*PERHATIAN: Artikel ini hanya sekadar perkongsian ilmu dan penyampaikan fakta sains saja. Tidak diselit dengan sebarang agenda yang tidak diingini. Baca atas risiko sendiri.*
Sejak organisma pertama lahir di Bumi yang telah stabil dari kelahiran yang maha dahsyat, ia berkembang menjadi kumpulan-kumpulan organisma yang beradaptasi terhadap zon-zon habitat yang berbeza. Kemudian berkembang lagi saat iklim Bumi dan kawasan geografi berubah. Perubahan alam yang mendesak organisma turut berkembang dinamakan sebagai pemilihan alam (natural selection).
Perubahan fizikal dan fisiologi demi memenuhi pemilihan alam, kemudian berjaya menjadi antara hidupan yang mampu beradaptasi dalam keadaan Bumi yang baru. Proses hidupan yang beradaptasi sehingga berjaya dari ‘tapisan’ bencana alam semula jadi ini dinamakan sebagai evolusi. Proses evolusi telah sebati dalam dunia flora dan fauna agar golongan mereka kekal hidup di Bumi.
Setiap hidupan, sama ada haiwan atau tumbuhan mempunyai keunikan masing-masing demi meneruskan kehidupan dalam habitat yang penuh dengan cabaran. Seperti haiwan herbivor, haiwan ini harus mahir meneliti tumbuhan mana satu yang boleh dimakan. Tumbuhan juga harus berikhtiar untuk mencari cahay matahari, sama ada dengan menjalar atau meninggikan pohon.
Namun, terdapat satu ciri atau lebih tepat ialah jenis tulang yang hanya ditemui dalam tubuh haiwan, tetapi tidak ditemui dalam tubuh manusia walaupun kedua-duanya berada kumpulan yang sama, iaitu mamalia.
Tulang tersebut ialah tulang penis. Apakah itu tulang penis? Apakah fungsinya sehingga haiwan memerlukannya? Mengapa manusia tidak mempunyai tulang penis? Adakah ia melibatkan keperluan bagi haiwan saja dan tidak bagi manusia?
Kewujudan Tulang Penis
Nama umum bagi tulang penis ialah ‘Baculum’. Baculum berasal dari kata ‘baklon’, kata dari bahasa Greek yang bermaksud batang. Kemudian kata ‘baculum’ dari bahasa Latin diambil yang bermaksud tongkat dan batang. Seperti yang kita faham secara literal, tulang penis ialah tulang yang dikhaskan dalam sistem pembiakan haiwan jantan terutamanya dalam organ bernama penis.
Tulang penis tidak bersambung dengan rangka dan tidak mempunyai penghubung dengan sebahagian tulang lain. Tulang ini hanya berfungsi jika penis mengalami ketegangan. Rupa baculum sebenarnya pelbagai mengikut spesis haiwan. Ada baculum mempunyai hujung yang bulat, ada hujungnya yang mempunyai gigi dan berbentuk sudu, dan mempunyai rupa garfu!
Baculum terbesar yang pernah direkodkan ialah milik spesis walrus atau anjing laut yang telah pupus. Panjang baculum spesis walrus ini ialah 137 cm. Tulang spesis walrus kini juga besar namun panjangnya hanya 0.6 meter.
Apakah Fungsi Tulang Penis?
Fungsi baculum adalah pelbagai mengikut spesis haiwan dan tidak ada satu fungsi yang kekal. Boleh dikatakan setiap spesis haiwan berbeza mempunyai baculum yang berbeza fungsi utamanya. Pengkaji bernama Anna Nele Herdina bersama kumpulan penyelidikannya menjelaskan kepelbagaian fungsi baculum dalam artikel mereka yang telah disiarkan dalam laman web Journal of Anatomy.
1)Mengekalkan ketegangan penis
Fungsi baculum ini hanya terdapat dalam spesis anjing. Contohnya semasa fasa pensenyawaan pasangan anjing. Penis anjing sebenarnya lembik dan tidak dapat menegang dengan baik. Maka, baculum menjadi peranan utama dalam tegangkan penis supaya proses pensenyawaan terjadi. Hujung baculum yang bulat juga mempunyai fungsi untuk memudahkan penis memasuki dalam organ pembiakan anjing betina atau vagina.
Namun tidak semua spesis haiwan mempunyai hujung baculum yang bulat. Dalam artikel ditulis oleh Charles Long dan Theodore Frank dalam laman web Journal of Mammalogy, mereka berdua menulis tentang rupa hujung baculum milik tupai tanah yang berbentuk sisir. Rupa hujung baculum sebegitu tidak berfungsi untuk memudahkan kemasukan penis, ia sebenarnya lebih kepada merangsangkan vagina pasangan sebelum pensenyawaan.
2)Melindungi saluran air kencing/urethra
Fungsi ini dibentang dahulu kerana percaya bahawa tulang ini melindungi saluran dari cedera semasa pasangan haiwan melakukan pensenyawaan. Tetapi menurut Anna sendiri, fungsi itu tidak ada kaitan dengan melindungi saluran tersebut. Tulang penis hadir cuma memudahkan ketegangan penis dan memudahkan aliran sperma ke ovum betina.
Contohnya seperti spesis beruk. Saiz baculum spesis ini kecil saja dan lokasinya di bahagian hujung penis. Kedudukan baculum ini membatalkan fungsinya sebagai pelindung urethra.
3)Sebagai panduan untuk air mani mengalir ke organ serviks pasangan betina
Fungsi ini ditemui dalam spesis Honey Badger. Fungsi tersebut bergantung kepada hujung baculum yang berbentuk kon aiskrim. Bentuk hujung baculum ini membantuk penis jantang membuka ruang serviks betina dan menghantar air mani terus ke organ tersebut. Hujung baculum itu juga berupaya mengeluarkan air mani jantan lain kerana honey badger betina biasanya bersenyawa dengan beberapa ekor si jantan.
Strategi pensenyawaan honey badger ini dipanggil sebagai ‘offensive sperm competition’. Strategi ini selari dengan sifat ganas haiwan ini apabila melakukan pensenyawaan, bersaing sperma siapakah mampu menembusi ke ovum betina.
4)Merangsang sistem pembiakan haiwan betina untuk menghasilkan ovum
Pengkaji percaya bahawa walaupun bermacam-macam rupa hujung baculum, setiap hujung baculum mempunyai fungsi sebegini setelah melalui beberapa fasa evolusi proses pembiakan haiwan.
5)Menahan daya tekanan vagina
Fungsi ini dibentangkan dalam artikel yang disiarkan oleh laman web Scientific American. Teori ini menerangkan baculum membantu penis tidak merasa sakit apabila berada dalam vagina.
6)Membantu panjangkan tempoh pensenyawaan
Tempoh pensenyawaan atau ‘intromission’ adalah mekanisma yang penting dalam melaksanakan proses pensenyawaan pasangan haiwan. Tempoh ini diperlukan bagi memastikan si betina tidak bersenyawa dengan jantan lain dan memastikan si jantan merembeskan air mani sebanyak mungkin ke serviks.
Dalam proses pembiakan spesis anjing, tempoh pensenyawaan bertahan dari setengah jam hingga sejam lamanya, namun ketika dalam tempoh tersebut si jantan banyak kali merembes air mani. Berbeza dengan manusia, tempoh pensenyawaan cuma bertahan selama 7 hingga 13 minit sehinggalah si lelaki berupaya rembeskan.
Manusia Mempunyai Tulang Penis?
Ini persoalan yang penting setelah kita mengetahui kewujudan dan memahami fungsi baculum ini. Adakah manusia mempunyai baculum? Menurut artikel dari laman web The Guardian, tulang penis wujud dalam haiwan mamalia pada 95 juta tahun dahulu, kemudian wujud dalam kumpulan primat pada 50 juta tahun dulu. Tulang penis cepat berevolusi sehingga setiap haiwan mamalia termasuklah primat mempunyai pelbagai bentuk tulang penis zaman berzaman.
Hanya manusia dan spesis spider monkey saja tidak mempunyai tulang penis. Penjelasan yang dikira munasabah jika melibatkan unsur agama ialah ‘tulang rusuk Adam’ yang Tuhan keluarkan sebenarnya ialah tulang penis. Namun ini sekadar teori saja, tidak ada unsur menentang kejadian Nabi Adam AS.
Selain teori ini, teori seterusnya ialah ketidakrelevan manusia mempunyai tulang penis. Bayangkan kalau dua orang lelaki bergaduh, banyak bahagian tubuh kena belasah sehingga lebam. Bayangkan jika bahagian organ pembiakan dibelasah? Silap haribulan pecah tulang penis dan boleh jadi lelaki tersebut mandul. Bukan bahayakah jika tulang ini wujud dalam sistem pembiakan lelaki?
Lagi satu, ada logik juga mengapa manusia tidak harus mempunyai tulang penis. Manusia apabila berpasangan tidak perlu berebut dengan lelaki lain. Dalam pensenyawaan, ovum hanya menerima satu sperma saja dari jutaan sperma, kemudian tutup terus dari diterima sperma kedua. Jadi, proses pensenyawaan manusia lebih mudah dari spesis haiwan lain yang galakkan perebutan mendapat si betina apabila musim membiak.
Maka, tulang penis atau baculum tidak perlu wujud dalam sistem pembiakan manusia. Walau bagaimanapun, terdapat artikel dalam laman web Journal of Andrology memberitahu bahawa nenek moyang manusia dulu sebenarnya mempunyai baculum, kemudian spesis manusia berevolusi sehingga tulang ini berubah menjadi sebahagian tisu dalam sistem pembiakan kerana ia tidak diperlukan lagi. Teori ini nampak munasabah tetapi sehingga sekarang masih tidak menemui sebarang tulang penis dalam rangka manusia kuno.
Apa-apa pun teorinya, kita masih tidak tahu adakah manusia mempunyai tulang penis. Atau para lelaki sememangnya tiada tulang ini. Lagipun seronok ke ada tulang penis ni?
RUJUKAN:
Bauer, Forest.6 May 2022. What Do Dogs and Other Mammals Have That Humans Don’t? A Penis Bone. Ancient Origins.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih