Pernahkah anda melihat atau mengalami situasi sebegini: Pesakit mengambil ubat tertentu sejurus selepas waktu makan dan berharap bahawa ubat tersebut boleh menghilangkan tanda-tanda penyakit serta melawan jangkitan kuman di dalam badan, namun hasilnya tidak kelihatan, bahkan ada yang jatuh sakit setelah beberapa jam?
Anda mungkin beranggapan bahawa ubat tersebut tidak sesuai ataupun berkesan untuk merawat sesuatu penyakit. Namun, punca disebalik fenomena tersebut mungkin berbeza daripada sangkaan anda.
Antara faktor yang mempengaruhi keberkesanan ubat-ubatan adalah interaksi antara makanan dan ubat. Interaksi ini merupakan saling tindak balas yang berlaku apabila ubat diambil bersama makanan tertentu. justeru mengakibatkan ubat tersebut tidak bertindak seperti dirancang. Antara kesan-kesan tindak balas berikut adalah:
1. Menghalang tindakan ubat yang sepatutnya
2. Meningkatkan atau mengurangkan keberkesanan ubat
3. Menyebabkan kesan sampingan
Contoh interaksi antara makanan dan ubat-ubatan:
1. MNG-CoA Reductase (Statins) & jus limau gedang ataupun buah-buahan sitrus
Ubat-ubat dalam kategori Statins seperti Atorvastatin (LIPITOR) dan Simvastatin (ZOCOR) digunakan bagi merawat penyakit kardiovaskular. Menurut National Health Services (NHS) dari United Kingdom, hanya Atorvastatin yang diambil dalam kuantiti yang banyak (lebih dari 1.2 liter) bersama jus limau gedang atau buah-buahan sitrus akan menyebabkan kandungannya dalam darah meningkat.
Para pesakit yang mengambilnya kemudian akan mengalami kesan sampingan yang lebih banyak. Adalah diingatkan juga bahawa, menurut NHS ubat-ubatan Statins selain Atorvastatin selamat diminum bersama jus limau gedang.
2. Monoamine Oxidase Inhibitors (MAOI) & Makanan mengandungi Tiramina (Tyramine)
Ubat-ubatan Monoamine Oxidase Inhibitors (MAOIs) seperti Selegiline (JUMEX) bertindak dengan menyekat Monoamine Oxidase (MAO), sejenis enzim yang memecah Tiramina berlebihan dalam badan. Tiramina pula adalah asid amino yang membantu mengawal tekanan darah. Ia wujud secara semula jadi di dalam badan, dan boleh juga diperolehi daripada makanan tertentu.
Apabila MAO ini disekat, ia boleh membantu melegakan kemurungan dan juga merawat mood disorder yang lain. Jika pesakit mengambil MAOI bersama makanan yang tinggi dengan kandungan Tiramina seperti keju, tapai, kicap, tofu, pisang, kismis, daging yang diproses, kafein, atau minuman beralkohol, kenaikan tekanan darah ke tahap bahaya sehingga terpaksa dikejarkan ke hospital (krisis hipertensi, sebahagian dari kecemasan medikal) juga boleh berlaku. Para pesakit dinasihati untuk tidak mengambil makanan / minuman tersebut bersama ubat ini selama dua minggu.
3. Tetracyclines & produk tenusu
Tetracyclines merupakan sejenis kumpulan antibiotik, seperti mana yang kita sedia maklum berfungsi untuk merawat beberapa jenis jangkitan kuman. Pengambilan ubat ini bersama produk tenusu bakal menghasilkan ikatan antara kedua-duanya, justeru menghalang penyerapan ubat dan juga makanan tersebut ke dalam tisu badan.
Pesakit juga dilarang mengambil tetracyclines bersama antasid serta suplemen vitamin yang mengandungi zat besi kerana ianya boleh mengganggu keberkesanan ubat tersebut. Contoh tetracyclines ialah Tetracycline (BEATACYCLINE), dan Doxycycline (MEDOMYCIN).
4. Antihistamin & jus epal, oren & limau gedang
Antihistamin merupakan sejenis kumpulan ubat yang digunakan untuk merawat penyakit alergi, di mana sebahagian besarnya fungsinya adalah mengurangkan reaksi imuniti di dalam badan, seterusnya alergi itu sendiri. Contoh antihistamin ialah Diphenhydramine (antara contoh jenamanya adalah BENADRYL), Loratadine (CLARITIN) dan Cetirizine (ZYRTEC).
Jika diambil bersama jus epal contohnya, kadar ubat jenis ini yang memasuki salur darah dan membolehkannya bertindak dengan berkesan, atau bioavailabiliti (ditulis dalam bentuk peratusan, %) akan berkurangan, maka pesakit tersebut tidak akan mendapat keberkesanan ubat yang sepatutnya.
5. Ubat Antipenggumpalan & makanan kaya dengan Vitamin K
Selain statins, ubat Antipenggumpalan seperti Warfarin (COUMADIN) juga digunakan untuk merawat penyakit kardiovaskular. Apabila ianya diambil bersama makanan yang tinggi dengan Vitamin K seperti brokoli, sayur hijau, serta kobis bunga, ia bakal menghasilkan bahan penggumpalan darah yang boleh mengurangkan keberkesanan ubat.
Ini menyebabkan tahap kecairan darah yang sepatutnya bagi sesetengah penyakit seperti strok, (yang memerlukan kecairan darah lebih dari biasa) menjadi kurang optimum dan seterusnya meningkatkan risiko untuk episod strok berulang.
Demikianlah antara natijah bagi interaksi antara ubat-ubatan dan sebahagian makanan. Samada keadaan pesakit bertambah teruk kerana tidak mendapat manfaat dari ubat yang diambil, mahupun mengalami kesan sampingan yang boleh membawa maut, contoh-contoh interaksi di atas telah menunjukkan bahawa kita harus lebih berwaspada tentang kombinasi ubat-ubatan dan makanan yang diambil seharian.
Terdapat banyak lagi kombinasi di luar sana yang mungkin akan memeranjatkan kita semua, kerana sebahagian besar mungkin diamalkan oleh sesetengah individu dikalangan masyarakat kita secara tidak sengaja.
Oleh yang demikian, para pesakit disarankan untuk mendapatkan maklumat yang lebih lanjut dari ahli yang professional dalam bidang perubatan, farmasi, serta dietetiks berkenaan pantang larang pemakanan yang sesuai. Setidaknya, ia dapat mengelakkan anda daripada tercari-cari wad kecemasan atau klinik yang terdekat!
RUJUKAN
1. Senin A., (2014, 3 April), Food & Drug Interactions. Retrieved from http://www.myhealth.gov.my/en/food-a-drug-interactions/
2. Hall-Flavin, D. K. (2018, December 18). MAOIs and diet: Is it necessary to restrict tyramine? Retrieved November 20, 2019, from https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/depression/expert-answers/maois/faq-20058035.
3. Does grapefruit affect my medicine? (2018, June 21). Retrieved November 20, 2019, from https://www.nhs.uk/common-health-questions/medicines/does-grapefruit-affect-my-medicine/.
4. Anadón, A., Martínez-Larrañaga, M. R., Ares, I., & Martínez, M. A. (2016). Interactions between Nutraceuticals/Nutrients and Therapeutic Drugs. Nutraceuticals, 855–874.doi:10.1016/b978-0-12-802147-7.00060-7
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih