Apabila menyebut tentang pelarian, semestinya pelbagai isi minda bermain dalam fikiran. Parasit, perosak dan pelingkup merupakan antara halwa-halwa akal negatif yang tidak boleh dinafikan kebenarannya. Pembantu, penjulang dan pemangkin pula adalah label-label yang biasanya mencernakan pergerakan sebuah negara. Sifat-sifat sebegini hanya boleh dicungkil daripada individu terbabit sahaja. Salah satu contoh yang membuktikan pelarian membantu negara ialah kisah Osama Abdul Mohsen.

Beliau merupakan seorang mangsa Perang Saudara Syria yang bertempiaran lari dikejar polis Hungary. Lebih memilukan, beliau diselit jatuh oleh seorang jurukamera wanita di hadapan anak kecilnya. Tindakan ini menaikkan berang seluruh dunia tetapi juga suatu rezeki tersembunyi. Sebuah akademi sukan di Sepanyol melihat pengaiban sedemikian. Atas latar belakang jurulatih, mereka menerbangkan Osama sekeluarga ke Madrid lalu melantiknya sebagai jurulatih bolasepak (Boreham, 2016).

Betapa ruginya Syria apabila kehilangan kepakaran seorang jurulatih. Bayangkan berapa ramai lagi dalam kalangan cerdik akal telah melarikan diri dari Syria, kini menyumbang bakti di tanah orang. Skala ini sebenarnya kecil sahaja. Dalam usaha menjulang sumbangan pelarian, seharusnya Operasi Paperclip dijadikan tauladan kepada semua negara. Program rahsia ini dikendalikan Amerika Syarikat untuk menjarah habis Jerman yang tewas dalam Perang Dunia Kedua.

Lebih daripada 1,600 saintis, jurutera dan juruteknik Jerman dipercayai telah diangkut dan diterbangkan ke Amerika Syarikat. Antaranya ialah Wernher von Braun bersama dengan kumpulan roket V-2nya yang bekerja di Redstone Arsenal, Alabama. Jasa von Braun di Amerika Syarikat melalui projek Saturn V telah meletakkan Neil Armstrong dan Buzz Aldrin di Bulan lagi.

Manakala Adolf Busemann pula menciptakan teknologi yang memperbaiki prestasi pesawat kelajuan tinggi. Operasi Paperclip sebenarnya bertujuan untuk bersaing dengan Kesatuan Soviet yang telah mengangkut 2,200 pakar sains (6,000 jika termasuk kaum keluarga) dalam masa satu malam sahaja.

Meringankan Halangan Demi Sumbangan

Sebuah analisis 30 tahun mendapati 15 negara di Eropah Barat sebenarnya tidak pun terbeban secara kewangan dek kedatangan pelarian (Maxmen, 2018). Golongan ini keluar daripada negara bergolak untuk mendapatkan keselamatan dan peluang yang akan dimanfaatkan dalam tempoh lima tahun sahaja. Kajian ini juga mendapati stimulasi migrasi sebegini sebenarnya membantu ekonomi negara sehingga kadar pengangguran pun boleh turun. Perkara ini bertentangan dengan kepercayaan sedia ada bahawa golongan pelarian sedang menyedut sumber negara.

Namun kedatangan mereka daripada dahulu Yugoslavia dan kini Syria telah menaikkan permintaan pasaran, bekalan perkhidmatan, penambahan peluang pekerjaan dan bayaran cukai. Aktiviti ekonomi yang sihat lagi semulajadi ini lagi menenggelamkan kos dibelanjakan kerajaan untuk mengalu-alukan para pelarian.

Dasar kerajaan juga memainkan peranan. Kerajaan mesti memainkan peranan supaya pelarian yang sepatutnya mendapat tempat. Pelarian yang mempunyai pengalaman dan ilmu sangatlah bernilai bagi negara-negara membantu. Kemahiran ini seharusnya disalurkan dengan efisyen supaya digunakan secekapnya. Maka halangan kepada pekerjaan sepatutnya diringankan supaya membekalkan peluang untuk memenuhi cita-cita peribadi dan kekayaan sedikit supaya bebas daripada bantuan kerajaan pusat (Beste, 2015).

Tidak boleh dinafikan bahawa kedatangan mereka juga boleh mencetuskan kerisauan dalam kalangan majoriti. Hukum kemanusiaan telah lama menetapkan bahawa majoriti sentiasa takut akan minoriti. Namun golongan majoriti seharusnya menikmati rezeki tersedia, kerana peningkatan persaingan boleh juga menempatkan warga-warga tempatan di pekerjaan bergaji lebih baik (Bahar, 2018). Contohnya, sebuah syarikat mempunyai kekosongan penyelia dan pengendali, yang mana anak Melayu dan Rohingya sedang memohon. Melayu mempunyai kelebihan dari segi kemahiran berbahasa tempatan seperti bertutur dan menulis, satu perkara yang tidak dikuasai kebanyakan Rohingya.

Golongan pendatang pula terbukti mempunyai naluri perniagaan lebih banyak berbanding warga-warga tempatan. Di Amerika Syarikat, bangsa-bangsa pendatang hanya merangkumi 15% daripada populasi keseluruhan. Tetapi mereka mewakili 25% daripada peserta-peserta dunia perniagaan. Setiap tahun mereka menghasilkan 1.5 juta peluang pekerjaan dengan berani kerana telah berlari daripada situasi-situasi yang lebih menakutkan.

Kemelut Zakir Naik

Nama ini mustahil tidak pernah mengunjungi telinga orang. Zakir Naik merupakan seorang pendakwah bebas yang tidak terikat dengan mana-mana parti politik mahupun pertubuhan tertentu. Beliau telah mengabdikan diri di jalan dakwah sekaligus menyampaikan Islam kepada kini jutaan penonton di seantero dunia. Namun pendekatannya juga telah memangkinkan status “persona non grata” baginya di Bangladesh, Canada, United Kingdom dan terkini India.

Masalah timbul selepas Bangladesh mendapati krisis keselamatan sekitar 2016 dianggotai seseorang yang cenderung terhadapnya. PeaceTV yang diasaskan Zakir Naik terus disekat negara tersebut. Zakir Naik seperti biasa menafikan penglibatannya. Namun pada bulan November, India pula memfitnah Zakir Naik terlibat dalam aktiviti-aktiviti berniatkan jahat yang menguar-uarkan kebencian agama. Yayasan Zakir Naik terus diharamkan selama lima tahun oleh Narendra Modi yang dikatakan seorang penipu dan penjenayah.

India kemudian menuduh yayasan tersebut terlibat dalam jenayah pemutihan wang. Dan bermulalah episod baru dalam hidup Zakir Naik ibarat dalam buangan daripada negaranya sendiri. Buat seketika beliau hilang dan timbul sekejap di Arab Saudi sebelum akhirnya mendapat tempat bersertakan visa penduduk tetap di Malaysia.

Sementara peguam yayasan tersebut dengan jayanya mematahkan tuduhan-tuduhan tidak berasas India, kedatangan Zakir Naik seharusnya dilayan sebagai rezeki seperti Wernher von Braun, Adolf Busemann dan Osama Abdul Mohsen. Sekecil-kecil mana pun sumbangan seseorang – jika diletakkan pada tempatnya, tentu sekali impak pendatang tersebut akan mekar bagaikan bunga.

Tiada persoalan selanjutnya. Zakir Naik telah memenangi hati golongan majoriti di Malaysia. Secara tidak mengejut pun, aura beliau menjemput lebih daripada 70,000 orang yang tanpa bayaran membanjiri Stadium Sultan Muhammad IV di Kelantan. Jelajah sebegini menunjukkan kepentingan ilmu di sisi masyarakat. Wujudnya Zakir Naik tidak akan merosakkan pengaruh dan aktiviti ustaz-ustaz tempatan pun. Malah golongan agamawan boleh juga belajar lebih mendalam daripada beliau.

Jika bercakap tentang ilmu, Zakir Naik tiada tolok bandingan.16 juta pengikut di Facebook, 150,000 pengikut di Twitter dan 4,000 syarahan sepanjang hayatnya, beliau ternyata merupakan komputer berjalan. Mindanya sendiri tidak tercapai dek akal, kerana berupaya untuk memuat-turun dan memuat-naik ayat-ayat dipandang suci bukan sahaja umat Islam. Dan bisikan-bisikan jahat golongan tertentu yang kurang senang akan ilmunya seharusnya dibalas dengan pemberian kewarganegaraan penuh.

Dengan erti kata pendek, sudah tiba masanya supaya Zakir Naik dijadikan SEORANG RAKYAT MALAYSIA.

RUJUKAN:

Bahar, D. (2018, June 19). Why accepting refugees is a win-win-win formula. Retrieved from https://www.brookings.edu/blog/up-front/2018/06/19/refugees-are-a-win-win-win-formula-for-economic-development/

Beste, A. (2015, July 31). The Contributions of Refugees: Lifting Barriers to Inclusion. Retrieved from https://ourworld.unu.edu/en/the-contributions-of-refugees-lifting-barriers-to-inclusion

Boreham, G. (2016, May 06). Syrian refugee who became a Spanish football coach dreams of reuniting with his family. Retrieved from https://www.sbs.com.au/news/syrian-refugee-who-became-a-spanish-football-coach-dreams-of-reuniting-with-his-family

Desk, W. (2019, May 14). Zakir Naik: Google lists Modi as top criminal but not me as top terrorist. Retrieved from https://www.theweek.in/news/india/2019/05/14/zakir-naik-google-lists-modi-as-top-criminal-but-not-me-as-top-terrorist.amp.html

Kasim, R., Juwita, Z., & Awang, S. (2019, August 10). Lebih 70,000 ikuti ceramah Zakir Naik di Kelantan. Retrieved from https://www.sinarharian.com.my/article/42446/EDISI/Kelantan/Lebih-70000-ikuti-ceramah-Zakir-Naik-di-Kelantan

Khalid, S. (2017, May 21). Zakir Naik: Why India wants to arrest the preacher. Retrieved from https://www.aljazeera.com/indepth/features/2017/05/india-arrest-preacher-zakir-naik-170521055023564.html

Maxmen, A. (2018, June 20). Migrants and refugees are good for economies. Retrieved from https://www.nature.com/articles/d41586-018-05507-0


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Berbekalkan buku “Perang Salib Pertama: Kelahiran Templar”, Ahmad Faezal mempunyai suatu matlamat bagi Malaysia. Dalam kaca mata beliau, bangsa Melayu perlu bangkit membaham ilmu sepertimana mereka memakan nasi. Seorang pengikut setia bidang astronomi dan isu semasa, beliau mengimpikan bangsa Melayu dalam masa 100 tahun boleh melibatkan diri secara aktif dalam bidang-bidang sains terperinci. Beliau juga seorang penulis dan penterjemah upahan, yang sedia menerima klien.

Comments are closed.