Rom dan Parsi merupakan dua kuasa besar yang bertembung setelah sekian lama. Pertembungan dua kuasa ini telah mengukir banyak perubahan dalam sejarah. Perkembangan dua kuasa musuh tradisi ini telah menyebabkan banyak pertempuran yang menelan korban yang terlalu ramai. Kemuncak pertembungan dua kuasa ini menjelang tahun 602 Masihi. Ketika bertembungnya dua kuasa ini, pada waktu itu dakwah Islam baru sahaja berkembang di Tanah Arab.
Umat Islam pada waktu itu mengharapkan kemenangan Rom kerana kedekatan mereka dalam keagamaan manakala pihak Kafir Quraish menyokong akan kuasa Parsi yang bagi mereka menyembah sembahan yang sama.
Peristiwa ini juga dicatatkan di dalam Al-Quran yang menceritakan pertembungan dua kuasa ini,
Bangsa Romawi telah dikalahkan,(2) Di negeri yang terdekat dan mereka setelah kekalahannya itu akan menang (3) Dalam beberapa tahun (lagi). Milik Allahlah urusan sebelum dan setelah (mereka menang). Pada hari (kemenangan bangsa Romawi) itu bergembiralah orang-orang mukmin. (4) [Surah Rum: 2-4]
Ayat ini menceritakan tentang bagaimana Bangsa Rom ini telah dikalahkan pada awalnya dan sememangnya pada peringkat awal peperangan, Bangsa Rom benar benar ditewaskan. Sepanjang 602 – 610 Masihi, Pasukan Parsi telah menakluk sebahagian besar jajahan Empayar Rom. Pada waktu itu, Empayar Rom benar benar tersudut disebabkan faktor kempimpinan dan faktor perpecahan.
Namun, pada tahun 610, setelah beberapa tahun kemudian seperti yang dinyatakan dalam Surah Ar-Rum, Bangsa Rom ini kemudiannya kembali mengambil takhta kemenangan mereka. Heraclius telah ditabal pada tahun 610, beliau telah bersama pasukan Rom kemudiannya melancarkan serangan balas bertubi tubi keatas pasukan Parsi.
Kemuncaknya, pasukan Parsi akhirnya tewas telak ke tangan pasukan Rom dalam pertempuran Nineveh pada tahun 628 Masihi sekaligus menjadi penamat bagi pertempuran antara dua kerajaan ini.




No comments yet