik menjunam.

Banyak
kajian telah ditulis tentang kegelisahan bermatematik ini. Moritz Lazarus
menyatakan kegelisahan bermatematik adalah ketakutan yang tidak rasional
terhadap matematik. Sheila Tobias pula menyatakan kegelisahan ini adalah
sejenis rasa panik, tidak terdaya, lumpuh dan mental berkecamuk yang muncul
dalam kalangan mereka yang cuba untuk menyelesaikan permasalahan matematik.

Menurut
kajian Ray Hembree pada tahun 1990, beliau mendapati keresahan matematik akan
membuatkan pencapaian seseorang dalam subjek matematik akan merudum. Semakin
meningkat kegelisahan terhadap matematik, maka semakin teruklah pencapaian
dalam subjek tersebut.

Hembree
juga mendapati, bukan saja kegelisahan matematik ini dapat menjejaskan prestasi
dalam subjek matematik, malah sikap penghidap kegelisahan ini terhadap
matematik turut berubah. Mereka semakin tidak suka dan membenci matematik
apabila tahap kegelisahan itu tinggi.

Kebencian
ini membuatkan tahap keyakinan terhadap matematik menjadi rendah. Kemudian,
Hembree juga mendapati bahawa mereka ini juga akan sebolehnya menjauhi bidang
matematik. Didapati mereka akan cuba ambil subjek-subjek yang kurang penggunaan
matematik. Kalau tiada matematik lebih bagus.

Paling menarik sekali, Hembree menyatakan bukan sebab kelemahan pelajar dalam subjek matematik yang menyebabkan timbulnya penyakit kegelisahan bermatematik itu. Tetapi kemunculan kegelisahan tersebut yang membuatkan prestasi pelajar dalam matematik merosot.

Sebab
itu keadaan masyarakat dan guru memainkan peranan penting. Kalau masyarakat
sering mencanang matematik sebagai subjek membunuh dan susah tahap dewa,
kegelisahan bermatematik itu akan muncul. Lantas, prestasi matematik tidak akan
bertambah baik.

Pada
tahun 1994, Mark H. Ashcraft dan Michael W. Faust dari Cleveland State University mendefinisikan keresahan bermatematik
sebagai perasaan tertekan, cemas dan malah ketakutan yang melibatkan manipulasi
nombor dan penyelesaian permasalahan matematik.

Mereka
melakukan kajian dengan membentuk beberapa kumpulan manusia yang diperkenalkan
dengan empat jenis tugasan. Dua tugasan yang diberikan melibatkan digit-digit
percampuran (addition) dan pendaraban
(multiplication). Dua tugasan lain
melibatkan operasi matematik yang lebih rumit dan kompleks.

Daripada
kajian ini, Ashcraft dan Faust menyimpulkan tiga perkara. Pertama, tahap
kegelisahan bermatematik setiap kumpulan adalah sama ketika melakukan tugasan
mudah seperti operasi menambah dan mendarab digit. Hal ini menunjukkan, kesan
kegelisahan bermatematik tidak muncul ataupun kesannya terlalu lemah apabila
melakukan tugasan matematik yang mudah.

Apabila
diberikan tugasan yang rumit dan mencabar, kesan kegelisahan bermatematik itu
jelas signifikan. Daripada penemuan ini, Ashcraft dan Faust mengusulkan kesan
kegelisahan-kerumitan (anxiety-complexity
effect
) iaitu kesan kemerosotan prestasi seseorang apabila aktiviti menjadi
semakin rumit dan kompleks. Kesan ini jelas kepada mereka yang mempunyai tahap
kegelisahan bermatematik yang tinggi.

Kedua,
mereka mendapati kumpulan yang mempunyai kegelisahan bermatematik yang tinggi
dapat menyelesaikan masalah lebih laju daripada kumpulan-kumpulan lain. Tetapi
mereka lebih banyak menunjukkan keralatan (errorness)
dan kesilapan.

Ashcraft
dan Faust mencadangkan kumpulan ini kelihatannnya mengorbankan ketepatan dan
ketelitian untuk mencapai kelajuan. Lalu, mereka mengusulkan istilah ‘speed-accuracy trade-off’.

Ketiga,
Ashcraft dan Faust mendapati kumpulan yang mempunyai kegelisahan bermatematik
yang tinggi tidak mengambil peluang untuk menolak atau tinggalkan soalan-soalan
yang salah sepertimana yang dilakukan oleh kumpulan yang mempunyai tahap
kegelisahan bermatematik yang rendah.

Daripada
tiga penemuan ini, Ashcraft dan Faust mengusulkan dua jenis pencegahan (avoidance) iaitu kesan pengcegahan
global (global avoidance effect)dan kesan pengcegahan setempat (local avoidance effect).

Kesan
pencegahan global adalah kesan yang membuatkan mereka yang mempunyai tahap
kegelisahan bermatematik yang tinggi akan mempunyai tahap latihan bermatematik
yang lemah, kurang pengetahuan dan mereka tidak mempunyai sebarang strategi
yang teliti dalam menyelesaikan masalah matematik. Inilah yang menyebabkan
mereka tetap menjawab soalan yang ralat atau salah kerana mereka tidak tahu
atau tidak teliti dengan soalan tersebut.

Kesan
pencegahan setempat pula adalah kesan yang membuatkan mereka yang mempunyai
tahap kegelisahan bermatematik yang tinggi akan rasa tidak selesa dengan
matematik. Inilah sebab mengapa mereka menjawab permasalahan matematik dengan
laju kerana mereka tidak selesa. 

Berbeza
dengan kesimpulan yang dibuat oleh Hembree, kes ini menunjukkan kegelisahan
bermatematik itu timbul kerana kerumitan dan kompleks-nya permasalahan
matematik yang timbul. Tetapi mereka ini juga dapat menjawab dengan baik untuk
permasalahan matematik yang mudah.

Menurut
kajian Sian L. Beilock dan Daniel Willingham pula mendapati, mereka yang
mempunyai kegelisahan bermatematik bukannya lemah dalam matematik, tetapi
mereka tidak dapat berprestasi dengan baik kerana gangguan kegelisahan
tersebut. Inilah apa yang berlaku kepada Maryam Mirzakhani.

Ashcraft
melakukan kajian bersama dengan Jeremy A. Krause mendapati, apabila aktiviti
penyelesaian masalah matematik dibuat, sebahagian besar ingatan kerja (working memory) digunakan.

Kapasiti
ingatan kerja mempunyai tahapnya. Apabila seseorang mempunyai kegelisahan
bermatematik, kegelisahan tersebut telah mengisi ruang ingatan kerja sekaligus
mengecilkan tahap kemahiran individu itu untuk menyelesaikan masalah.

Kadangkala,
kegelisahan atau keresahan dalam dewan peperiksaan pun dapat mengurangkan
kemahiran kita untuk menjawab peperiksaan. Sebab itulah nasihat minta bertenang
dan jangan baca apa-apa sebelum peperiksaan adalah nasihat yang berguna.
Ketenangan adalah penting dalam memastikan otak kita tidak dipenuhi dengan
sebarang kerisauan dan kegelisahan.

Kesimpulannya,
penulis pernah ditanya oleh seseorang bagaimana untuk buatkan budak-budak
pandai dalam subjek matematik. Perkara pertama sekali yang wajib kita buat
adalah memastikan budak-budak tidak takut dengan subjek matematik, malah jatuh
cinta akan subjek tersebut.

Bagaimana
caranya?

Dengan
memberikan mereka soalan dan latihan yang mudah. Biarkan mereka memahami konsep
asas terlebih dahulu. Biarkan mereka ‘berkawan’ dengan matematik dulu.
Kemudian, barulah bantu mereka kepada permasalahan yang lebih sukar.

Apabila
mereka sudah boleh ‘berkawan’ dan jatuh cinta pada matematik, mereka akan
mendambakan permasalahan yang lebih mencabar.

Daripada
kajian yang dibentangkan, dapat disimpulkan bahawa sukarnya seseorang untuk
bermatematik adalah berpunca daripada kegelisahan terhadap matematik yang
muncul kerana dimomokkan bahawa matematik itu susah. Kajian juga menunjukkan
kegelisahan itu juga boleh muncul kerana dibentangkan permasalahan matematik
yang sukar dan kompleks.

RUJUKAN:

  1. Hembree, R. (1990). The nature, effects, and relief of
    mathematics anxiety. Journal for research in mathematics education,
    33-46.
  2. Ashcraft, M. H., & Faust, M. W. (1994). Mathematics
    anxiety and mental arithmetic performance: An exploratory investigation. Cognition
    & Emotion
    , 8(2), 97-125.
  3. Suárez-Pellicioni, M., Núñez-Peña, M. I., & Colomé, À.
    (2016). Math anxiety: a review of its cognitive consequences,
    psychophysiological correlates, and brain bases. Cognitive, Affective,
    & Behavioral Neuroscience
    , 16(1), 3-22.
  4. Beilock, S. L., & Willingham, D. T. (2014). Math Anxiety:
    Can Teachers Help Students Reduce It? Ask the Cognitive Scientist. American
    educator
    , 38(2), 28.
  5. Ashcraft, M. H., & Krause, J. A. (2007). Working memory,
    math performance, and math anxiety. Psychonomic bulletin & review, 14(2),
    243-248.

Perhatian sebentar.

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami. Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM5.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM5 / RM10 / RM50

Kongsi

No comments yet