Mesir Purba sinonim dengan empat perkara; firaun yang berbaris sampai 30 dinasti, piramid yang bukan sebiji, jemaah dewa-dewi yang ramainya macam jumlah menteri di sini, dan mumia sebagai ibrah buat generasi hingga kini.

Cuma bila dikata mumia, bukanlah bermaksud mumia manusia sahaja. Haiwan pun turut sama. Bahkan kalau diikutkan, jumlah mumia haiwan sebenarnya lebih banyak dari mumia manusia. Ini kalau diambil anggaran saintis – iaitu terdapat lebih 70 juta mumia haiwan dibuat dan disemadikan di lebih 30 buah tapak di seluruh Mesir dalam tempoh 1,200 tahun (800 SM – 400 M).

Bayangkan di Saqqara sahaja, saintis pernah menjumpai tapak yang menyimpan 8 juta mumia haiwan – yang rata-ratanya adalah mumia anjing. Punya banyak 8 juta ini, ia melebihi populasi anjing di Malaysia yang baru takat 6 juta ekor. Kiranya, satu tapak sahaja dah boleh pupuskan anjing di satu negara – menunjukkan dahsyat tak dahsyat industri mumifikasi haiwan pada masa itu.

Lebih dahsyat, ia berbibit mula dari satu faktor saja. Iaitu agama. Orang Mesir Purba dahulu amat akrab dengan haiwan. Ini lantaran gaya hidup mereka yang bercucuk tanam, menternak, dan menggauli Sungai Nil. Habitat begini memang mesra haiwan. Justeru, memudahkan mereka membuat pemerhatian sekali gus mengaitkan sifat haiwan dengan ciri ketuhanan.

Anubis

Contohnya seperti Anubis. Ia disinonimkan dengan anjing jakal. Ini kerana sifat haiwan itu yang mampu mengharungi gurun tandus sendirian tanpa tersesat amat sesuai dengan Anubis yang dipuja sebagai dewa kematian dan penuntun roh ke alam sebalik mata. Menerusi perkaitan sebegitu, anjing jakal pun lantas disucikan.

Bagi kes dewa Hap (Apis) pula, perkaitan tersebut membawa kepada pemujaan kerbau. Di mana, seekor kerbau akan dipilih untuk dimuliakan. Ia diberi makan, diurut seharian, dan diarak di hadapan khalayak sambil pendeta di sampingnya cuba ‘menafsir wahyu Tuhan’. Kemudian setelah kerbau ini mati, ia dimumiakan dan disemadi secara besar-besaran, sebelum diganti dengan kerbau lain yang turut dituhankan.

Budaya sebegini sudah bersebati sejak dinasti pertama lagi. Iaitu sekitar 2925-2775 SM. Namun menjelang 800 SM, ia mula disulami unsur kapitalis. Sampai timbul industri mumifikasi haiwan – yang bertujuan sama ada untuk disemadikan bersama pemilik, dipersembah sebagai makanan firaun di akhirat, atau ‘gula-gula’ kepada dewa untuk mengabulkan hajat.

Situasinya boleh dikatakan sama saja macam di Mekah pada era Jahiliyah. Di mana, pembesar Quraisy sebagai pengendali Kaabah mengaut keuntungan dengan menjual berhala-berhala kecil al-Latta, al-Uzza, dan al-Manat kepada para jemaah.

Mumia cencorot

Cuma bezanya, penjualan patung berhala ini melibatkan benda mati. Yakni, patung yang diukir. Berbeza dengan mumia haiwan di Mesir Purba yang bermain dengan benda hidup. Bayangkan, haiwan-haiwan seperti kucing, anjing, babun, sekendi, helang, katak, ular, dan buaya habis diburu untuk dimumiakan.

Kalau diburu seekor-dua, boleh tahan lagi. Ini kalau sampai berjuta, mahu tak pupus populasinya? Dan memang saintis pun mengesahkan yang sekendi diburu sampai pupus di Mesir Purba (mujur masih ada di Sub-Sahara). Helang dan babun pula mengalami penyusutan mendadak. Bagi haiwan lazim seperti kucing dan anjing, populasinya dapat bertahan berikutan adanya program penternakan massa – yang dibuat baik oleh pihak kuil mahupun orang kampung sendiri.

Namun, penternakan besar mana pun sukar menampung permintaan maha tinggi. Banyak dah satu hal. Deras pun satu hal. Bayang, kita di sini yang memerlukan 2.09 juta ekor ayam sehari  (1/15 dari jumlah populasi) sebagai protein utama pun tak tertampung, inikan lagi orang Mesir Purba yang ‘infaq’ mumia kucing dan anjing macam kita ‘infaq’ roti Gardenia ke masjid tiap Jumaat. Memang garu kepalalah para pendeta.

Sampaikan, mereka terpaksa buat perkara-perkara yang hari ini dianggap satu dosa besar. Iaitu, penderaan haiwan. Ini antara lain dibuktikan menerusi kajian di Animal Center, New York pada 2011. Masa itu, koleksi mumia haiwan di Muzium Brooklyn dihantar untuk menjalani imbasan CT.

Hasil mendapati, haiwan-haiwan yang diimbas (merangkumi kucing, sekendi, cencorot, dan ular) berusia sangat muda (kecil dan belum matang). Tak cukup muda, rata-rata turut memiliki kesan tercedera seperti retak tulang leher (tanda dipukul). Kajian serupa pada tahun 2020 di Swansea University, Wales juga menemui dapatan sama; anak kucing  dijerut sampai mati; tulang burung kestrel retak; dan ginjal ular mengalami dehidrasi (akibat kurang diberi minum).

Kepala mumia kucing yang sekadar berisi gumpalan kosong

Penderaan begini sudah amat mengejutkan. Ditambah pula dengan budaya penipuan. Betapa, bukan semua mumia haiwan berisi haiwan. Ada yang sekadar diisi dengan tulang atau organ. Ada pula yang memang diganti habis dengan lumpur, kayu, kulit telur, atau bulu.

Ini, sebagaimana yang dibentangkan dari hasil kajian Dr. Lidija McKnight dari University of Manchester pada 2015. Di mana, dari 800 mumia haiwan yang diimbas, hanya satu pertiga sahaja benar-benar mengandungi haiwan lengkap. Selebihnya, sekadar ‘karipap berinti angin.’

Apapun kata Dr. Lidija, penipuan begini tidak menghanginkan para pelanggan. Mereka sendiri tahu tentang kewujudan tiga jenis kandungan ini  – iaitu haiwan penuh (walau bersaiz kecil macam ayam KFC), anggota haiwan (bulu, kulit telur, atau tulang), dan benda yang sekadar ada bekas haiwan (seperti lumpur dan kayu).

Penjenisan begini sebetulnya menuding kepada tiga perkara. Pertama, kuasa beli yang pelbagai. Kedua, penyelewengan golongan pendeta. Dan ketiga, sikap beragama dalam kalangan Mesir Purba sendiri yang ‘asal ada’.

‘Asal ada’ ini bagaimana pun tidaklah mesti berkonotasi buruk. Ia bukan bermakna mereka berperangai ‘mengidam macam-macam tapi dengan Tuhan pun kedekut dan berkira’. Cuma ia lebih kepada, “Kalau hati dah berniat nak menderma (sebagai ikhtiar pengabul doa) tapi dalam tangan hanya ada lebihan harta sepuluh sen, jangan rasa malu. Derma saja. Pintu Tuhan bukan cuma boleh diketuk oleh orang kaya.”

RUJUKAN

Anyangwe, Eliza. (2015, 22 May). Could Egypt’s empty animal mummies reveal an ancient scam? CNN World.

Keats, Jonathon. (2017, 10 November). The Animal Mummy Business. Discover Magazine.

Moskowitz, Clara. (2020, 4 December). Unprecedented 3-D view inside Animal Mummies. Scientific American.

O’Brien, Jane. (2011, 17 November). Unwrapping the ancient Egyptian animal mummy industry. BBC.

Pruitt, Sarah. (2018, 30 August). Scientists Reveal Inside Story of Ancient Egyptian Animal Mummies. History.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Pencinta bahasa ibunda dan sejarah dunia. Amir Zayyanid merupakan seorang penulis dan penterjemah bebas yang menyimpan impian mahu menabur bakti kepada anak pertiwi menerusi pendokumentasian sebanyak mungkin bahan bacaan, sama ada fiksi mahupun bukan-fiksi.

Leave A Reply