Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir adalah seumpama watak Stryder atau Aragorn di dalam epik fiksyen Lord of The Rings, iaitu seorang pewaris takhta sah yang diketepikan haknya sebagai raja. Cuma jika di dalam LOTR, Aragorn dinafikan haknya sebagai raja kerana perebutan takhta dan penyelewengan kuasa sesama manusia, Tuanku Muhriz pula tidak ditabal sebagai Yang Di-Pertuan Besar selepas kemangkatan ayahandanya Tuanku Munawir pada 1967 kerana faktor umur baginda tuanku ketika itu hanya 18 tahun, dinilai sebagai terlalu muda untuk diangkat menjadi raja, atau di Negeri Sembilan digelar sebagai Yamtuan Besar.
Tanggungjawab menduduki takhta ketika itu diambil oleh bapa saudaranya iaitu Almarhum Tuanku Jaafar Ibni Tuanku Abdul Rahman sehingga baginda mangkat pada 2008 dan digantikan atau dikembalikan semula pada susur galur asal dengan darah raja yang tulen iaitu Tuanku Muhriz.
Setelah lama baginda Tuanku Muhriz berkelana, membina kerjaya korporat sebagai peneraju syarikat pengiklanan, pembinaan, kejuruteraan di dalam dan di luar negara dan yang terakhir sebagai CEO Bangkok Bank, baginda tuanku dan keluarganya kini ‘pulang ke telapak’ setelah lama menjalani hidup berkeluarga seumpama rakyat biasa dan berjiwa kebanyakan sebelum menduduki takhta ini.
Sesungguhnya, sistem pentadbiran dan pemilihan raja di Negeri Sembilan sejak sekian lama menggunakan aturan Adat Perpatih. Ia juga adalah antara rujukan utama dan tulang belakang yang membentuk Majlis Raja-Raja serta Sistem Raja Berpelembagaan di Malaysia.
Melalui kaedah saringan calon dan persetujuan melalui konsensus sebulat suara menggunakan Adat Perpatih, baginda Tuanku Muhriz telah dipilih sebulat suara oleh Undang Yang Empat sebagai Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Yang Ke-11.
Baginda Tuanku Muhriz adalah “Raja yang kembali menduduki takhta.”
Atau dalam peribahasa Melayu disebut sebagai “Umpama sirih pulang ke gagang.”
Hari ini, genaplah keputeraan ke-69 DYMM Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir.
Sekalipun baginda tuanku lama hidup berkelana di luar lingkungan Adat Perpatih, ingatan dan hati beliau sentiasa menjunjung tinggi adat yang satu ini. Sepanjang naungan baginda tuanku, minat dan fokus baginda dalam menyelesaikan banyak isu-isu tergantung berkenaan Adat Perpatih banyak membantu mencari titik penyelesaian dan jalan keluar.
Sepanjang tahun lepas sahaja, melalui titah perintah baginda tuanku, ditubuhkan Jawatankuasa Khas Dewan Keadilan Adat Perpatih. Hasil dapatan jawatankuasa ini kemudiannya dipersembahkan kepada Tuanku, kemudian kepada Undang Yang Empat. Akhirnya krisis selama hampir dua tahun menentukan Undang Luak Johol akhirnya selesai dengan pertabalan Undang Luak Johol yang baharu.
Jawatankuasa yang sama juga kini sedang berusaha sebaik mungkin bagi menentukan siapa yang layak menjadi Undang Luak Jelebu, krisis empat tahun yang belum selesai. Ia akan terus giat dilaksanakan, sehingga perut yang benar-benar layak mendapat tempat seadil-adilnya.
Baginda Tuanku yang juga sentiasa dibantu oleh Menteri Besar Negeri Sembilan yang berwibawa, Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Bin Haji Hasan memastikan semua urusan pentadbiran dan kepimpinan sivil negeri berjalan lancar, adil, saksama, telus dan berintegriti.
Ujian terbesar baginda tuanku tahun lalu ialah kemangkatan anakandanya, Tunku Alif Hussein Saifuddin Al-Amin ibni Tuanku Muhriz yang merupakan seorang putera istimewa yang telah lama bertarung dengan pelbagai komplikasi sebagai anak istimewa. Pemergian anakanda Tunku Alif betul-betul selang sehari sambutan keputeraan baginda Tuanku yang ke 69 tahun lalu. Salam takziah Tuanku.
Alhamdulillah, kami dengan rendah diri merafak sembah setinggi-tinggi penghargaan tahniah diucapkan. Semoga Tuanku terus menerus memayungi Negeri Sembilan, negeri beradat negeri berdaulat. Semoga Allah terus menerus memanjangkan umur dan memberi kekuatan kepada tuanku untuk memimpin kami dengan kebijaksanaan dan penuh kasih sayang kepada kami hamba rakyat.
Gambar menunjukkan persamaan rupa paras baginda Tuanku Muhriz dengan moyang baginda, Almarhum Tuanku Muhammad Ibni Almarhum Tuanku Antah.
Wajah baginda tuanku saling tak tumpah dengan wajah moyangnya sendiri.
Semoga dengan izin dan keberkatanNya, tuanku terus dikurniakan kesihatan, ketajaman buah fikiran agar dapat memaju dan menaungi kami sekalian hamba rakyat membawa Negeri Sembilan kepada kejayaan yang lebih gemilang di masa-masa mendatang. InsyaAllah.
Dirgahayu Kebawah Duli Tuanku,
Dirgahayu Kebawah Duli Tuanku,
Dirgahayu Kebawah Duli Tuanku!
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih